November 22, 2011

Perasmian Bangunan Kafa Integrasi Al-Istiqamah - Majlis Khatam Al-Qur`an & Hari Kecemerlangan Kafa Al-Istiqamah BBB & Al-Hidayah Kajang Utama

BBB & Kajang Utama, 23 Zulhijjah = 19 November (Sabtu):

Kafa Integrasi Al- Istiqamah sebuah Sekolah Agama Kafa yang didirikan di dalam kawasan Surau Al-Istiqamah sejak 12 tahun yang lalu yang dikendalikan oleh AJK Surau Al-Istiqamah. Kawasan surau dan Sekolah ini berada di tengah-tengah kawasan rumah pangsa seksyen 16. Bangunan lamanya yang agak kurang selesa di tepi surau sebelah belakang telah digunakan sejak 10 tahun dan sejak 2 tahun yang lalu Sekolah ini mendapat bangunan dua tingkat yang lebih selesa terletak di bahagian kanan surau Al-Istiqamah. Kos bagi membina Sekolah ini ialah RM450,000 dari peruntukan JAIS dan telah mulai digunakan awal tahun 2009.

Kini pada pagi ini Adun Bangi selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu merasmikan bangunan ini.

Bagi Kafa Integrasi Istiqamah, Majlis pada hari ini yang bertemakan `Berilmu Dan Beramanah Pemangkin Ummah` merupakan Satu dalam Tiga. Di samping Perasmian Bangunan pada hari ini juga dijalankan Majlis Khatam Al-Qur`an dan Hari Kecemerlanagn Pelajar. Sekolah ini kini mempunyai seramai 360 pelajar dengan 15 orang guru. Dari segi pencapaian akademik pada tahun 2010 kelulusan 83% dan pada tahun 2011 ini meningkat kepada 85.5%. Peperiksaan Sijil Kafa baru-baru ini menunjukkan:

Mumtaz 2

Jayyid Jiddan 14

Jayyid 14

Maqbul 07

Rasib 08

Pada Majlis Penutup Ketua Guru Ustazah Faturah bt. Mohd Naain melaporkan pencapaian pelajar dalam pelajaran, manakala saudara Harun Arashid bin Yahaya melaporkan tentang kemajuan dan kegiatan serta keperluan Sekolah.. Adun Bangi menyatakan sukacita dapat bersama dalam majlis yang diadakan. Beliau bergembira kemajuan Sekolah yang makin meningkat dan akan mempertimbangkan keperluan-keperluan Sekolah. Hadiah-hadiah bagi pelajar cemerlang disampaikan oleh Adun.

Kafa Al-Hidayah, Kajang Utama

Sementara itu pada tengahari ini Adun Bangi juga hadir ke Majlis Khatam Al-Qur`an Dan Hari Kecemerlangan bertempat di Dewan Sekolah Kafa berkenaan. Hadir sama pada tengahari ini ialah En. Ibrahim Martibi Pengerusi PIBG Sekolah dan Tuan Haji Azhar Arshad Timbalan Pengerusi PIBG yang juga selaku Pengerusi Surau Al-Muhajirin, Kajang Utama dan ibu bapa. Sekolah yang dibuka sejak tahun 2000 ini adalah antara Sekolah Kafa termaju di Dun Bangi. Sekolah mempunyai 800 orang pelajar dengan 20 orang guru. 3 orang pelajar mencapai Mumtaz bagi sijil Kafa 2011.

Ketua Guru Ustazah Tumijah bt. Ali mengacapkan terima kasih di atas kehadiran Adun. Beliau melahirkan masalah yang dihadapi Sekolah yang kesesakan tempat. Kos yang ditanggung sebanyak RM8,000 sebulan bagi membayar sewa 6 unit kedai dan kemungkinan dinaikkan sewa. Sekolah Kafa Al-Hidayah ini bersifat semi-swasta, Sekolah ini ¾ daripadanya mendapat geran tahunan dari pihak kerajaan dan selebihnya bergantung pada yuran pelajar-pelajar. Menurutnya kenaikan kos makin terasa, walau macam mana pihak Sekolah cuba mengelak dari memindahkan beban kos ini ke atas ibu-bapa.

Dalam pada itu En. Ibrahim Martibi Pengerusi PIBG dalam ucapannya melahirkan harapan agar Sekolah mendapat tapak rasmi Sekolah. Menurutnya ada 10 kawasan tanah lapang di Kajang Utama, kiranya boleh diikhtiarkan salah satu kawasan lapang berkenaan dapat dijadikan tapak Sekolah. Beliau menunjukkan salah satu tanah lapang adalah bersebelahan Sekolah berkenaan seluas tiga ekar dan berharap tapak ini dapat dijadikan tapak Sekolah.

Adun Bangi dalam ucapan ringkas mengucap terima kasih di atas jemputan dan memuji pihak Sekolah dapat mengekalkan kemajuan, walaupun dalam keadaan tertekan, terutama di dalam menghadapi kos yang makin meningkat. Adun mengumumkan sejumlah peruntukan yang diluluskan oleh pihak Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan baru-baru ini (Jangkaan RM25,000). Beliau berharap dengan jumlah sederhana banyak itu akan meringankan beban yang dihadapi Sekolah. Berhubung dengan tapak Sekolah, sememangnya kawasan tidak direservekan dengan tapak Sekolah, sebab itu tanah kosong yang bersesuaian perlu dipohon berterusan agar diluluskan untuk kawasan Sekolah. Sebelum Majlis Penutupan Adun menyampaikan anugerah kepada pelajar-pelajar cemerlang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment