February 28, 2012

Zalimnya Peragut: Si Ibu Masih Pengsan, Enam Anak Dahagakan Kasih Sayang

Tuhanku aku mengadu
Betapa zalimnya peragut
Hilang kemanusiaan
Aku yang datang bersama anak bongsuku
Menjemput anak sulungku dari Sekolah
Tiba-tiba diragut pencopet jalang
Dari motorsikalku jalan perlahan
Disangkanya aku mempunyai wang
Demi mempertahankan dua anakku
Aku rangkul kedua mereka beri lindungan
Sedang aku jatuh terhentak ke batu pengsan
Dengan tempurung kepalaku pecah
Terpaksa dibedah dan diasingkan
Setelah dihantar ke Hospital Selayang
Sepurnama aku masih tidak sedarkan diri
Berterusan di katil pembaringan
Kini dibawa pulang ke rumah ibuku
Dijaga ibu dan adik kandungku.

Tuhanku aku merayu
Betapa tiadanya pertimbangan peragut
Dia tidak saja meragut sedikit wang
Tetapi meragut dari kami kasih sayang
Betapa resahnya enam anakku
Dibebani sedih bimbang sepanjang
Tidak jemu-jemu berada di pinggirku
Membelai ibu pengsan
Dengan doa kasih sayang
Agar aku pulih kebiasaan.

Tuhanku rintih hatiku
Di manakah hati perut peragut
Mengganggu kami dalam kebahagiaan
Meskipun suamiku seorang OKU
Amat terhad pergerakan
Tapi mempunyai kerja tetap atas ehsan
Cukup bagi kami meneruskan kehidupan.

Tuhanku luah hatiku
Siapakah yang kuntum kasih sayangnya
Tak pernah luntur
Selain dari ibu tersayang ?
Menyebabkan aku kembali
Di bawah lindungannya
Di Kg. Bangi ini tempat kelahiran
Tempat insya Allah meneruskan kehidupan.

Tuhanku aku pasrah
Doaku, doa anak-anaku
Doa sekalian yang sayang
Pulihlah kesihatanku
Untukku kembali menatap
Wajah comel anak-anakku
Membimbing mereka membaca Quran
Dan menyemak mata pelajaran.

Tuhanku harapanku
Aku tidak mungkin selamanya mengharapkan
Dari keluarga ehsan dan simpati yang datang
Aku mahu kembali berdikari
Memelihara anak-anakku
Dalam suasana kasih sayang
Dalam gubuk kecil sewaan
Biarpun suamiku OKU
Tapi mampu melimpah kasih sayang
Kepadaku kepada anak-anakku
Biarlah kami dalam damai
Berulam kesusahan.


Shafie Abu Bakar,
Kampong Bangi,
03 Rabiul Akhir 1433
25 Februari 2012.

2 comments:

  1. Dr. Shafie.. boleh bg maklumat bagaimana utk menyumbang kpd keluarga mangsa. simpati kpd mereka

    ReplyDelete
  2. Boleh hubungi Ketua Kampung Bangi, Hj Zakaria, 0193504262 untuk dapatkan maklumat lanjut.

    Terima kasih atas keprihatinan saudara.
    Semoga dipermudahkan Allah untuk segala urusan.

    ReplyDelete