February 7, 2012

Berbagai Cara Dan Pendekatan Menyambut Maulidur Rasul S.A.W.

BBB, 12 Rabiul Awal 1433 = 05 Februari 2012 (Ahad):

Berbagai cara dan pendekatan dilakukan bagi melahirkan rasa cinta terhadap Rasulullah sempena Maulidur Rasul s.a.w. Kehadiran 12 Rabiul Awal menandakan tibanya tarikh Maulidur Rasul dan berbagai acara dan pendekatan bagi menyambut Maulidur Rasul, bahkan terdapat sambutan mendahului 12 Rabiul Awal seperti dilakukan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi.

a) Sambutan Maulidur Rasul Di Pasar Bandar Baru Bangi 11 Rabiul Awal

Sambutan ini diusahakan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang diadakan sehari lebih awal dari tarikh Maulidur Rasul (11 Rabiul Awal). Tempat ialah di hadapan Pasar BBB bermula dari jam 8.00 pagi. Seorang penceramah dijemput bagi memenuhi program Maulidur Rasul berkenaan. Penceramah jemputan berkenaan ialah Ustaz Fadhil Ismail. Beliau adalah Guru bagi Pondok Moden Saadah Ad-Darayn, Teluk Panglima Garang, Kelang.. Hadir pada ceramah terbuka di Pasar ini ialah Adun Bangi, Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk BBB, Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj, Tuan Haji Ghazali Abbas Pengerusi Surau An-Nur yang juga Bendahari Persatuan Penduduk BBB dan beberapa yang lain. Ceramah sempena Maulidur Rasul ini juga bertujuan memungut derma bagi menyiapkan bangunan Pusat Islam (Sekolah agama) yang memerlukan RM satu juta lagi setelah dua juta dibelanjakan. Kini bangunan baru 3 tingkat beratap hijau hampir siap. Dari jauh kelihatan. Ianya merupakan salah satu landmark bagi BBB.

Menurut Ustaz Fadhil kita membawa pengajaran ke pasar agar rahmat dan syafaat Rsulullah s.a.w. sama didapati, kerana Baginda diutuskan bagi membawa rahmat kepada seluruh alam. Pada hari kiamat, tiada yang sanggup mendapatkan syafaat dari Allah, melainkan Rasulullah s.aw. Sebab itu kata Ustaz Fadhil, `Tingkatkan kecintaan kita terhadap Rasulullah nescaya banyak kemudahan dikurniai Allah.``

b) Sambutan Maulidur Rasul Di Bukit Mutiara, Bukit Mewah

Adun hadir ke sini selepas pulang dari Sambutan Maulidur Rasul pada peringkat Negeri di Shah Alam. Difahamkan sambutan di sini diadakan sejak jam 8.00 pagi bertempat di Pekarangan Blok Bangunan dan perarakan dilakukan dengan mengelilingi persekitaran kawasan.

Selepas perarakan diadakan pertandingan azan, melukis, mewarna & Marhaban. Adun hadir pada jam 2.00 petang menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang-pemenang. Dengan menggunakan peruntukan dari Adun melalui Lajnah Kebajikan yang mana Ketuanya Tuan Haji Rushdi dan AJK turut sama hadir. Sumbangan-sumbangan kepada faqir miskin juga turut diadakan. Puncaknya Adun melawat seorang warga emas di Tinkat Dua rumah pangsa di sini dan menghadiahkan Kerusi Roda kepada Puan Maslamah Binti Rawi (76) yang uzur dan tak dapat berjalan sejak dua tahun yang lepas.

c) Sambutan Maulidur Rasul Secara Mabit Bagi Meningkatkan Iman Dan Taqwa

Sambutan bertempat di Surau Al-Muhajirin, Kajang Utama ini dikendalikan sepenuhnya oleh Golongan Remaja (KARIM) di sini yang diketuai Ketua KARIM saudara Mohd Nizam Hassan (Pelajar UPM). Sdr. Mohd Nizam dan kawannya sebelum ini telah datang ke Pejabat Adun berunding berhubung dengan program dan peruntukan. Program Mabit (Bermalam) berlangsung sejak petang Maulidur-Rasul dengan menjemput Ustaz Dun Danial menyampaikan motivasi bagi kalangan belia dan berjaya menarik 250 peserta remaja, diikuti Qiyamullail pada malam tadi. Pada paginya di adakan tazkirah dan riadah. Seterusnya diskusi dan bimbingan. Pembimbing utama ialah Ustaz Halim dan Rakan dari KUIS.

Menurut saudara Azman AJK Surau yang mengiringi Adun ke Majlis Penutup, bahawa program sepenuhnya dikendalikan oleh golongan belia dan kami hanya memantau dari jauh. Al-hamdulillah segalanya berjalan dengan baik. Adun mengucapkan syabas kepada golongan remaja masjid – KARIM yang mengadakan Mabit sempena menyambut Maulidr-Rasul s.a.w. dan berbagai kegiatan selama dua hari satu malam.

d) Maulidur Rasul Di Surau Pelangi, Damansara

Adun Tiba di Surau Rumah Pangsa Pelangi, Damansara ini betu-betul ketika azan Maghrib berkumandang, setelah sesat mencari bersama saudara Azizi. Surau adalah di bawah bangunan antara bangunan-bangunan tinggi dan padat di sini. Adun terus diminta mengimami solat Maghrib.

Hubungan Adun dengan surau di sini berlaku sejak Mei 2008. Pada masa itu surau bermasalah dari segi kepimpinan. Beberapa ahli surau seperti Tuan Haji Abu Bakar dan Encik Abbas dan lain-lain datang ke Pejabat Adun sebagai Pembantu Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu Dan Warisan di Tingkat Dua Bangunan SSAAS di Shah Alam. Adun mengesyorkan agar diadakan pemilihan AJK Baru yang telah lama tidak diadakan. Untuk pemilihan ini Adun dan saudara Azizi hadir ke Surau Pelangi, Damansara pada 17 Mei 2008 buat kali pertama dan dapat menyelesaikan masalah. Selepas itu Adun datang kali kedua sebagai menunaikan jemputan bagi satu perayaan diadakan.

Kehadiran Adun pada petang ini atas jemputan bagi menutup Sambutan Maulidur-Rasul yang menurut Pengerusi Surau Mejer (B) Tuan Haji Abu Bakar telah diadakan sejak pagi, iaitu dengan mengadakan perarakan di kawasan sekitar, kemudian diadakan juga pertandingan-pertandingan yang pada malam ini disampaikan hadiah-hadiah. Pada malam ini juga dijemput Penceramah Khusus bagi membicarakan tentang Maulidur Rasul, iaitu saudara Fadhlullah Haji Shuaib Pensyarah Kanan UITM, Jempul Kuala Pilah. Waktu antara Maghrib dan Isya` diisi dengan pembacaan Barzanji.

Majlis berlangsung selepas solat Isya` dengan ucapan dari Pengerusi AJK Sambutan En. Abbas yang berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan sambutan Maulidur Rasul, manakala Tuan Haji Abu Bakar berterima kasih di atas inisiatif Adun yang dapat menyelesaikan masalah di Surau Pelangi, Damansara dan beliau menyebut yang surau benar-benar menjadi sebagai `One Stop Centre` masyarakat Islam setempat yang berjumlah lebih dari 1,500 penduduk. Di sini segala kegiatan dilakukan dari ibadat, pendidikan, kemasyarakatan, perkahwinan, kenduri kendara, kematian dan sebagainya.

Adun dalam ucapan ringkas berterima kasih di atas ingatan AJK Surau terhadap Adun, sebab itu Adun berusaha datang, walaupun ada program di tempat lain. Adun berharap surau menjadi tempat penyatu umat dan menjalankan berbagai-bagai kegiatan berfaedah kepada mereka. Adun menyokong hasrat AJK untuk mengadakan sebuah surau dengan bangunan berasingan, Adun sedia membantu.

Oleh kerana program terlampau padat, program yang diperuntukkan kepada saudara Fadhlullah Haji Shuaib terlampau terhad. Beliau menggalurkan tentang sejarah kelahiran Rasulullah dan keperibadian baginda yang seharusnya menjadi contoh tauladan dan ikutan ummah. Penyampaian hadiah diadakan sebagai acara terakhir. Adun bersama saudara Azizi dan Saudara Fadhlullah Haji Shuaib yang tinggal di Sal;ak Tinggi bertolak pulang membelah malam dan tiba ke rumah selepas jam 12.00 malam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment