November 28, 2011

Rumah Bakti Al-Kausar: Satu Lagi Pertubuhan Kebajikan Di DUN Bangi

BBB, 30 Zulhijjah = 26 November (Sabtu):

Dua minggu lepas, Adun Bangi menerima surat permohonan dari Rumah Bakti Al-Kausar di Seksyen 4 Tambahan BBB. Pada permulaan timbul tandatanya, adakah Rumah Bakti ini diselenggarakan oleh Surau Al-Kauthar di Seksyen 4, BBB, Adun juga dikelirukan oleh nama Pengerusi yang menandatangani surat – Razali Haji Basri, mirip nama seorang pimpinan ABIM. Pada 21 November Adun menerima pula surat dari Persatuan Mahasiswa Fakulti Undang-Undang (PERUNDING UKM) memohon dari Adun peruntukan untuk membuat lawatan ke Rumah Bakti Al-Kausar dalam rangka program PERUNDING `We Care We Share`.

Sebagaimana biasa permohonan-permohonan seperti ini dibawa ke Mesyuarat Mingguan bagi mempertimbangkan permohonan. Dalam mesyuarat diputuskan – Buat hubungan dengan PERUNDING bahawa Adun & AJK akan turun sama (26 November) dengan PERUNDING jika disetujui bagi tujuan utamanya menyampaikan bantuan kepada Pertubuhan Al-Kauthar dan kedua untuk memecahkan tembok halangan, bahawa selama ini bantuan diminta dari Adun, tetapi tidak melibatkan aktiviti dengan Adun oleh kerana polisi pihak universiti di bawah Kementerian yang berlainan pemerintahan. Sekatan ini menyebabkan banyak permohonan dari universiti atau institusi yang enggan bekerjasama dengan kami, menyukarkan kami untuk meluluskan permohonan.

Pihak PERUNDING bersetuju untuk turun bersama ke Rumah Bakti Al-Kausar. Dengan ini sebagaimana disusun dalam program jam 3.30 petang Adun bersama saudara Azizi tiba ke Rumah Bakti Al-Kausar di alamat No. 17 Jalan 4/12 C BBB dan diikuti dua AJK Kebajikan

saudara Harun Ar-Rashid dan Saudara Faisal. Kami disambut oleh Pengerusi Rumah Bakti En. Razali Hj. Basri dan Tuan Syed Farid bin Syed Ali Presiden Perunding yang telah mengadakan aktiviti bersama 36 ahlinya di sini sejak pagi hari ini. Kami dimaklumi bahawa Rumah Kebajikan ini tidak ada hubungan dengan Surau Al-Kauthar dan En. Razali juga bukan ada hubungan dengan pertubuhan ABIM. Menurut En. Razali, Pertubuhan Kebajikan di sini sudah dibuka sejak tiga bulan lepas dengan menyewa rumah kediaman di sini bermula 17 September 2011 dan mendapat keizinan pendaftaran 4491-11 SEL pada 10 Oktober 2011. Setakat ini Pertubuhan Kebajikan menjaga 17 orang anak yatim dan miskin di sini dengan empat tenaga pekerja dengan kos bulanan RM15,000. Sumber kewangan setakat ini adalah dari derma orang ramai. Menurut En. Razali Rumah Bakti Al-Kausar adalah cawangan kedua selepas di Bandar Tun Hussein Onn di Cheras yang menjaga 30 orang anak yatim dan miskin dan rangkaian ketiga bagi Rumah

Kebajikan terawal di Pengkalan Hulu Grik, Perak dengan 40 orang anak yatim dan miskin. Rangkaian rumah-rumah kebajikan ini dikendalikan secara keluarga (adik beradik En. Razali). Di Dun Bangi terdapat beberapa lagi rumah Kebajikan seperti di Teras Jernang, Taman Seroja di Jalan Reko dan Taman Jasmin yang kesemuanya dijalankan oleh Badan Pentadbiran secara sendirian dan bergantung pada derma.

Berhubung dengan PERUNDANG mereka telah datang membuat program bersama-sama anak-anak Rumah Bakti Al-Kauthar sejak pagi. Mereka menjalankan kegiatan seperti pembersihan, gotong royong, sukan, bimbingan pelajaran (Anak-anak di sini dihantar ke Sekolah rendah dan menengah berdekatan).

Dalam Majlis Ringkas, Adun melahirkan kesyukuran dapat datang dan berkesempatan dengan ahli-ahli PERUNDANG menyaksikan kegiatan mereka dalam masa yang singkat. Juga dapat bersama Pengendali-Pengendali Rumah Bakti Al-Kausar dan juga bersama anak-anak. Adun mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan pihak Pengerusi dan AJK-AJK yang mengambil inisiatif membuka Rumah Kebajikan di dalam kawasan DUN Bangi. Adun berharap kerjasama dengan pihak Adun dapat diteruskan. Begitu juga dengan PERUNDANG. Agak jarang pihak Adun mendapat peluang kerjasama dengan mahasiswa oleh kerana halangan birokrasi. Ini pun secara rundingan luar dan singkat.

Dalam Majlis Ringkas, pihak Adun menyampaikan cek bantuan kepada Pengerusi Rumah Kebajikan Al-Kausar. Adun juga diminta menyampaikan hadiah-hadiah dan cenderahati kepada anak-anak yang mengambil bahagian di dalam berbagai pertandingan. Jam 4.00 petang Adun memohon diri dengan diiringi hujan lebat.

Rumah Bakti Al-Kausar boleh dihubungi melalui No. 03-875 00061, 012 643 9878 dan 013 – 236 3777 – www.alkausar-bangi.com . Akaun Bank 5628 3461 5590 (Maybank Islamic).

Sekian.

4 comments:

  1. Assalamualaikum. Boleh tak kalau nak masuk rumah anak yatim?

    ReplyDelete
  2. salam, bpe bilangan anak2 yatim di rumah bakti al kausar skg?

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum..sy wakil dr mahasiswa di sebuah univeristi swasta di Selangor ingin membuat satu program bersama anak2 yatim al-kausar dlm mse yg trdekat ni.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum, saya wakil dari kolej awam di selangor ingin membuat satu program bersama anak anak yatim di kolej saya dalam masa yang terdekat.

    jadi pihak tuan boleh berhubung dengan pihak kami melalui :
    nursahiramustapha@gmail.com

    ReplyDelete