Adun sebenarnya dijemput ke Surau Amin, Taman Mawar 2, Salak Tinggi, malam tadi sempena malam satu Muharram, tetapi oleh kerana bertembung dengan program Pejabat Adun dan beberapa jemputan yang lain – termasuk peringkat negeri, juga bagi menyambut satu Muharram, maka Adun utamakan Program Jabatan Adun, iaitu menyambut Satu Muharram. Oleh kerana program di Taman Mawar melebihi satu hari, maka Adun menwarkan diri untuk hadir pada pagi Ahad ini dan disetujui. Sebagai lanjutan dari sambutan Hijratur-Rasul, maka pada pagi ini diadakan acara berkhatan beramai-ramai di Surau Al-Amin di sini. Sebenarnya kawasan Sepang tidak asing dari Adun, kerana sebagai kawasan angkat, maka Adun Bangi sering ditugaskan berhubung dengan Ketua-Ketua Kampong dan Hal Ehwal Islam. Pagi ini Adun bersama saudara Azizi diikuti isteri Adun sama datang untuk ke rumah anak di sini.
Kesampaian kami jam 8.30 pagi di Surau Al-Amin tempat acara, disambut oleh Encik Iskandar Musa Pengarah Program, Ustaz Abu Hashim Hj. Zainal Pengerusi Surau, Encik Ishak, Pegawai-pegawai kesihatan dan orang ramai. Sebaik kami sampai sebuah kereta bomba dari Putrajaya turut tiba, sebuah lori yang diatur kerusi di atasnya juga turut sedia untuk mengarak kanak-kanak. Pada hari ini seramai 28 orang kanak-kanak menyertai acara berkhatan. Mereka tiba berbaju Melayu, bersongkok dan bersamping. Sebelum berarak, terlebih dahulu diadakan majlis ringkas dengan ucapan dari Pengarah Program. Saudara Iskandar yang bersyukur kepada Allah di atas kehadiran Adun, pegawai-pegawai perubatan, dan ibu bapa. Menurut Sdr. Iskandar, program berkhatan sedemikian adalah lanjutan dari tahun-tahun yang lepas . Istimewanya pada kali ini kita membawa satu pasukan Gendang Rebana khas yang di bawa dari Kampong Teluk Kepayang, Bota, Perak.. Pasukan ini terdiri dari 20 ahli.. Beliau berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis.
Adun Bangi mengingatkan bahawa sesuai dengan cuti Sekolah dan awal Muharram, maka anak-anak mempunyai masa untuk berkhatan dan sebagainya. Sesuai dengan Hijrah menurut Adun anak-anak kita juga melalui proses hijrah dari alam kanak-kanak kepada Alam remaja. Beliau memuji program yang diadakan secara beramai-ramai dan bertempat di surau, kerana dengan demikian dapat mengurangkan kos dan memeriahkan keadaan. Beliau juga memuji sifat gotong royong penduduk dan mendoakan semoga program berjalan lancar.
Selepas Majlis Ringkas anak-anak yang berjumlah 28 orang berbaju Melayu, bersongkok dan bersamping diarak berjalan kaki beramai-ramai dan diiringi dengan rebana, salawat dan salam. Perjalanan ke bawah lebih kurang setengah km. itu tiba ke lori berhias dan.berkerusi. Mereka dinaikkan ke lori – turut naik juga pasukan rebana. Anak-anak bakal berkhatan di bawa keliling kawasan taman perumahan dan selepas setengah jam mereka dibawa balik dan diturunkan di pekarangan Surau Al-Amin. Di sini anak-anak bakal berkhatan, selepas menanggalkan songkok dan samping mereka disiram oleh Adun bersama pihak Bomba. Anak-anak yang bersiram begitu gembira dan suasana begitu meriah. Selepas mereka bersalin pakaian acara khatan dimulakan. Adun turut sama ke tempat berkhatan. Pada masa acara berkhatan dijalankan pasukan rebana berzikir dan bersalawat di anjung surau, seolah-olah bagi menghilangkan ketakutan anak-anak semasa menunggu giliran untuk berkhatan. Dua buah bilik disediakan untuk berkhatan dan berkhatan dapat dilakukan 4 orang secara serentak. Menurut En. Iskandar, ``Dr-Dr. yang berkhidmat ialah dari kalangan dr. perubatan di berbagai klinik di sini. Terima kasih atas kerjasama mereka.``
Setelah menyaksikan beberapa acara berkhatan, maka Adun memhon diri selepas menyampaikan cenderahati kepada pegawai-pegawai bomba yang sama memeriahkan suasana.
Sekian.
No comments:
Post a Comment