November 18, 2011

Petikan Ungkapan & Anekdot Pilihan

Dewan Negeri Selangor, 21 Zulhijjah = 17 November (Khamis):

1) Menutup Sidang Dewan Negeri Selangor Akhir Tahun 2011

``Kita betulkan sesuatu yang salah untuk pembaikan, bukan betulkan untuk memecahkan, kerana ia bukan lagi membetulkan, tapi merosakkan. Tugas kita bukan saja merancang, tapi mengurus, perlu seimbang. Pengimbangan ini amat penting agar semua pihak mendapat perhatian dan sentuhan.``

(Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Menteri Besar Selangor).

2) Mempopularkan Imej Sebagai Identiti Bagi Negeri Selangor

Mencari imej sebagai identiti bagi negeri Selangor bukannlah sukar, masalahnya kita tidak kenal. Petikkan imej popular – tiga perkara, imej pendidikan (Istana Sultan Hishamuddin dihadiah kepada Kolej Islam, lambang Selangor sebagai hub pendidikan yang memulakan pengajian tinggi di Malaysia, Imej industri sebagai negeri maju dan budaya multirasial yang menyatukan penduduk. Popularkan ketiga-tiga imej ini.

Imej sesuatu kadang-kadang memang telah popular di tengah masyarakat dan menjadi identiti contoh Kajang dengan imej satenya, Sekinchan dengan benih padinya dan Bangi Bandar Ilmu.


3) Perlu Pundi-Pundi Yang Besar !

Semasa Sidang Dewan rehat dan kami makan tengahari semeja dengan Tuan Speaker di Bangunan Annex, bersebelahan Dewan Negeri Adun Bangi melahirkan kekaguman sesama Adun-Adun,

``Tuan Speaker kita memang hebat, mengendalikan Sidang Dewan Negeri secara marathon 8 hari berturut-turut, tanpa bantuan Timbalan Speaker (bercuti ke Makkah).

Adun Bangi bertanya, ``Macam mana Tuan Speaker boleh tahan, tanpa ke bilik air dari pagi ke tengahari (jam 10.00 – 1.00 tengahari) dan petang (jam 2.30-4.30 petang) ? Sedang Adun Bangi sendiri berkali-kali ke bilik air sama ada sebelah pagi atau petang.

Tuan Speaker tidak menjawab secara direct sebaliknya beliau berkata, ``Semacam Al-Marhum Tuan Syed Nasir (Tun) menjadi Yang Dipertua Parlimen (Speaker) beliau juga dikemukakan dengan soalan sedemikian, jawabnya,

``Antara fatwa untuk menjadi Speaker hendaklah mempunyai pundit-pundi yang besar !``

4) Putrajaya Sepatutnya Di Pajak Bukan Diberi Terus Selagi Ada Bulan Dan Bintang

Dalam Sidang Dewan Adun Bangi mengimbau tentang penyerahan Putrajaya kepada Kerajaan Persekutuan. Dalam satu sidang tahun 2001, Adun Kajang – masa itu Bangi di bawah DUN Kajang (1999-2004) membantah tentang penyerahan tanpa dibawa kepada kelulusan Dewan Undangan Negeri dan mencadangkan pemberian hendaklah secara pajakan. Bayaran tahunan hendaklah dinaikkan dari masa ke masa menurut tempoh pajakan. Hasil bantahan menyebabkan isu berkenaan dibawa kepada kelulusan Dewan.

Tuan Speaker mencelah. ``Yang Berhormat Bangi, bagaimana, sekarang nasi sudah jadi bubur ?``

Adun Bangi spontan menjawab,

`Boleh Tuan Speaker, kita boleh cuba, nasi dan bubur sama saja !``

5. Antara Rumah Mampu Milik Dan Tak Mampu Milik

Ketika Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan menerangkan tentang Rumah Mampu Milik, Adun Bangi mencelah dengan soalan,

``Tuan Speaker, rakyat berdepan masalah, rumah mampu milik yang rakyat boleh milik tak dapat dimilik, kerana jumlah tawarannya terhad, manakala rumah tidak mampu dimilik ditawar untuk dimilik, sukar untuk dimilik, hingga bila boleh dimilik ?``

Tuan Speaker mencelah, ``Apa cadangan Bangi ?``

Tuan Speaker, ``Kalau barang-barang keperluan utama ada kawalan harga, tidakkah rumah juga perlu dikawal supaya kenaikan tidak sewenang-wenang dan melampau ? Contoh rumah Puncak Bangi melambung naik dalam masa singkat dari harga RM800,000 kepada RM1.2 juta dan kini dikatakan naik kepada RM1.5 juta !``

Dengan nada keluhan Adun Bangi berkata,``Bagaimanalah anak cucu kita nak miliki kediaman pada masa akan datang ?``

Sekian.

No comments:

Post a Comment