November 8, 2011

Meneruskan Program Ibadat Qurban Hari Kedua, Dipuncaki Ziarah Pesuruhjaya Pas Selangor Ke Bangi

BBB, 11 Zul-Hijjah = 07 November (Isnin):

Hari ini masih hari cuti sempena Idul Adha bagi hari kedua. Ini memudahkan mereka yang memilih hari ini untuk berkorban berurusan. Demikianlah terdapat beberapa program Qurban yang Adun perlu hadiri pada hari ini. Puncak dari program Qurban hari ini ialah Jamuan Makan Malam diadakan Pas Kawasan Serdang sempena Idul Adhha yang dihadiri oleh YB. Dr. Abd. Rani Osman Pesuruhjaya Pas Selangor. Beliau menyampaikan Amanat dan Melancarkan Dana Pilihanraya Ke 13 Dun Bangi. Majlis yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Seksyen 7, selepas Isyak itu dihadiri Adun Bangi, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang, Tuan Haji Mazwan Johar Timbalan YDP Pas Serdang, sdr. Shukor Atan Naib YDP, saudara Adram Musa, Ketua Pemuda, Puan Zuryati Ketua Muslimat Pas Serdang, Ustaz Nasir Timbalan YDP Pas Puchong, AJK-AJK dan ahli-ahli yang memenuhi dewan.

Dr. Abd. Rani dalam ucapan sulungnya di Bangi, menyatakan bahawa tugas menghadapi pilihanraya bukan terletak pada bahu individu, tetapi adalah secara jamaah. Beliau menyatakan terkejutnya bila dilantik menjadi PJ Selangor yang amanah ini begitu besar untuk dilaksanakan, tetapi memikirkan ini adalah kepercayaan yang diberi oleh pihak pimpinan dan disokong oleh jamaah, maka tugas ini adalah tanggungjawab bersama. Beliau memetik ayat-ayat Qur`an yang bermaksud, Jangan kamu rasa rendah diri dan jangan dukacita sedang kamu berada pada tempat yang lebih mulia. Demikian ayat yang bermaksud: ``Mereka yang berjihad pada jalan kami, nescaya kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami.

Sebab itu PJ berharap ahli-ahli Pas akan berjihad dengan tenaga dan harta mereka bagi mencapai kejayaan seperti dalam pilihanraya dan dalam mengukuhkan parti.

Berikutan dari amanat itu beliau melancarkan Dana Pilihanraya ke 13 bagi DUN Bangi.

Sebelum daripada itu Ustaz Shafie Ngah berucap mengalu-ngalukan PJ yang pertama kali hadir secara rasmi ke kawasan Dun Bangi. Beliau menjelaskan tujuan makan malam bagi mencari dana pilihanraya di samping menyebutkan komitmen ahli yang menderma membeli Pejabat Pas Serdang berdekatan Balairaya yang berharga RM800,000 yang baru dijelaskan sebanyak RM240,000 itu. Beliau percaya ahli terus komited di dalam berjihad bagi menghadapi pilihanraya.

Adun Bangi yang diminta berucap, mengucapkan ahlan wa sahlan kepada PJ Pas Selangor Dr. Abd. Rani Osman. Beliau menyebut tentang cabaran yang dihadapi Pas Selangor, ialah bukan saja mempertahankan kerusi yang telah dimenangi, tetapi menambahkan prestasi Pas di Selangor. Beliau percaya dengan pengalaman yang banyak pada PJ pada peringkat nasional dan internasional, terutama dari segi kerja amal, beliau mampu menghadapi cabaran dan menambahkan kemenangan Pas di Selangor disamping menjayakan misi ke Putrajaya. Belaiu menyebut bahawa segala tumpuan dan kerja hendaklah bersifat menyeluruh, tidak saja pada usaha dari segi kerja-kerja pilihanraya, tetapi jangan lupa dari segi khidmat masyarakat yang lebih dekat dilihat masyarakat..

Sementara itu pada sebelah pagi hari ini Adun Bangi ke Surau Antic di kawasan kediaman Adun, iaitu Surau Al-Umm juga memilih hari ini untuk berkorban sebagaimana peringkat kawasan juga memilih hari ini sama berkorban.

Selepas solat Subuh pagi ini, pasukan pengurus Qurban yang diketuai Datuk Dr. Wahid ke lading lembu di Teras Jernang untuk mengurus penyembelihan 4 ekor lembu di sana.

Pihak-pihak anak-anak Adun turut sama berqurban. Bagi pihak mereka Adun menunggu bersama pasukan persiapan tempat bagi melapah dan pengagihan daging. Jam 9.30 pagi seekor demi seekor lembu tiba di tempat melapah berhampiran Surau Al-Umm. Adun turut bersama beramai-ramai ahli melapah daging. Mereka semua lebih kurang 20 orang tidak termasuk dari kalangan perempuan yang mengadakan masakan di surau lebih kurang sepuluh orang. Adun tidak berlamaan di sini, oleh kerana mempunyai program di tempat lain. Apabila anak-anak tiba Adun serahkan kepada mereka kerja-kerja melapah.

Setelah mandi membersih diri kerana kerja tenaga melapah, maka jam 10.30 bertolak ke Kajang Utama, dikawasan perumahan Citra. Di sini pihak Pas Kawasan Serdang dengan sebahagian peruntukan dari Adun Bangi mengadakan qurban sebanyak tiga ekor. Adun dijemput bagi menutup majlis yang dihadiri Ustaz Shafie Ngah dan saudara Adram Musa yang kedua-duanya Ahli MPKj. Ucapan ringkas disampaikan oleh Ustaz Shafie dan Adun berhubung dengan Qurban dan kegiatan-kegiatan yang dilakukan di kawasan Citra dan Kajang Utama. Kemudian diikuti dengan penyampaian daging Qurban kepada penduduk-penduduk yang hadir lebih kurang 50 orang. Sebahagian dari daging qurban di sini digunakan bagi jamuan makan malam bagi pelancaran dana di atas.

Sebelum memohon diri untuk pulang pihak Adun dihubuingi oleh Persatuan Kejiranan Peak 208 untuk singgah bermesra dengan penduduk yang juga saedang bergotong royong melapah daging Qurban. Kesampaian Adun disambut oleh Encik Shahril YDP Persatuan Penduduk dan En. Nazri Setiausaha, Ustaz Fuad dan En. Rustam. Adun pernah datang ke sini beberapa kali, khususnya berhubung dengan kematian seorang pilot di Sarawak yang tinggal di sini.

Pada masa ketibaan penduduk sedang sebok bergotong royong melapah 2 ekor lembu yang diqurbankan di sebuah rumah yang tidak didiami, sedang disebelah lagi kalangan kaum wanita sedang menyiapkan ramuan untuk memasak – mungkin sop. Adun diberitahu oleh En. Shahril, kawasan yang mempunyai pengawal itu dinamakan PEAK 208, kerana kawasan berkenaan mempunyai sebanyak 208 buah unit rumah kediaman dan secara kebetulan ketinggian kawasan itu di atas permukaan laut 208 kaki tinggi. Perumahan di sini yang dibina oleh Syarikat MRCB itu mulai dihuni pada tahun 2004.

Dalam pertemuan penduduk membuat aduan mengenai peralatan permainan anak-anak di padang rosak, pokok-pokok yang perlu ditebang, infra-struktur yang kurang sempurna dan masalah kebersihan. Majlis ringkas dibuat secara spontan bermula dengan ucapan En. Shahril yang mengucap terima kasih di atas kehadiran Adun. Beliau menceritakan antara kegiatan yang dilakukan Persatuan Penduduk yang mula ditubuhkan pada 2005 itu seperti gotong royong mencegah denggi, sukan, sambutan raya, marhaban, hari keluarga dan tahlil kematian.

Dalam ucapan ringkas Adun bergembira kehadiran spontan Adun dapat bertemu dengan penduduk dan beramah mesra. Adun sukacita melihat kerukunan hidup masyarakat di PEAK 208. Adun sedia bekerjasama bagi berbagai kegiatan penduduk dan sedia memberi peruntukan sewajarnya bila dibuat. Berhubung dengan masalah yang ditimbulkan, perkara berkenaan dapat disampaikan kepada Ahli Majlis MPKj di Kawasan Kajang Utama, iaitu saudara Adram Musa, tetapi perkara ini dapat dipanjangkan juga oleh Adun.

Majlis diteruskan dengan Adun diminta menyampaikan daging-daging qurban kepada mereka yang berkorban untuk diagihkan masing-masing kepada mereka yang difikirkan layak.

Sebagaimana pihak Kawasan pada malam ini akan mengadakan jamuan di Balairaya Seksyen 7, maka pihak Persatuan Penduduk PEAK 208 juga akan mengadakan jamuan pada malam ini di Padang Permainan kanak-kanak di sini. Adun dijemput ke sini. Tertapi oleh kerana jamuan di PEAK 208 bertembung dengan jamuan kawasan, Adun memohon maaf tak dapat hadir, kerana hadir ke program kawasan di Seksyen 7.

Adun memohon diri dan pulang ke Surau al-Umm yang telah siap mengagihkan daging qurban. Selepas solat zohor, jamuan sop diadakan di surau tersebut.

Sekian.

No comments:

Post a Comment