Y.B. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bermenantukan orang Bangi? Sememangnya pada permulaan pertanyaan sedemikian timbul di dalam minda Adun Bangi. Tetapi semuanya itu adalah ketentuan Allah sejak azali. Bahkan diungkapkan jodoh, pertemuan dan ajal kematian adalah di tangan Allah. Berita terawal Adun hanya ketahui apabila pada satu petang Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri dan Isterinya Datin Muhibbah singgah di rumah Adun dan menyampaikan suirat jemputan dan memaklumkan kepada Adun dan isteri Adun tentang jamuan walimatul Urus sempena perkahwinan anak Tuan Guru di rumahnya di Seksyen Dua, tidak jauh dari Surau Damai.
Dari maklumat lanjut yang kami dapati, bahawa Dato` Dr. Abdul Halim mempunyai seorang pelajar angkat di UKM yang beliau adalah pensyarah di Fakulti Pendidikan di UKM. Anak angkat beliau ini bernama Jacqueline Zhe pelajar perempuan yang melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana dalam bidang kejururawatan di UKM. Pelajar ini berhasrat menganut agama Islam. Dimaklumkan pelajar ini diislamkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Rusila dengan nama Islamnya ialah Aishah binti Abdullah. Sebagai ketentuan jodoh di tangan Allah, Aishah yang asalnya bukan Islam dan bukan orang Melayu, berketurunan Cina Baba di Melaka ditakdirkan Allah dijodoh dan dipertemukan dengan anak lelaki Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang bernama Yusof bin Haji Abdul Hadi lepasan pengajian di Yaman dan berkhidmat sebagai pendidik dengan Aishah anak angkat Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri dan isterinya Datin Muhibbah.
Tengahari pada hari ini bermula dari jam 12.00 tengahari Adun bersama isteri tiba ke khemah jamuan di hadapan rumah Dato` Dr. Abdul Halim beserta dengan berbagai tamu jemputan yang lain memenuhi khemah dan ruang di hadapan rumah. Kami menunggu ketibaan Tuan Guru Haji Abdul Hadi anak menantu, keluarga dan pengiring-pengiring yang tiba jam 12.30 tengahari. Kami menyambut Tuan Guru, anak menantu dan keluarganya yang terus ke meja jamuan dan pengantin Yusof-Aishah duduk berdekatan. Kedua-dua pengantin tinggi lampai hebat dan menawan. Mereka berpakaian warna biru muda berkilauan. Tuan Guru disertai isterinya dan beberapa orang anak menantunya dan pengiring-pengiringnya. Majlis bermula dengan bacaan doa dan diikuti dengan jamuan. Sebagaimana majlis-majlis jamuan perkahwinan, demikianlah pada hari ini Dato` Dr. Abdul Halim dan isterinya menerima tamu bertali arus.
Adun dan isteri bergerak pulang selepas Tuan Guru dan isteri, kedua pengantin dijemput berehat ke dalam rumah.
Didoakan kepada Allah perkahwinan Yusof-Aishah penuh diberkati Allah, makin diperkukuh iman dan hidup dalam keadaan sejahtera dan aman damai dan dikurnia zuriat keturunan – Insya Allah.
Sekian.
Walimah beginilah yang kita mahu..TGHH memang menunjuk contoh terbaik..Tahniah sahabat lama saya datok Dr HT
ReplyDelete