November 6, 2011

Korban


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Wa Lillahil Hamd

Korban adalah ibadat. Tapi bagi setengah mereka
begitu berat seberat gunung kemampuan
ingin direbahkan di hamparan keikhlasan.
Memutuskan kesayangan dari khazanah diri itu
amat liat dan kehilangan itu menggerunkan
segerun kilat tajam memancar dari pisau Ibrahim
tatkala merebahkan Ismail putera kesayangannya
di bumi kepatuhan. Korban itu ialah ketabahan
melihat sembilu pisau merentangkan ngilunya
ke leher kebakhilan lalu terasa bunyi luka
terkelar menampak keputihan lalu diiringi
gelegak-buak darah ketamakan memerah dari luka
maha parah. Korban mematikan hayat milik
kepentingan diri dengan menumpahbasahkan ehsan pada
bumi yang menyuburkan. Mata kasar itu tidak peka
pada malaikat yang diutus memerhati keikhlasan hati.
Bila-bila masa ia menghulurkan kibasy gantian
dengan gandaan tanpa disangka-sangka.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Lailaha Illallah Huwallahu Akbar
Allahu Akbar Wa Lillahil Hamd.

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi, Selangor
09 Julai 1989.

No comments:

Post a Comment