Ibarat beras secupak ada antah ada melukut, walaupun kita usaha meniadakannya supaya beras bermutu, tapi masih bersisa. Sebenarnya tiada siapa yang suka pada benda yang tak molek, kambing dan lembu tak suka makan daun tembakau, kerana naluri kambing dan lembu juga tahu benda itu membahayakan kesihatan.
(Tuan Guru Dato` Nik Abdul Aziz Murshidul Am Pas dan Menteri Besar Kelantan).
Ungkapan Tuan Guru di Dataran Surau Al-Amin, Bandar Tun Hussein Onn pada Sabtu 24 Zulkaedah 1432 = 20 Oktober 2011 di Dataran Surau Al-Amin Bandar Tun Hussein Onn. Beliau merujuk kepada masyarakat di Kelantan yang dididik, tapi tidak semua mahu menerima kebaikan. Beliau memberi contoh, usaha kita supaya menutup aurat, walaupun sudah banyak berkesan, tetapi masih ada lagi tidak memberi perhatian.
b) Wanita Lebih Humanis Dari Lelaki
Satu petang sepasang suami isteri berhenti di dataran kedai di hadapan rumah kami. Si isteri yang keluar dari kereta seperti mencari sesuatu. Isteriku yang kebetulan berada di hadapan rumah merapatinya dan bertanya, ``Ada cari sesuatu ?`` Dia menjawab,
``Suami saya ni, semalam buang seekor anak kucing di sini, dua ekor lagi masih di rumah bersama ibunya. Timbul kesian bila saya tahu dia datang buang ke sini,`` jawabnya. Selepas isteri menghulur tangan bersalam dengannya, sedangkan si suami yang membuang kucing, tetap dalam kereta tidak turun. Kata isteriku, ``Semalam memang ada seekor anak kucing mengiau seperti ditinggalkan,`` sambil isteriku mnunjukkan ke arah belakang rumah. Tambah Si Pencari kucing, ``Anak kucing itu ekornya berketak-ketak,`` Mereka berdua ke belakang rumah, tapi tak ketemui. Isteriku berkata, ``Di sini sering orang datang membuang anak kucing. Pekerja wanita di pejabat ada yang kasihan, bawa balik ke rumah, susukan, tapi akhirnya mati juga, tak cukup makan dan tak sesuai.
Walau macam mana mereka berdua tidak menemui kucing berkenaan dan Si Suami tetap tidak keluar dari kereta. Tak pasti, kerana malas dan tak kisah atau kesan kena marah.
Pada malamnya terdengar bunyi anak kucing di kejauhan, teringat kami pada anak kucing yang dibuang, terasa pula kesian.
Sebenarnya isteriku selalu memberi makan kucing-kucing yang datang, tapi dia pantang membenarkan kucing masuk ke dalam rumah, ``Untuk menjaga kebersihan,` alasannya.
c) Maher Zain Di Majlis Perkahwinan Anak Menteri Besar ?
Pada malam Jumaat 11.11.11 aku bersama isteri turut sama hadir ke jemputan sempena perkahwinan anak perempuan YAB Tan Sri Dato` Seri Menteri Besar Selangor (Siti Aida Fitri dengan pasangannya Akmal Hadi) di Bangunan Jubli Perak di belakang Pejabat SUK, Shah Alam. Ramai pembesar dan pegawai-pegawai yang hadir. Sementara majlis berjalan para jemputan dihibur dengan nyanyian secara sopan oleh penyanyi-penyanyi jemputan. Pengacara mengendalikan program secara bersahaja dan santai bercakap. Antara maklumat disampaikan kepada hadirin,
``Pada malam ini kita juga menjemput penyanyi istimewa Maher Zain yang berasal dari Lubnan yang terkenal dengan lagu istimewa bagi pengantin `Barakallahu lakuma.`
Setelah pengacara diam seketika, beliau menyambung,
``Malangnya beliau tidak berkesempatan hadir, kerana masalah teknikal,`` kemudian beliau menambah,
``Walau bagaimana tempat beliau diganti oleh Muazzin Malaysia dari Masjid Negeri !``
Muazzin berkenaan menyanyikan lagu Barakallahu lakuma dan ternyata lagu beliau seiras lagu Maher Zin.``
Memanglah Muazzin seorang yang bersuara merdu yang azannya dapat menyedapkan telinga pendengar.``
Kesimpulannya kalangan muazzin boleh menjadi penyanyi nasyid yang hebat jika mahu bernasyid!
d) Tempah Giliran Bahas Enekman Perbekalan?
Bila bersidang Dewan Negeri, peranan penting ialah mendapat peluang membahaskan agenda utama seperti Menjunjung Kasih Di Atas Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, membahaskan Enekmen Perbekalan atau Perbekalan Tambahan dan sebagainya. Agenda penting pada kali ini (9.11.2011) ialah Membahaskan Enekman Perbekalan Tahun 2012 berjumlah RM1,600,000,000. Sesudah pembentangan oleh YAB Dato` Menteri Besar ahli-ahli berusaha untuk memdapat peluang membahas, tetapi pada peringkat permulaan keutamaan diberi kepada Ketua Pembahas pihak Kerajaan dengan masa yang lumayan, manakala peluang bagi orang lain selepas pihak Ketua Pembangkang membahaskan. Adun Bangi turut mengintai peluang bagi bercakap pada hari pertama pembahasan, tetapi jumlah yang dapat membahaskan hanya tiga orang.
Adun Bangi juga mengharapkan ada masa antara 10 ke 5 minit sebelum Sidang ditangguhkan sebelah petang agar dapat bercakap dan ucapan disambung keesokan harinya. Namun pembahas ketiga YB Lau Weng San Adun Bukit Tengku betul-betul menamatkan ucapannya jam 4.30. Tiada baki waktu memungkinkan orang lain turut bercakap sekejap untuk disambung esok pagi.
Walau macam mana Adun Bangi tetap bangun dan mohon izin untuk berucap sebagai orang keempat. Kata Tuan Speaker, ``Masa sudah habis !``
Adun Bangi menambah, ``Tempah giliran untuk bercakap pagi esok.`
Tapi Tuan Speaker menjawab, ``Tiada tempahan! Dan tidak semestinya.``
Pagi ini, bila tiba sesi perbahasan, Adun Bangi berdiri mohon bercakap, tapi tiada keizinan, Sebaliknya ditunjuk kepada YB Kuang – Abdul Shukor dari pembangkang.
Ternyata benar, apa yang dikatakan oleh Tuan Speaker kelmarin, ``Tiada Tempahan.``
Walau bagaimana Adun Bangi mendapat giliran berucap selepas Adun Kuang tersebut. Secara kebetulan bahan ucapan yang disediakan berhari-hari itu betul-betul cukup dengan waktu diperuntukkan. Jika diberi peluang kelmarin tentu tak kecukupan bahan. Ada hikmah juga nampaknya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment