November 3, 2011

Kemenangan Pelajar Selepas `Appeal` Mengenai AUKU Tidak Menyenangkan Pemerintah. Beri Ruang Menyuburkan Kepimpinan

BBB, 07 Zulkaedah = 03 November (Khamis):

Kemenangan 4 pelajar UKM selepas `APPEAL` terhadap kesahihan AUKU (Akta Universiti Kolej Dan Universiti) satu sejarah dari segi perundangan Negara dan amat tidak menyenangkan pihak kerajaan BN yang memerintah. Hampir empat dekad AUKU (bermula 1974) berkuatkuasa bermula pada zaman Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri hingga kini. Bayangkan berapa ramai yang menjadi mangsa AUKU, berapa banyak kesannya yang telah memandulkan mahasiswa serta membantut potensi pelajar-pelajar menjadi pemimpin.

AUKU antaranya melarang mahasiswa dari terlibat di dalam berpolitik - sesuatu yang bercanggah dengan peruntukan perlembagaan Negara terutama artikal 10(1)(a) kebebasan bercakap, artikal 10(1)(b) kebebasan berhimpun dan artikal 10(1)(c) kebebasan berpersatuan. Kita masih ingat betapa sebelum 1974 gerakan mahasiswa di universiti-universiti begitu menonjol. Mereka membicarakan soal nasional dan internasional, bahkan mereka bergabung menentang dan mendesak berhubung dengan sesuatu isu. Misalnya mahasiswa UM & UKM bersatu menentang kemasukan seorang Perdana Menteri sebuah Negara jiran kerana menzalimi rakyat Islam di negaranya, mereka juga mendesak supaya diberi perhatian terhadap kemiskinan penduduk di Baling, mereka menolak kepimpinan yang dilantik, tapi tidak disetujui mereka dan sebagainya. Universiti-universiti bebas mengadakan debat siswa, debat perdana, debat ekonomi yang ahli-ahli penalnya bebas dijemput, biasanya campuran dari pihak kerajaan dan juga pembangkang. Persatuan mahasiswa dan Persatuan tenaga akademik bergiat mengadakan, forum, seminar, bengkel yang dihadiri ahli-ahli penal dari luar dan dalam kampus, tetapi selepas dikuatkuasakan AUKU, mahasiswa menjadi sepi, tenaga pengajar yang juga diikat dengan akta membisu. Semuanya ketakutan berada di bawah bayang ugutan.

Apakah dengan kemenangan mahasiswa akan mengembalikan semarak keilmuan dan kebebasan mengeluarkan pendapat dan berpersatuan ? Jangan meletakkan harapan tinggi. Kerana dengan kemenangan pelajar-pelajar, bukan kita mendengar ucapan tahniah dan cadangan kerjasama untuk membebaskan pelajar-pelajar dari ikatan AUKU, tetapi memperlihatkan ketidaksenangan pemimpin-pemimpin karajaan Barisan Nasional. YB Tan Sri Nazri Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai parlimen menyatakan perlu melihat sejauhmana kesan dari segi keputusan dan tindakan yang akan diambil. Bahkan dengan keputusan di mahkamah menurutnya, bukan bererti AUKU terbatal. Ianya merupakan satu tafsiran. YB Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, Menteri Pengajian Tinggi yang menerima keputusan mahkamah, tapi mau melihat ianya dibawa ke Federal Court. Dalam erti kata lain, ada keengganan dari segi penerimaan.. Cuma Suhakam maukan Akta berkenaan diselesaikan.

Kita berpendapat, sudah tiba masanya Akta ketinggalan zaman ini dihapuskan. Kes dan keputusan tentang AUKU ini selari dengan penghapusan ISA, namun penghapusan ISA ini diikuti cadangan mengadakan perundangan yang mengambilalih atau menggantikan Isa. Ianya bukan jaminan bahawa Akta yang menggantikan ISA lebih baik dari ISA. Kita berpendapat dengan perubahan yang berlaku pada ISA, maka sewajarnya AUKU dihapuskan. Cukup dengan peruntukan Federal bagi menangani segala isu perundangan di kampus, tetapi kita menjangka pihak pemerintah BN kini, tidak akan memberi ruang kepada penghapusan, sebaliknya akan diubahsuai ? Kita berpendapat kiranya perlu kepada Akta Pelajar yang baru, maka hendaknya bukan dirangka oleh satu pihak semata-mata, tetapi hendaklah diturut serta oleh Mahasiswa dan kalangan yang releven, tetapi perlu diambil ingatan Akta yang mau disususun bukan dengan niat untuk mengikat kegiatan para pelajar, tetapi bagaimana menyediakan suasana yang kondusif dan perundangan yang menggalakan perkembangan watak kepimpinan dan syaksiah pelajar. Mereka perlu dilihat sebagai pemimpin pelapis masa depan yang perlu dipupuk, bukan sebagai seteru yang dikutuk.

Sekian.

No comments:

Post a Comment