February 13, 2012

Maulidur Rasul Bersama Anak-Anak Sekolah & Anugerah Kecemerlangan

BBB, 19 Rabiul Awal 1433 = 12 Februari 2012 (Ahad):

Beberapa sambutan Maulidur Rasul yang Adun hadir adalah melibatkan kalangan orang dewasa dan caranya pula berbagai-bagai. Hari ini Adun menghadiri dua sambutan Maulidur Rasul. Kedua-duanya melibatkan kalangan anak-anak. Pertama Sambutan Maulidur Rasul oleh Kafa Integrasi Taman Jasmin dengan kerjasama Surau Taman Jasmin, Rukun Tetangga Taman Jasmin, Persatuan Penduduk Taman Jasmin dan Jawatankuasa Bukit Kenangan. Kedua melibatkan anak-anak Sekolah Rendah Islam Al-Hidayah, Desa Ria, Balakong.

Bagi yang pertama di Taman Jasmin, Adun yang tiba jam 8.30 pagi mendapati pekarangan dan jalan surau di penuhi dengan anak-anak kafa integrasi yang jumlah muridnya 776 orang dengan 25 guru. Mereka bersedia untuk berarak dengan membawa sepanduk-sepanduk. Tema sambutan ialah Persefahaman Asas Perpaduan. Walau macam mana pada masa tiba ini, majlis perasmian mula berjalan. Hadir ke majlis selain dari Adun ialah Tuan Haji Mohd Zaid bin Hussin Selaku Pengerusi Persatuan Penduduk dan juga Pengurus Kafa Integrasi, Tuan Haji Abdul Aziz Che Min Pengerusi Surau dan Pengerusi-Pengerusi Rukun Tetangga dan ibu bapa.

Majlis bermula dengan bacaan al-Quran dan diikuti ucapan oleh Tuan Haji Mohd Zaid bin Hussin yang menurut beliau objektif diadakan Sambutan Maulidur Rasul bagi mendedahkan kepada anak-anak pernyataan kasih sayang kepada Rasulullah s.a.w. melalui salawat dan salam, juga sebagai motivasi kepada anak-anak mempraktikkan akhlak Junjungan yang baginda diutuskan sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Adun yang berucap untuk perasmian mengucap terima kasih di atas jemputan dan teroja melihat kerjasama antara Sekolah dengan surau, rukun tetangga, persatuan penduduk dan orang ramai. Adun berpendapat kemeriahan kehadiran terutama dari kalangan anak-anak ialah wujudnya kepimpinan berkesan pada peringkat Kafa, Persatuan Penduduk, kepimpinan surau dan kepimpinan Persatuan. Diharap kerjasama sedemikian akan berterusan. Adun melihat sambutan begitu meriah terutama dikalangan anak-anak yang begitu bergembira kerana dapat menyertai perarakan. Aktiviti ini adalah kegiatan yang baik bagi memupuk rasa kasih sayang kepada Rasulullah s.a.w. Tetapi kasih sayang paling utama dan tinggi ialah kita mentaati perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Adun berpendapat inilah yang sedang dipupuk oleh guru-guru terhadap anak-anak. Selepas perasmian perarakan bermula dengan pemimpin-pemimpin setempat dan Adun berada pada bahagian hadapan memulakan perjalanan bersama jamaah yang lain. Laluan adalah menurut jalan dalam taman berkeliling melalui jalan utama kawasan perumahan. Adun turut berarak sehingga ¾ perjalanan yang jauhnya kira-kira 4 km. Adun terpaksa menarik diri kerana hendak menyertai satu lagi jemputan perayaan Maulidur-Rasul s.a.w. Perarakan adalah dengan suka rela tanpa memngadakan sebarang pertandingan.

Program kedua selanjutnya ialah pada jam 10.30 pagi anjuran Sekolah Rendah Islam Al-Hidayah, Balakong, tetapi bertempat di Dewan Orang Ramai di Cheras Jaya. Pada masa kehadiran Adun majlis sedang berjalan dengan kehadiran Ustaz Haji Zainudin bin Haji Hussain Pengerusi Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Hidayah, Encik Hasrul bin Abu Bakar Penceramah jemputan, saudara Saruji Ngadiman Pengerusi Pasti Al-Badrul Munir yang turut sama menyertai sambutan.

Pada masa ketibaan Adun di Dewan, ceramah Maulidur Rasul oleh Ustaz Hasrul Abu Bakar sudah berlangsung dan Ustaz Zainuddin mula berucap. Beliau memaklumkan kejayaan Sambutan Maulidur Rasul bergantung pada kerjasama semua pihak. Beliau mengucapkan terima kasih kepada yang menderma, terima kasih jua kepada ibu bapa dan anak-anak yang dapat menyertai majlis. Beliau menyebut perjalanan Sekolah kini mendapat kerjasama dari berbagai pihak, beliau bertanya kemungkinan sumber kewangan yang boleh didapati Sekolah. Menurutnya adalah menjadi hasrat Sekolah bagi membina generasi sebagaimana tema pada hari ini iaitu, ``Bersama Membina Generasi Gemilang & Bertaqwa.``

Dalam ucapan Adun, memuji di atas kerjasama pihak Sekolah Rendah dengan berbagai pihak. Beliau menyatakan peruntukan boleh dimohon dari Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan selain dari boleh memohon peruntukan zakat. Adun memuji majlis yang dijalankan kerana dengan demikian dapat menggalakkan anak-anak berlumba secara sihat baik dalam bidang akademik dan kepimpinan. Ini terbukti dari hadiah-hadiah yang disediakan.

Selapas itu Adun diminta menyampaikan hadiah kepada pelajar-pelajar . Antaranya hadiah Tokoh Pelajar kepada pelajar Lokman bin Arifin bagi pelajar lelaki dan Atiqah binti Azhar Tokoh Pelajar Perempuan. Berpuluh-puluh hadiah lagi disampaikan kepada pelajar-pelajar cemerlang dan pelajar-pelajar harapan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment