February 3, 2012

Kursus Penghayatan Solat Di Surau Bangi Perdana

Bangi Perdana, 04 Rabiul Awal 1433 = 28 Januari 2012 (Sabtu):

Mungkin bagi kebanyakan orang menganggap kursus seperti ini sebagai biasa, kerana pembelajaran dan pengajian tentang solat adalah topic biasa yang dipelajari dari ibu bapa di rumah, di Sekolah, khususnya di Sekolah agama, bahkan dipelajari di surau dan masjid. Tetapi bagi kebanyakan orang itulah tahap pembelajarannya berhubung dengan solat dan tidak dipertingkatkan, bahkan di atas asas yang sedemikianlah amalan solatnya dilakukan secara berterusan. Tetapi solat adalah rukun Islam yang terpenting yang disifatkan sebagai tiang agama. Banyak daripada kita, bahkan semua daripada kita ada kelemahan dan kecacatan di dalam menunaikan ibadat solat. Bayangkan jika kecacatan ini tidak disedari dan tidak diperbaiki, maka seumur diri mengamalkan solat dengan kelemahan dan rugilah jika dengan kelemahan sedemikian berterusan.

Solat sebagai rukun Islam yang penting menuntut disempurnakan dengan sebaik yang mungkin. Menuju kepada penyempurnaan, tidak lain dari penerusan belajar. Atas dasar ini, maka Lajnah Masjid Dan Surau Adun yang diketuai oleh saudara Azmi Ahmad menganjurkan Kursus Penghayatan Solat yang pada kali ini mendapat kerjasama dari Surau Bangi Perdana. Penyampai kursus ialah Dr. Hasnan bin Kassan dari UKM. Turut hadir ialah Pengerusi Surau, iaitu Dr. Adri, pegawai-pegawai surau dan orang ramai yang berjumlah lebih kurang 100 orang. Mereka adalah mewakili surau dan masjid di seluruh Dun Bangi.

Dalam Majlis Perasmian, Dr. Adri selaku Pengerusi Surau melahirkan rasa terima kasih kerana dapat bekerjasama dengan pihak Adun menganjurkan Kursus Penghayatan Solat di Surau Bangi Perdana. Beliau melahirkan kegembiraan kerana mereka yang mengikuti kursus bukan dari satu tempat, bahkan mereka yang hadir adalah mewakili surau-surau dari kawasan Dun Bangi. Kami berharap melalui kursus yang bakal kita belajar akan meningkatkan kualiti solat kita. Kita berharap melalui mereka, keilmuan agama akan diagih dan diperluaskan kepada ahli-ahli kariah masing-masing. Yang penting bahawa kualiti solat dapat diperbaiki dan di pertingkat.

Adun Bangi dalam ucapan pembukaan berterima kasih kepada Pengerusi dan AJK Surau Bangi Perdana, kerana bersedia memberi kerjasama dan menggunakan Surau Bangi Perdana untuk menjalankan kursus. Terima kasih juga kepada semua wakil-wakil surau yang datang bagi mengikuti kursus.. Menurut Adun:

``Solat yang ditakrifkan sebagai ungkapan kata-kata, perbuatan yang pembukaan permulaannya dengan takbir dan pengakhiran penutupannya dengan salam.``

Sebenarnya mempunyai ruang yang banyak bagi kesilapan dan juga mempunyai tahap yang banyak bagi peningkatan. Bayangkan dari segi pembacaan ambil contoh membaca al-Fatihah dan surah-surah serta pembacaan tahiyyat mungkin dari kalangan kita masih tidak sempurna dari segi sebutan. Sebab itu memerlukan pembelajaran dari guru-guru yang mahir dan berkelayakan. Begitu juga mungkin amalan perbuatan kita dari berdiri, rukuk, i`tidal, sujud, duduk antara dua sujud dan duduk tahiyyat kita juga banyak yang tidak sempurna, maka dengan kursus sedemikian kita dapat menyedari dan memperbaiki amalan solat kita.

Apa yang dibicarakan lebih bersifat lahiri dan mekanisme, tetapi solat mempunyai hubungan yang rapat dengan aspek rohani. Solat ialah hubungan hamba dengan Pencipta. Ianya menuntut keintiman hubungan hamba dengan Pencipta yang antaranya diistilahkan dengan khusyuk, mesra dan cinta kepada Allah. Aspek-aspek sedemikian memerlukan penyediaan kerohanian yang tinggi dan tidak mudah dicapai pada tahap kebiasaan. Solat bukan semata-mata ditunaikan secara mekanisme luaran tanpa sentuhan dalaman, bahkan bukan setakat sentuhan, tetapi tiba kepada kelazatan dan kecintaan. Sesungguhnya Rasulullah menerima solat melalui mi`raj, maka mi`raj bagi hamba adalah melalui solat. Aspek-aspek sedemikian mungkin mudah diperkatakan, tetapi amat sukar untuk mencapainya. Ini diisyaratkan oleh Allah di dalam firmanNya yang bermaksud:

Sesungguhnya berjayalah orang-orang mu`min yang di dalam solat mereka dilakukan secara khsyuk (al-Mu`minun, 1 -2).

Selain daripada itu solat juga boleh dilihat dari segi pembinan peribadi dan kemasyarakatan. Contoh firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya solat menegah dari perbutan keji dan mungkar (al-`Ankabut: 45).

Kita berharap Kursus Penghayatan Solat dapat meningkatkan kualiti solat kita dan memberi impak kepada kehidupan diri dan masyarakat, insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment