November 7, 2011

Bersolat Idul Adhha Dan Memenuhi Program Ibadat Qurban

Bandar Baru Bangi, 10 Zulhijjah = 06 November (Ahad):

Sambutan Idul Adhha jatuh pada hari ini, sejak ghurub matahari petang semalam takbir bergema mengiringi solat Maghrib dan Isyak bersahut-sahutan dari surau-surau kelilingan dan pagi ini selepas kembali dan solat Subuh dan sebelum jam 8.00 pagi harus tiba ke masjid kerana Adun ditugas menjadi Khatib di Masjid Al-Hasanah.

Sebaik selesai solat Idul Adhha pulang bertukar pakaian dari berjubah kepada pakaian casual, kerana menyertai ibadat-ibadat Qurban menurut program yang dijadualkan. Jam 10.00 bersama saudara Azizi yang datang dari Kajang Utama ke Pejabat dan juga saudara Shahrum dari Jasmin, kami bertolak ke Rumah Prehatin – Rumah Perlindungan anak yatim, ibu tunggal dan warga emas di Sungai Ramal Luar. Berada sama di sana Tuan Haji Mohd Yusof Ketua Kampong. Di sini Adun menyerahkan seekor lembu dari peruntukan Adun kepada penghuni-penghuni rumah prihatin berkenaan dan menyaksikan penyembelihan oleh kakitangan Rumah Prihatin.

Jam 11.00 pagi bertolak ke Perumahan Seri Mewah, melalui Kajang Utama. Di sini Adun juga menyerahkan seekor lembu dari peruntukan YAB Menteri Besar Selangor bagi penduduk di apartment di sini dan menyaksikan gotong royong melapahkan sembelihan dan melawat surau di bawah apartment di sini. Dari Seri Mewah Adun diminta singgah sekejap di Surau Al-Muhajirin, Kajang Utama bertemu dengan peserta-peserta yang bergotong royong bagi melapah lembu korban, iaitu 5 ekor lembu. Dari situ pulang ke Pejabat melakukan kerja-kerja Pejabat sementara menunggu program seterusnya.

Jam 12.20 bertolak ke Masjid Al-Hasanah, kerana Tuan Haji Kamaruddin Setiausaha Masjid meminta Adun datang mengagihkan daging korban di sini. Adun dimaklumi oleh Tuan Haji Kamaruddin, pada tahun ini Masjid Al-Hasanah menghadkan jumlah korban kepada 14 ekor lembu dan dua kambing (satu sebagai hadiah) yang jumlah mereka yang mengambil bahagian berkorban adalah 99 orang, manakala petugas-petugas sukarela seramai 90 orang. Tenaga-tenaga sukarela ramai datang dari Seksyen 9 yang berdekatan dengan masjid, di samping dari tempat lain. Di sini Adun mengedarkan daging korban kepada lebih kurang 400 orang yang terdiri dari penduduk tempatan dan juga pekerja-pekerja dari Indonesia Bangladesh dan lain-lain.

Sebelum dari Zohor Adun berkesempatan pulang ke rumah bertemu dengan anak-anak dan cucu-cucu yang datang bertandang sempena Hari rraya Idul Adhha dan sempat makan bersama mereka.

Mulai jam 4.00 petang keluar kembali dengan saudara Azizi ke Surau Istiqamah Seksyen 16, menunggu lori datang menghantar lembu tempahan Adun, satu untuk penduduk di kawasan Surau Istiqamah di bawah urusan saudara Harun Aminurrashid. Penyembelihan di sini dilakukan oleh Imam Surau Istiqamah di sini, Imam Sani Ujud. Sesudah penyembelihan di sini kami bergerak ke kawasan apartment 1/9. Imam Sani juga datang ke sini melakukan

penyembelihan lembu yang diserahkan oleh Adun kepada penduduk di sini.Kembali semula ke rumah bersama anak-anak cucu lain yang datang petang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment