February 9, 2012

Malaysia Menuju `Negara Orang Tua`? Bersediakah Menghadapinya ?

Pejabat Daerah Hulu Langat, 15 Rabiul Awal 1433 = 08 Februari 2012 (Rabu):

Sebuah laporan menarik perhatian bahawa, Malaysia adalah antara negeri yang cepat dengan peningkatan dan pertambahan peratusan warga emas. Malaysia yang kini mempunyai penduduk 23 juta dan mempunyai sebanyak 7% warga emas, menurut unjuran Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), maka pada tahun 2030 akan meningkat dan mencapai Negara tua/warga emas sebanyak 15%. Ini berbeza dengan setengah Negara yang lain seperti Sweden memerlukan 112 tahun untuk mencapai 15% warga emas.

Warga emas dimaksudkan kepada individu yang mencapai usia 60 tahun atau ke atas. Tahap umur sedemikian diterima pakai sebagaimana dipersetujui dalam United Nations World Assembly On Ageing di Vienna (PBB, 1982) dan dipersetujui di kalangan negara-negara Asean. Peningkatan secara positif umur penduduk di Malaysia ialah kerana meningkatnya mutu kesihatan penduduk di Negara ini. Pertambahan warga emas ini janganlah dilihat sebagai beban, tetapi hendaklah dianggap sebagai satu rahmat dan kejayaan warga emas dan Negara.

Bagi pihak pemerintah, masyarakat dan keluarga perlu menghadapi fenomena peningkatan warga emas secara positif dan membuat persediaan terbaik agar warga emas menjadi sebahagian dari warga yang positif dan produktif dan bukan dianggap sebagai beban yang menyusahkan, mereka seharusnya diterima secara kasih sayang, bukannya sebagai masalah yang membebankan. Negara-negara maju lebih ke hadapan di dalam persediaan. Berpuluh persidangan diadakan yang berhubung dengan warga emas yang menghasilkan dokumen-dokumen. Antaranya

1) Vienna International Plan of Action, 1982

2) The Copenhagen Declaration on Social Development, 1995

3) Macao Declaration and Plan of Action On Ageing for Asia and the Pacific, 1999.

4) Madrid International Plan of Action On Ageing (MIPAA), 2002.

5) United Nations Guide to The National Implementation of the Madrid International Plan of Action on Ageing, 2008.

Ada kesedaran di dalam Negara mengenai warga emas, walaupun tidak serancak peringkat antarabangsa. Misalnya:

1) Dasar Kebajikan Masyarakat Negara, 1990

2) Dasar Sosial Negara, 2003.

3) Dasar Kesihatan Warga Emas, 2008

Apa yang lebih ketara dilaksanakan ialah bantuan-bantuan kemasyarakatan, yang tidak khusus kepada warga emas sahaja, walaupun tidak dinafikan ada rumah-rumah kebajikan yang memberi perhatian terhadap warga emas. Tindakan lebih berani dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor dengan mengadakan Skim Warga Emas dan Jom Shopping. Namun dapatlah diakui belum cukup pembelaan yang diberi terhadap warga emas sepatutnya.

Untuk jangka panjang perlu ada plan yang sistematik yang dapat memberi tumpuan kepada warga-warga emas dari segi kesihatan. Pada usia emas warga sedemikian mungkin menghadapi berbagai penyakit. Pihak kerajaan hendaklah membantu melalui skim yang disediakan sehingga tidak menjadi beban bagi mereka. Warga emas juga hendaklah digalak aktif bergaul dengan masyarakat, bahkan sesamaq warga emas, Mereka hendaklah dijemput dalam majlis-majlis himpunan kemasyarakatan, sama bergiat di dalam kegiatan kemasyarakatan dan sukan yang sesuai dan mempunyai tempat mereka berhimpun. Sekiranya warga emas masih aktif dan produktif wajar dia meneruskan kegiatan ekonomi yang mungkin dapat dibantu keluarga, warga emas hendaklah diusahakan agar berada di dalam persekitaran yang menyenangkan dan elak dari fikiran mereka terganggu.. Pada peringkat usia emas individu lebih dekat kepada agama, bagi warga emas beragama Islam, mereka hendaklah digalakkan untuk ke surau masjid mengikuti ibadat dan pengajaran. Peluang bagi warga-warga emas yang berminat mengikuti kuliah-kuliah dan kegiatan ilmu di universiti wajar diberi peluang tanpa dikenakan bayaran. Biarlah warga emas brada di dalam tenang, sekiranya dia berpulang biarlah di dalam keadaan beriman dan di dalam lingkungan kasih sayang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment