Bagi ibu bapa yang anak-anak akan menghadapi peperiksaan sepenting peperiksaan SPM, tentu berada dalam mood dan situasi `Prihatin` dan sama memberi tumpuan kepada persediaan anak-anak bagi menghadapi peperiksaan seperti menyediakan keperluan dan suasana yang kondusif, menjaga makanan, menjaga kesihatan, menjaga emosi, elak dari gangguan dan memberi galakan tanpa menekan disertai dengan iringan doa dan harapan. Demikianlah kami yang diberi amanah oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor membimbing anak-anak pilihan dan memberi bimbingan Tuisyen Rakyat kepada mereka, sama berada di dalam suasana `Doa &Harap`, insya Allah mereka menggapai kecemerlangan di dalam peperiksaan.
Selain dari bimbingan tuisyen disampaiakan oleh guru-guru terpilih bagi pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sejarah, berbagai kegiatan diadakan bagi merangsang dan menggalakkan pelajar-pelajar berkenaan berminat dan bersungguh-sungguh di dalam pelajaran mereka. Mulai dari pelancaran kelas tuisyen pada peringkat awal, motivasi dan bimbingan, retreat ke lokasi menarik dan berdiskusi mengenai pelajaran, bimbingan secara kombinasi pada peringkat kawasan, pertemuan kekeluargaan, pecutan akhir menghadapi pelajaran dan program hari ini sebagai galakan dan rangsangan terakhir dinamakan:
Selangkah Bagi Menggapai Kecemerlangan
Untuk majlis ini Cikgu Sakinah dan AJK menyusun program bagi menjadikannya satu yang menarik dan memberi impak positif kepada pelajar-pelajar menjelang peperiksaan pada pertengahan bulan ini. Tempat yang dipilih bagi program ini ialah di Dewan Masjid As-Salihin, Teras Jernang. Hadir bersama ialah Adun Bangi yang tidak jemu-jemu menyertai program dan menyediakan peruntukan bagi kepentingan pelajar-pelajar. Turut dijemput hadir ialah Puan Zuryati Yassin, Penasihat Paksi, Puan Arbaisyah Pengerusi Paksi, Puan Datin Muhibbah AJK, Cikgu Sakinah, guru-guru dan pelajar-pelajar.
Pada pertemuan ini Adun diminta menyampaikan `cenderahati` satu beg bagi setiap orang. Mungkin di dalamnya mengandungi amanat dan panduan sebagai motivasi akhir.
Kemudian pelajar-pelajar menikmati jamuan. Kelak mereka akan diraikan lagi selepas mencapai keputusan bersama keluarga dalam majlis, `Meraikan Pelajar Cemerlang`
Sekian.
No comments:
Post a Comment