February 14, 2012

Ziarah Mangsa Rumah Terbakar Di Taman Tun Perak, Tinjau Pembangunan Surau Dan Sekolah Agama

Taman Tun Perak, 19 Rabiul Awal 1433 = 12 Februari 2012 (Ahad):

Jam 12.00 tengahari, sebagaimana janji dengan AJK Kebajikan yang diketuai oleh Haji Rushdi, Adun Bangi tiba di Balairaya Tun Perak, Balakong di sini disambut antaranya oleh En. Abdul Halim Pengerusi Surau (Lama) di sini, Encik Suhaimi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Surau Baru, En. Norizan Pengerusi JMB, Puan Natrah Ketua Muslimat di sini dan beberapa yang lain. Kami diperkenalkan kepada Enzik Azmi bersama isteri dan tiga anaknya mangsa kebakaran yang dibenarkan mendiami Balairaya di sini sementara mendapat rumah sewa (sementara) sebelum dibaikpulih rumahnya yang terbakar. Encik Azmi adalah pekerja security di Desa Tun Razak dan membeli rumah di bahagian atas Blok Pahlawan Blok 5 (505-07) perumahan Tun Perak di sini sejak blok di sini disiapkan sejak sepuluh tahun yang lepas. Setiap unit di sini di bawah GMB diwajibkan mengambil ansuran perlindungan kebakaran.

Menceritakan tentang kebakaran, En. Azmi berkata pada hari berlakunya kebakaran iaitu 8 Februari 2012 (Rabu) jam 1.00 tengahari, mereka sekeluarga berada di rumah, tiba-tiba api menyala dari dalam sebuah bilik. Apabila terbakar, orang ramai dari bawah datang menolong, sebelum bomba tiba, tapi kebakaran berlaku dengan cepat, hampir semua barang-barang musnah termasuk siling dan bombong yang rumah saudara Azmi bahagian atas, tingkat 5, Blok Pahlawan. Kami mau melihat sendiri unit yang terbakar milik saudara Azmi, tapi sebelum ke sana, kami menyampaikan bantuan dari peruntukan Adun, turut disampaikan sumbangan dari Muslimat Pas Serdang.

Selepas dari itu, kami bergerak ke Blok Pahlawan yang agak jauh sedikit dari balairaya dan kami ke sana dengan kenderaan. Di bangunan Pahlawan ini kami menaiki dari tingkat ke tingkat (tiada lif) hingga ke tingkat lima. Kami lihat kesan terbakar pada bilik yang dijangka mula terbakar. Bahagian atas juga rosak dengan kesan kebakaran yang semua siling dibuang dan sebahagian perkakas kayu bahagian atas termasuk atap perlu diganti lain. Buat masa ini pekerja-pekerja Bangladish sedang membersih kesan-kesan kebakaran dan membuat kerja-kerja baikpulih peringkat permulaan. Pampasan insuran kebakaran dijangka memerlu masa untuk mendapat ganti rugi. Selepas melahirkan rasa simpati dan memberi harapan bahawa rumah segera dibaiki kepada saudara Azmi, kami turun ke bawah melihat persekitaran, termasuk saudara Azizi mengambil gambar-gambar bangunan.

Selepas dari lawatan ke rumah saudara Azmi yang terbakar, kami mengambil kesempatan melihat Surau Al-Faizin surau baru yang rangka bangunannya mulai terbina. Menurut saudara Suhaimi Pengerusi Pembangunan surau, setakat ini sebanyak RM400,000 telah dibelanjakan. Kami memerlukan sebanyak RM60,000 untuk bayaran semasa kepada kontrektor dan pekerja. Kami memerlukan lebih dari sejuta lagi bagi menyiapkannya. Kata saudara Suhaimi, ``Al-Hamdulillah setelah rangka terbina, ramai mereka yang menderma. Ada yang sponsor untuk membayar kos menara, ada yang sanggup membiayai kos bumbung dan ada yang sanggup menanggung kos bagi kubah. Ramai yang menderma secara senyap-senyap. Sebahagian penderma yang bermurah hati adalah dari Bandar Tun Hussein Onn. Adun juga berjanji untuk melengkapkan bayaran yang sudah dibuat. Menurut saudara Suhaimi, ``Kita bernasib baik dengan kontrektor Hj. Hussein Yunus dan Wan Huzainizam yang membina menurut wujudnya peruntukan kewangan dan bersabar ketika ketiadaan wang.`` Bila siap Surau Al-Faizin ini ianya memberi kemudahan bagi penduduk di berbagai blok di sini. Ianya juga akan memberi kemudahan kepada pelajar-pelajar Sekolah agama berdekatan yang akan dibuka tidak lama lagi.

Adun juga mengambil kesempatan meninjau bangunan 2 blok tiga tingkat Sekolah agama di sini dan juga bangunan kantin yang telah siap. Ianya merupakan Sekolah agama terbesar di sini yang menelan belanja sebanyak RM8 juta ringgit. Bangunan menyediakan 30 bilik darjah dengan dua bilik guru. Bangunan ini dirasmikan pecah tanahnya oleh Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor dua tahun dahulu. Tanah bagi kawasan Sekolah, masih luas bagi pembangunan Sekolah ini atau Sekolah Agama Menengah/Tahfiz pada masa akan datang. Kita berharap pendidikan Islam berkembang di sini dan turut makmur dan bersemarak dengan pengajaran di Surau Al-Faizin berdekatan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment