January 31, 2011

Melengkapkan Kunjungan Sempena Menyambut Tahun Baru Cina

Sungai Chua, 25 Safar = 30 Januari (Ahad):


Pagi ini adalah merupakan siri terakhir lawatan ke pasar-pasar dan pasar-pasar malam sempena menyambut Tahun Baru Cina 2011. Adalah menjadi satu budaya, sekurang-kurangnya bagi Adun Bangi, menemui masyarakat Cina bagi mengucapkan ``Selamat Menyambut Tahun Baru Cina` setiap kali tibanya musim Tahun Baru Cina. Cara terbaik bagi menemui masyarakat berkenaan melalui kunjungan ke pasar-pasar dan pasar-pasar malam yang menjadi kunjungan masyarakat Cina dan juga masyarakat kaum yang lain.


Pasar biasa biasanya lebih ramai masyarakat Cina dan masyarakat lain berkunjung ialah pada hari Sabtu atau Ahad. Manakala Pasar Malam menurut jadual di mana pasar-pasar malam diadakan. Pada kebiasaan Adun turun secara berpasukan yang terdiri dari lebih kurang 10 orang. Mereka selain dari AJK dibantu oleh ahli-ahli cawangan setempat. Antara 20 hingga tiga puluh peti limau disedia untuk diagihkan. Limau bukan saja diagihkan kepada kaum Cina sahaja, tetapi adalah bagi semua kaum.


Pada kesempatan kunjungan berbagai bahan maklumat, buletin dan akhbar diedarkan. Bagi tahun ini tempat-tempat berikut di kunjungi:


1) Pasar Malam Pekan Bangi Khamis 20Januari 2011.

2) Pasar Malam Uptown Khamis 20 Januari 2011

3) Pasar Malam Seri Langat Selasa 25 Januari 2011

4) Pasar Malam Taman Jasmin Khamis 27 Januari 2011

5) Pasar Kajang Sabtu 29 Januari 2011

6) Pasar Kwantong Sungai Chua Ahad 30 Januari 2011

7) Kunjungan rumah ke rumah (15 buah) di Kg. Cina Lembah, Pekan Bangi 31 Januari 2011


(* Pasar malam Pekan Bangi dan Up Town turun secara bersama dengan Y.B. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang).


Kami akan turun sekali lagi menemui masyarakat Tionghua dan masyarakat kaum-kaum lain pada tempat-tempat di atas bagi mengedarkan kad Jemputan Sambutan Tahun Baru Cina pada peringkat Kawasan Serdang anjuran bersama Pakatan Rakyat yang akan diadakan pada Sabtu 26 Februari 2011 di Taman Jasmin, Kajang. Jemputan untuk menghadiri sambutan ini tidak terhad kepada satu kaum, tetapi adalah untuk semua kaum.


Sekian.

Melawat Hospital Serdang Runtuh Siling

Hospital Serdang, 25 Safar = 30 Januari (Ahad):


Setelah mendapat maklumat Hospital Serdang runtuh menggerakkan rasa ingin tahu Adun bagaimana hospital yang baru digunakan tidak sampai 10 tahun itu boleh runtuh. Lantas bersama Ustaz Shafie Ngah dan saudara Azizi kami bertolak dari Sungai Ramal Luar (turun Padang di sini) ke Hospital Kajang.


Di Hospital di dapati ruang lobi yang menjadi tempat ketibaan utama pelawat-pelawat ditutup. Ruang itu disekat dengan lingkungan kanbis plastic dan tidak dibenarkan sesiapa masuk. Aktiviti perniagaan dilobi berkenaan juga ditutup. Segala urusan bagi pengunjung adalah melalui pintu kedua bersebelahan pintu yang ditutup.


Adun meminta kebenaran dari pengawal bagi melihat kerosakan, pada peringkat awal pengawal agak enggan membenarkan kami masuk. Tetapi selepas, berunding pengawal membenarkan kami masuk. Apa yang dapat dilihat siling anjung yang tingginya lebihkurang 3 meter itu sebanyak 4 keping besar siling runtuh dan jatuh ke bawah di bahagian lobi. Menurut seorang penyelia yang sama mengiring Adun, kejadian sebenarnya berlaku pada tengah malam tadi. Pada masa itu api telah ditutup untuk mengelak pengunjung tidur di situ. Oleh kerana ketiadaan orang pada masa itu, maka tidak berlaku sebarang kemalangan baik dari kalangan pengunjung atau pekerja.

Dari perhatian Adun siling adalah dari jenis material yang ringan yang disangkut kebahagian lantai di atasnya. Namun kita persoalkan dari segi mutu kerja, bagaimana
siling-siling tersebut begitu senang tertanggal dan jatuh ke bawah. Peristiwa diakibatkan oleh kecuaian dan rendahnya mutu binaan sebagaimana pernah runtuhnya stadium di Gong Badak di Kuala Terengganu, pasar di Kuala Berang dan beberapa premis dan bangunana yang lain.


Kita mendesak kerajaan (JKR) selain dari memperbaiki yang rosak dan siling-siling seumpama ini masih banyak kedapatan di lobi dan tempat-tempat yang lain hendaklah diperiksa kembali agar tidak berlaku peristiwa siling runtuh dan membahayakan pengunjung dan pekerja. Lebih dari itu kontrektor-kontrektor yang dipilih hendaklah benar-benar bermutu dan telah menghasilkan kerja yang baik.

Sekian.

January 30, 2011

Pengundi Tenang: Selamat Mengundi

Pagi Ahad 30 Januari 2011 ini penduduk Tenang berkelayakan mengundi keluar mengundi bagi memilih Wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri Johor yang telah kosong. Kita mendoakan agar pengundi membuat pilihan terbaik. Pihak Pakatan Rakyat menawarkan calon terbaik, iaitu Cikgu NURMALA BINTI SUDIRMAN. Pilihlah calon ini untuk membawa perubahan dan kebaikan bagi kepentingan rakyat sebagaimana ditawarkan oleh Pakatan Rakyat.

Selamat Mengundi !

Burung Walit: Apakah Istimewanya ?

Istilah `Burung Walit` agak baru dikenali. Dulu spesis burung ini dikenali sebagai `Burung Layang-Layang`, tetapi bukan semua burung layang-layang dikenali sebagai `Burung Walit. Istilah yang merujuk kepada burung ini ialah Aerodramus fuciphagus dan aerodramus maxima. Keistimeaan burung ini mampu terbang tinggi hingga ke laut lepas memungut bunga-bunga laut dan bahan-bahan di ruang terbuka luas. Darinya burung-burung ini menghasilkan sarang-sarang di daratan dan di kejauhan seperti di gua-gua. Sarang ini mempunyai khasiat dari segi pemakanan dan juga perubatan.

Akhir-akhir ini burung yang agak liar ini dijinakkan melalui penyediaan tempat burung ini membuat sarang, iaitu menyediakan rumah-rumah atau bangunan-bangunan persinggahan bagi burung-burung ini membuat sarang. Rumah-rumah ini mungkin dibina khas di tengah sawah dan jauh dari kediaman biasa. Di dalam rumah ini kadang-kadang dipasang keset suara Burung Walit bagi menarik burung berkenaan datang dan bersarang. Oleh kerana istimewanya sarang burung walit ini dari segi permakanan, kesihatan, perubatan dan kosmetik, maka harganya bagi satu kg. meningkat sampai RM16,000 hingga RM20,000. Jika istimewanya lebah-lebah menghimpun madu dari hutan rimba, gunung ganang, lembah dan pamah dan madu ini terhimpun di dalam sarang bermadu dan mempunyai khasiat dan mahal harganya, maka Burung Walit ini juga ibarat lebah, Burung Walit menghimpunkan bahan-bahan bagi sarangnya secara memungutnya dari laut dan udara dan menghimpun di dalam sarang-sarang di bangunan yang disediakan. Dengan harganya yang mahal ramai daripada pengusaha, biasa bermodal besar membina bangunan-bangunan bagi menarik Burung Walit datang bersarang. Perlumbaan membuka perusahaan sedemikian berlaku di kampung dan juga di Bandar. Ada daripada mereka menggunakan premis-premis di tengah kawasan kediaman yang mengganggu ketenteraman dan kesihatan penduduk. Ini menimbulkan protest dan mohon dikawal dari segi pembinaan bangunan bagi menarik Burung Walit ini bersarang.

Berhubung dengan Persoalan Burung Walit telah lama ditimbulkan di dalam Dewan Negeri, ahli-ahli Dewan Negeri menuntut supaya dikenakan aturan atau akta Pemeliharaan Burung Walit. Peraturan pemeliharaan Burung Walit, diadakan. Peraturan ini juga diperturunkan ke PBT-PBT bagi tujuan penyelarasan. Antara garis panduan yang dikehendaki agar mudah dikuti adalah seperti berikut:

• Tidak dibenar diadakan di kawasan perumahan, tempat peranginan dan tempat awam
• Dibenarkan di kawasan pertanian. Ianya dibenarkan di kawasan perusahaan ringan jika melibatkan pemprosesan
• Pengusaha perlu mendapat keizinan penduduk dan pemilik premis jika perusahaan berada di dalam lingkungan 200 meter.
• Had tinggi bangunan tidak melebihi 5 tingkat
• Bangunan diwartakan sebagai Warisan tidak dibenar menggunakannya
• Bangunan hendaklah kalis air dan mudah dicucikan
• Bangunan hendaklah memenuhi keperluan bomba termasuk menyediakan alat pemadam api.
• Tidak dibenar membina kolam atau tangki air di atas bangunan bagi merendahkan suhu dan mengekal kelembapan
• Kawasan sekitar dan bangunan hendaklah bersih dari najis burung
• Tidak dibenar menggunakan perakam bunyi
• Diwajib menyediakan tong sampah sebagai premis perniagaan
• Perlu mendapat sokongan dari Jabatan Kesihatan, Jabatan Pehilitan dan Jabatan Haiwan.

Perusahaan Burung Walit berpotensi mendapat pulangan yang tinggi dan mampu menjadi menjana hasil Negara, sebab itu perusahaan ini perlulah dikendalikan secara teratur dan memberi faedah kepada semua pihak yang berkenaan.

Sekian.

January 29, 2011

YDP Lancarkan Pelan Strategik MPKj 2009 - 2013




Kajang, 28 Januari = 23 Safar (Jumaat):

Dalam satu majlis ringkas sebelum memulakan Mesyuarat MPKj Bil.1/2011, YDP MPKj Dato` Hasan Nawawi bin Abd. Rahman melancarkan buku Pelan Strategik MPKj 2009-2013 yang merupakan hasil bengkel-bengkel yang telah diadakan sebelumnya dan mengalami pembaikan-pembaikan. Antara objektifnya ialah mewujudkan Bandar yang sejahtera, selesa dan disenangi, berupaya menyediakan perkhidmatan menepati keperluan misalnya dengan menyediakan infrastruktur yang kondusif, melaksanakan perkhidmatan teras dari segi jalan, longkang, sampah, lampu dan rumput dengan lebih cekap, dinamik dan berkeberkesanan dan melaksanakan undang-undang mengikut akta yang digunapakai. Pelan ini menjadi dasar dan panduan kerja MPKj bagi tempoh lima tahun akan datang dan juga menjadi asas dan rujukan kepada penduduk di dalam membuat aduan dan hak mendapat perkhidmatan dari MPKj.

Dato` Hasan selaku YDP MPKj di dalam ucapan ringkasnya menekankan perubahan yang bakal berlaku dari segi perhubungan transportation dalam mana Perbadanan MRI akan membina rangkaian pengangkutan mulai 2012 dari Sungai Buluh ke Kajang yang jaraknya sejauh 51 km. Laluan ini sebagaimana dibentang oleh SPAD (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Development) dan laluan ini dikenali dengan Laluan Blueline. Daripada 51 km jalan 13.7 adalah melalui kawasan Kajang. Dari Sungai Buluh ke Jalan Duta adalah merupakan laluan dibina atas jalanraya. Daripada Jalan Duta ke Bangunan Punex, iaitu sejauh 23 km. adalah merupakan jalan di bawah tanah. Mulai dari Bangunan Punex keluar semula mengikut jalanraya sehingga ke Simpang Balai Polis Kajang dan berakhir ke Hentian Kajang di Jalan Reko. Hentian ini dianggap tempat pertemuan segala perhubungan dari utara ke selatan dan ke pelbagai tempat lagi. Pembangunan di sini akan diperluaskan di atas tapak seluas 12 ekar kepunyaan KTM, termasuklah menyediakan tempat parking secukupnya. Dengan siapnya rangkaian perhubungan darat ini dapat memberi kemudahan kepada penduduk dari segi pergerakan mereka terutama antara Sungai Buluh dan Kajang di samping menambah lagi peluang pekerjaan.

MPKj berharap dengan kewujudan perkhidmatan transportation berkenaan dapat merealisasikan Motto MPKj mewujudkan Bandar selesa, selamat dan Mesra serta melaksanakan tugas dengan cepat dan tepat.

Sekian.

January 28, 2011

Hadiah `Bunga Burung` Tanda Sokong Dan Mohon Sokongan Diberi Kepada Cikgu Normala Sudirman Calon Pakatan Rakyat Di Tenang

Labis Timur, 17 Safar = 22 Januari (Sabtu):

Tenaga kerja dari Pas Negeri Selangor diberi amanah membantu kempen Pilihanraya Kecil Tenang di bahagian Labis Timur. UPU disini mempunyai 56 lokaliti dengan jumlah 2,000 pengundi. Pada petang hari penamaan calon ini, pasukan dari negeri Selangor yang berjumlah 100 orang itu antaranya diarah keluar memasang bendera dan poster di kawasan Labis Timur berkenaan. Manakala sebahagian dari muslimin (10 orang) diminta mengiringi muslimat yang membuat penculaan di kawasan perumahan `Gunung Mas`.

Kumpulan muslimat di sini yang ramai dari Bangi dipecah kepada 2 kumpulan yang setiap kumpulan diiringi beberapa orang muslimin – termasuk dari Bangi bagi menjaga keselamatan mereka. Gunung Mas ialah kawasan perumahan yang dibangunkan sejak 1970an. Terdapat di sini lebih kurang 200 buah rumah banglo setingkat yang tersusun bagai rumah teres. Penghuni-penghuni di sini dari kalangan masyarakat Cina yang agak lanjut usia mereka.

Dari kunjungan yang dilakukan oleh muslimat, kami dapati respon yang diberi oleh masyarakat Cina di sini amatlah baik. Setiap penghuni rumah setelah mengetahui kehadiran kami, membuka pintu dan menunggu giliran kami datang mengunjung. Bahkan antara mereka seperti Puan Lam Ting Kau bersama anaknya mengiringi kami dan memberitahu nama-nama penghuni dan keperluan-keperluan maklumat diri seperti kad pengenalan dan dokumen-dokumen yang lain. Kami dapati dalam iringan ini beberapa nama orang tua yang memang telah mengundi di DUN Tenang pada pilihan raya yang lepas, di dapati tiada nama mereka pada senarai yang dikeluarkan. Sehubungan itu ada yang menjalankan kempen negatif kononnya dikatakan. ``Orang tua tak perlu mengundi, nama mereka sudah ditiadakan`. Sebab itu orang tua yang tak ada nama dalam senarai, tak perlu keluar mengundi. Ini barang kali kesengajaan musuh dalam gerak saraf mereka, kerana mereka tahu tempat ini kuat dengan penyokong Pakatan Rakyat.

Walau bagaimanapun di dalam usaha membantu penculaan ini, Tuan Haji Nik Pa bin Nik Leh yang sama mengiringi berkesempatan membuat rujukan kepada internet melalui telefon bimbit dan mendapati, nama-nama yang tiada di dalam senarai tertulis ini sebenarnya ada dalam internet, setelah nombor kad pengenalan mereka dirujuk. Walau bagaimanapun ini membimbangkan kami, jika ini adalah salah satu taktik pihak musuh agar penyokong-penyokong veteran kuat di sini tidak keluar mengundi. Kami mengingatkan kepada mereka yang nama-nama mereka tiada di dalam senarai supaya keluar mengundi pada 30 Januari nanti, kerana nama mereka ada di dalam internet.

Hubungan kami dengan masyarakat Tionghua di sini, walaupun dalam masa yang singkat segera mesra. Sambutan demikian adalah di luar jangkaan kami. Pada petang itu dengan pencula yang dipecah kepada dua kumpulan itu dapat mencula lebih kurang 50 buah rumah. Pada rumah terakhir kami diperkenalkan oleh Tuan Rumah dengan sejenis pokok bunga yang dikenali dengan `Bunga Burung`. Dinamakan `Bunga Burung` kerana pada setiap kelopak bunga yang berkembang seolah-olah seekor burung sedang hinggap bagi menghisap madu bunga. Dengan banyaknya bunga yang berkembang kelihatan banyak burung-burung yang hinggap menghisap madu. Kami diberitahu oleh Puan Lam Ting Kau yang terus mengiringi kami dengan anaknya dan Tuan Rumah pemilik pokok bunga itu, bahawa pokok bunga itu dibawa dari Indonesia. Ianya mudah ditanam dengan memotong bahagian pokok dan boleh disemai dan mudah hidup. Pokok yang sedang berbunga dalam pasu adalah salah satu daripadanya di samping beberapa daripadanya disemai di dalam bekas semaian plastik hitam.

Apabila kami mahu berpisah untuk pulang ke penginapan. Tuan rumah berkenaan mahu menghadiahkan pokok yang sudah besar dan berbunga itu kepada kami, menandakan `Sokong Untuk Kemenangan` dan meminta yang lain juga beri sokongan untuk kemenangan Puan Normala Sudirman. Pemberian yang tak disangka itu kami terima. Mereka juga memberi 6 bekas semaian dalam plastik hitam untuk pencula-pencula yang datang bersama. Apabila kami memberi sedikit wang kepada anaknya sebagai terima kasih, mereka menolak secara keras. Menurut mereka, mereka memberi secara ikhlas. Sebagai tanda mesra kami menghadiahkan sekotak limau yang kebetulan kami bawa.

Bila kami pulang ke penginapan, jiran dari kaum Cina di sini juga memperkenalkan Pokok Bunga Burung yang memberi makna pokok ini popular ditanam di sini. Kami dimaklumkan satu pasu yang ditanam pokok ini sebagaimana kami dihadiahkan adalah berharga RM150/=. Kami juga dibawa oleh tuan rumah jiran mengenali berbagai tanaman yang ditanam, kerana rumahnya di bahagian tepi dan mempunyai keluasan tanah untuk bercucuk tanam. Mereka juga memetik, sebagaimana kami juga diminta memetik buah Cheng Ko (Markisa) dan memakan di bawah rang pokok berkenaan. Bayangkan mesranya kami dengan masyarakat Tionghua di sini. Kami percaya mereka memberi sokongan padu bagi calon Pakatan Rakyat – Cikgu Normala Sudirman.

Dari masyarakat Tionghua di sini kita mendapat sokongan dan kita harap mendapat sokongan dari masyarakat di Tenang bagi mencapai kemenangan – Insya Allah.

Sekian.

January 27, 2011

`Lancheon Talk` Dilancarkan: Pendekatan Ekonomi Seharusnya Bersifat Adil Dan Ehsan

Shah Alam, 20 Safar = 25 Januari (Selasa):


Jabatan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor hari ini melancarkan program bersiri `Luncheon Talk` bertempat di Kelab Shah Alam Selangor, Persiaran Kayangan, Shah Alam mulai jam 11.30 hingga 2.00 petang. Program ini mendapat penghormatan Tokoh Pertama dengan kehadiran Y.B. Dato` Seri Anwar Ibrahim Penasihat Ekonomi Negeri Selangor yang juga Ketua Umum PKR. Seramai 100 orang dijemput. Mereka terdiri dari pemimpin-pemimpin politik negeri Selangor bertujuan untuk mendedahkan mereka dengan isu-isu ekonomi semasa, khususnya yang berkait dengan ekonomi Malaysia yang menurut Y.B. Elezabeth Wong dalam kata-kata alu-aluannya, sebagai Pengerusi Majlis, bahawa Ekonomi Malaysia makin meruncing dan kerajaan gagal mengawalnya. Disamping itu diharap melalui Luncheon Talk ini dapat mencambahkan idea-idea bernas yang dapat menyumbangkan kea rah pemantapan ekonomi Negara.


Tokoh utama yang julung kali dijemput adalah juga bagi tujuan mengulas - isu pertama kali ini berdasarkan kertas kerja yang disedia dan dibentangkan oleh Ybhg. Dr. Zakariah Abdul Rashid, Pengarah Eksekutif, Malaysia Institute of Economic Research (MIER) atas tajuk:

Subsidi: Bebanan Negara atau Bebanan Rakyat ?

Dr. Zakariah di dalam menyampaikan kertasnya, menyatakan ada yang berpendapat subsidi perlu ditarik balik bagi mengimbangi defisit berpanjangan disebabkan oleh perbelanjaan subsidi. Menurutnya, sememangnya, apabila subsidi diperkenalkan, maka harga berada di bawah keseimbangan. Pihak rakyat yang menikmati subsidi mendapat harga lebih murah dari harga dari pasaran biasa, tetapi ada pihak (pengeluar) terbeban dengan menanggung kos yang disubsidikan. Sebaliknya jika subsidi ditarik balik dan dibiarkan harga menurut pasaran, maka bebanan kos akan berpindah dari pengeluar dan kerajaan kepada pengguna.

Menurut Dr. Zakariah, pengguna ada berbagai kategori, ada pengguna Bandar dan ada pengguna luar Bandar, ada pengguna kaya dan ada pengguna miskin. Bagi pengguna Bandar dan kaya kenaikan harga barang dan perkhidmatan kepada mereka katakan kenaikan 20%, maka tidak memberi kesan kepada mereka, tetapi bagi orang miskin sama ada dikampong atau dibandar, ia memberi kesan yang parah kepada mereka.
Penarikan subsidi atau ditiadakan subsidi memang ideal dan baik, sekiranya taraf hidup rakyat berimbang, tiada masyarakat yang miskin. Keadaan sedemikian adalah mustahil. Sebab itu subsidi perlu bagi barang-barang asas keperluan rakyat ditempat dan masa bersesuaian.


Y.B. Dato` Seri Anwar di dalam ulasannya terhadap kertaskerja yang dibentang Dr. Zakariah menyatakan bahawa pertentangan berlaku antara Negara kaya seperti Eropah dan miskin seperti Asia. Kadar pendapatan mereka mantap dan jurang perbezaan kurang nyata, berbeza dengan rakyat di Asia, terdapat perbezaan yang ketara antara rakyat marhain yang mendominasi penduduk. Pihak Eropah mendesak agar ditarik balik subsidi, manakala Negara di Asia mempertahankannya. World Bank sendiri berpihak kepada Eropah yang mencadangkan agar ditarik subsidi bagi mengimbangi perdagangan dan penghasilan berdasarkan daya kerja dan pasaran yang benar dan setara.

Penarikan subsidi bererti memaksa rakyat menanggung beban kos yang tidak ada kaitan dengannya. Misalnya cukai-cukai hartanah, berbagai barang mewah, pembayaran tol terpaksa ditanggung rakyat yang tidak pun mempunyai kenderaan dikenakan melalui cukai perkhidmatan. Dalam hal yang lain rakyat yang memberi tenaga kerja kepada majikan dibayar di bawah paras kewajaran – terlampau murah. Sebab itu, mereka berhak mendapat pulangan dari tenaga mereka melalui subsidi.

Menurut Dato` Seri Anwar, subsidi memang diperlukan, tetapi hendaklah menepati sasaran yang dapat dinikmati rakyat yang berhak. Tetapi banyak subsidi yang diberi jauh lebih besar adalah kepada syarikat-syarikat gergasi seperti syarikat Jana Kuasa Letrik swasta yang melibatkan 19 billion, Syarikat Tol yang memang sudah mengaut keuntungan yang besar. Subsidi perlu diperbetulkan. Selama ini 51% diberikan kepada industri, 29% kepada komersil dan hanya 20% kepada rakyat. Sebab itu deficit yang ditanggung berterusan oleh kerajaan sejak 12 tahun lepas, bukan kerana kepentingan rakyat, tetapi lebih kepada syarikat dan peniaga-peniaga yang mereka sepatutnya tidak wajar menerima subsidi. Lebih dari itu beban kerajaan diakibatkan oleh ketirisan ekonomi dan rasuah yang melibatkan puluhan billion.

Menurut Dato` Seri Anwar kita mempunyai pendekatan bagi memulih ekonomi dan membela rakyat dengan Program 100 Hari Selepas Pakatan Rakyat Memerintah dengan sepuluh tawaran utama, iaitu mereformasikan SPR, SPRM, Peguam Negara dan PDRM, memansuhkan ISA, mengambilalih konsesi lebuhraya oleh kewangan Negara, memperbetulkan subsidi, membaiki struktur gaji kakitangan awam, merakyatkan hak air, perkhidmatan internet Wi-Fi percuma, mereformai Felda, menaikkan royalty minyak kepada negeri-negeri pengeluar minyak dan menyelesaikan kemelut Pendatang Haram. Disamping berusaha menyelesaikan berpuluh masalah lagi yang mebebankan rakyat.

Dato` Seri Anwar menyimpulkan ulasannya bahawa subsidi perlu kepada mereka yang benar-benar perlu. Beliau menyebut tentang prinsip Islam yang perlu ditegakkan iaitu berasaskan ADIL dan EHSAN.


Sekian.

January 26, 2011

Pengalaman Di Labis, Ke Gunung Mas - Berkempen Di Tenang

Anekdot:

Setelah berjalan lebih kurang 6km. pergi dan balik dari pusat Bandar ke Majlis Perbandaran Labis kerana memberi sokongan bagi penamaan calon Cikgu Normala binti Sudirman dari PR (Pas) bagi kawasan DUN Tenang 24 Januari 2011, maka perut terasa lapar dan tekak rasa dahaga, maka kami singgah di sebuah kedai makan yang penuh dengan pelanggan-pelanggan yang singgah makan.


Di sini, makanan pada hari ini dikehendaki diambil secara `Layan Diri`. Cara ini dianggap lebih cepat dan mengurangkan penggunaan tenaga peniaga. Mereka hanya mengira makanan dan juga minuman yang dipilih. Namun begitu oleh kerana hari penamaan calon dan berlaku kebanjiran pengunjung, akibatnya kebanyakan pengunjung tidak dapat melayan diri, bahkan peniaga tidak dapat melayan keperluan pelanggan. Nasi yang dibawa keluar dalam thermos besar sering kehabisan, begitu juga lauk-lauk turut kehabisan, walaupun ditambah. Oleh kerana peniaga suami isteri kekurangan tenaga, beberapa sahabat bersamaku, bukan saja `melayan diri`, tetapi turut sama ke belakang mengangkat nasi dan lauk untuk pengunjung yang ramai. Mereka lebih dari melayan diri, bahkan melayan diri pelanggan-pelanggan lain secara mesra dan sukarela. Lebih dari itu, kami rasa begitu seronok dan enak makan dan minum di sini, dek lapar dan dahaga, walaupun lauk tak seberapa. Ini rakaman kenangan kami di Labis ini selepas berarak dengan penuh semangat yang kalau tidak diadakan pilihanraya kecil di sini, kami tidak tiba di sini.


Selepas membayar makan, sedang pengunjung-pengunjung lain terus mendatang, kami bergerak ke kenderaan yang kami parking betul-betul pada bahagian corner hadapan sebuah kedai tayar yang taukenya Cina. Sebelumnya kami memang meminta izin parking dan dibenarkan. Untuk bergerak dari situ, adalah tidak wajar tanpa berterima kasih kepada pengusaha tiga beranak di situ.


Oleh kerana sekarang musim pilihanraya kecil, fikiran terarah kepada berkempen, aku mendatangi pengusaha berkenaan untuk berkempen dan bertanya mesra,


``Tauke, ada undi pilihanraya Tenang nanti ?``

``Tidak, ini luar kawasan,`` katanya.

Tapi kataku, ``Bila orang datang tukar tayar tauke boleh tolong kempen, pangkah Bulan !``

``Boleh ! Boleh ! Boleh !`` katanya sebagai melayan kami secara mesra.

Tapi bila kami mau bergerak, tiba-tiba tauke Cina lelaki itu bertanya kepada saudara Azizi,

``Lu orang Cinakah !``

Terhenti sejenak saudara Azizi yang memang berwajah seperti orang Cina itu berfikir untuk menjawab,

``Oh, ya !`` kata saudara Azizi, untuk memudahkan jawapan.

Aku terus menyambung, ``Tauke, tengok dia `Orang Cina` dari Kuala Lumpur sokong Pakatan Rakyat. Harap tauke dan orang Cina di sini, macam kawan saya ini sokong `Bulan`, boleh tauke tolong sama kempen orang Cina mengundi pilih bulan. Kita sama-sama dalam Pakatan Rakyat.


Tauke nampaknya semakin mesra dan mulai menampakkan pendirian dan sokongannya dengan katanya, sambil menunjukkan jari telunjuk,

``Kita Olang Cina, tunjuk ini, sambil menggerakkan jari telunjuk tangan kanannya, luar satu Malaysia Najib, tapi dalam, `Roket` menuju ke Bulan !`` Kami angguk memahami maksud bandingannya.

Sedang seorang sahabat di sebelah bertakbir,

Allahu Akbar !!! tanda kesyukuran.


Dari situ kami bertolak mencari lokasi `Rumah Selangor` yang nama tempatnya begitu menarik, iaitu No. 7, Jalan 12, Taman GUNUNG MAS. Nama taman yang begini indah berada pula di Tenang, sudah tentulah menyenang, menguntung dan membahagiakan.


Sekian.

January 25, 2011

Sidang Dewan Negeri Selangor Hangat - membongkar Hipokrasi Umno-BN

Shah Alam , 19 Safar = 24 Januari (Isnin):


Sidang Khas mengenai Rang Undang-undang Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor (Bahagian Kedua ) (Pindaan) 2011 menarik minat, bukan saja dihadiri secara penuh ahli Dewan, tetapi juga oleh pegawai-pegawai kerajaan dan orang ramai memenuhi bangunan Dewan Negeri, Dewan Annex dan ruang luar. Mereka hadir sejak awal pagi jam 8.00 lagi. Kehangatan terasa sejak awal, kerana di luar pintu masuk kawasan bangunan SSAAS kumpulan penunjuk perasaan dari GAP (Gabungan Anti Penyelewengan) berhimpun menunjuk perasaan dengan postar-poster menentang. Mereka tak dibenar masuk dan dikawal oleh pihak pencegah penunjuk perasaan dari FRU dan polis. Jip-jip dan lori tersusun menghalang. Manakala di bahagian dalam pula ada kumpulan penunjuk perasaan yang menyokong Kerajaan.

Dewan Undangan Negeri bersidang mulai jam 10.00 pagi dengan Tuan Speaker memaklumkan tujuan Sidang bermula dengan pembacaan Perutusan D.Y.M.M. Sultan Selangor menurut Di bawah Perkara 73 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 diikuti dengan ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor Tan Sri, Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim, antaranya menggalurkan peristiwa perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang membelakangkan Menteri Besar Selangor dan manipulasi pegawai tertentu peringkat negeri menyebabkan senarai yang dicadangkan oleh pihak Menteri Besar tidak diambil kira. Lantaran itu Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dicadang untuk dikembalikan sebagaimana sebelum 1993. Dalam peruntukan sebelum pindaan 1993 dengan jelas menghendaki perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang hendaklah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan dan persetujuan Menteri Besar. Pindaan Perlembagaan negeri berikut dari berlakunya krisis perlembagaan 1993 pada zaman Dr. Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri yang menyebabkan berlakunya pengurangan kuasa Raja-Raja.


Cadangan meminda perlembagaan bagi mengembalikan Kuasa Tuanku Sultan Selangor dan kuasa Menteri Besar – khusus di dalam perlantikan pegawai-pegawai kanan – Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang dibahas di dalam Dewan yang bersidang dari pagi sehingga 6.30 petang. Lebih sepuluh orang mengambil bahagian di dalam perbahasan. Ketua Pembangkang diberi peluang berhujah terlebih dahulu, iaitu YB Dato` Satim Deman dari Seri Serdang yang menentang pindaan dan menganggap perlantikan Dato` Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri tidak perlu dipersoalkan. Perubahan menurutnya lebih kepada memberi kuasa kepada Menteri Besar.


YB Azmin Ali dari Bukit Antarabangsa berucap panjang lebar. Beliau menggalurkan tentang peristiwa-peristiwa dilakukan Umno-BN yang disifatkan sebagai penderhakaan terhadap Raja-Raja Melayu sejak 1983 dan dipuncaki penderhakaan oleh Dr. Mahathir Mohamed yang menyebabkan kekuasaan Raja-Raja Melayu terhakis. Beliau juga mempersoalkan beberapa pegawai tinggi persekutuan dan negeri yang disifatkan sebagai pepat di luar rencong di dalam, gunting dalam lipatan bahkan ibarat Si Kitol dan Raja Mandeliar yang belot pada zaman kerajaan Melaka. YB.Mat Suhaimi bin Haji Shafiei Wakil Seri Muda menambah lebih detail tentang penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dari Umno-Bn yang melengkapkan maklumat penyelewengan berkenaan. Beliau mengambil kesempatan menjawab segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya terutama yang dimuat dalam Utusan Malaysia berhubung dengan tulisan beliau di dalam blognya berkaitan dengan isu-isu yang membawa kepada kecaman terhadap beliau sebagai `Penderhaka`. Dengan ucapannya beliau menghujahkan sebagai YB Azmin menunjukkan bahawa yang menderhaka sebenarnya ialah pemimpin-pemimpin Umno-BN. Antara yang berucap menyokong dari pihak Kerajaan termasuklah YB Saari Sungib, Hulu Kelang, YB Ng Swee Lim, Sekinchan, YB Manoharan Kota Alam Shah dan YB Aminuddin Batu Caves.


Manakala pihak pembangkang yang berucap termasuklah YB Mohd Shamsuddin bin Lias, Sungai Burung yang mempersoalkan Menteri Besar dalam proses perlantikan dengan masa dan cara yang beliau bertindak. Menurutnya perlantikan adalah menurut amalan pentadbiran, bahkan menurutnya menurut undang-undang. Turut bercakap dari pihak pembangkang ialah YB Sulaiman bin Abdul Razak Wakil Permatang dan YB Abdul Shukor bin Idrus dari Kuang.

Selepas penggulungan yang dibuat oleh YAB Menteri Besar jam 6.00 petang, maka keputusan diambil secara mengundi `Belah Bagi`. Beberapa juru kira dilantik membuat kiraan, termasuk Adun Bangi.

Keputusan:

Bersetuju Membuat Pindaan 34
Tidak Bersetuju Membuat Pindaan 20

Bersetuju meminda kelebihan 14

Selepas keputusan dibuat, kecoh tuduhan terhadap pembangkang sebagai durhaka! Durhaka! Durhaka!

Walau bagaimana kelebihan suara berkenaan tidak mencapai jumlah 2/3 yang melayakkan untuk dipinda.

YAB Berhormat Menteri Besar berjanji akan turun kepada masyarakat bagi menerangkan sikap pembangkang yang hipokrit yang mendakwa kononnya membela dan mempertahankan Perlembagaan dan Raja-Raja Melayu, sedangkan merekalah yang mengubah dan menghakiskan kekuasaan Raja-Raja Melayu!

Sekian.

January 24, 2011

Ponggal Di Kajang Baru, Bukit Kajang

Kajang Baru, 18 Safar = 23 Januari (Ahad):


Sepulang dari Tenang, Adun berehat sekejap, kemudian bergerak ke Kajang Baru, Bukit Kajang dan tiba jam 3.00. Didapati YB Teo Nie Ching sudah berada lebih awal menyertai Sambutan Ponggal, Majlis bermula sejak jam 2.00. Beliau mohon beredar kerana memenuhi program di tempat lain. Pada masa ini program pada peringkat puncak sedang berjalan. Adun bersama hadirin terus mengikuti program antaranya mengacau ponggal dengan senduk di beberapa periuk, menyaksi pertandingan Memecah Takar yang begitu mendapat sambutan dan peserta-peserta yang mau mencuba berbaris panjang. Setakat kesampaian Adun, dua takar sudah berjaya dipecahkan. Bagaimana pun ramai yang tersasar dan tidak dapat membuat pukulan. Pada masa yang sama sukanika kanak-kanak juga sedang berjalan. Mereka yang hadir berjumlah lebih kurang 300 orang.


Kemudian Adun bersama hadirin dijemput ke majlis pelancaran. Hadir sama di majlis Tuan Haji Shafie Ngah, Tuan Haji Mazwan Johar dan saudara Aruchelvan A/L Subramaniams yang semuanya Ahli MPKj, sdr. Ari Krishnan Ketua Kelab Penyokong Serdang dan ibu bapa dan anak-anak setempat. Berucap di dalam Majlis ialah sdr. Aru yang menyebut bahawa Ponggal mempunyai erti penghormatan kepada para petani, menyedarkan kepentingan pertanian dan menjaga alam sekitar. Tuan Haji Mazwan menyebut tentang ponggal yang mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat, manakala Tuan Haji Shafie Ngah menyebut tentang sambutan sedemikian di adakan pada setiap tahun. Sambutan ini menurutnya kali kelima dan tahun ini Kajang Baru menjadi lokasi pilihan.


Adun Bangi dalam ucapannya menyebut, bahawa kita menghormati budaya dan perayaan semua kaum. Kita mengadakan sambutan Ponggal, kita adakan sambutan Tahun Baru Cina yang tak lama akan diadakan, kita juga mengadakan sambutan Hari Raya Idul Fitri. Kita ubah lokasi setiap tahun supaya semua pihak dapat menyertai sambutan yang diadakan di tempat mereka. Kita harapkan dengan sambutan sedemian mengeratkan hubungan antara penduduk setempat dan juga pemimpin-pemimpin. Kita mau anak-anak kita menghayati kebudayaan kaum-kaum di Negara ini.


Kita mahu melalui Pesta Ponggal yang merupakan Pesta Menuai ini – anak-anak kita mengenali dan menghayati – kehidupan petani, mengenal antara beras dan padi dan tahu gula berasal dari tebu. Dengan itu mereka mengenali kehidupan bertani, menghormati dan mungkin terlibat di dalam bidang pertanian. Adun berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan sambutan Ponggal pada kali ini. Selepas itu pertandingan terus diadakan termasuk Acara Merebut Kerusi.


Adun Bangi kemudian bersama-sama Ahli-Ahli MPKj menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang-pemenang termasuk regu:

Johan Cepat Masak Ponggal : Valamathi & Meeradhi

Masakan Ponggal Paling Sedap : Sharmugapriyan & Nivasuaran


Hadiah-hadiah sukanika dan pemecah takar juga turut disampaikan.


Sekian.

January 23, 2011

40 Ribu Penyokong Pakatan Rakyat Membanjiri Labis

Labis, 15 Safar 1432H = 22 Januari 2011

40 ribu penyokong memenuhi jalan raya di Pekan Labis. Hadir mengiringi calon Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), YB Datuk Speaker Teng Chang Kim (Speaker Dewan Negeri Selangor), YB Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) dan pengiring-pengiring. Hingga tamat tempoh waktu bantahan pada jam11.00 pagi, 3 bantahan telah diterima oleh pihak SPR. namun semua bantahan ini ditolak. Pengerusi SPR Daerah Segamat mengumumkan keputusan pada jam 11.20 pagi dengan hanya 2 calon yang layak bertanding. Calon-calon yang bertanding ialah Puan Normala Sudirman (PR dari PAS) dan Mohd Azahar Ibrahim (Umno - BN).

Selepas pengumuman dibuat, penyokong Pakatan Rakyat telah berdiri di sepanjang jalan Pekan Labis tersebut untuk menyambut calon PAS yang bertanding bagi DUN Tenang itu, diiringi pemimpin-pemimpin.


Majlis penamaan calon berjalan lancar. Tarikh pengundian bagi DUN Tenang telah ditetapkan pada 30 Januari 2011.


"Selamat Menunaikan Tanggungjawab mengundi. Undilah Calon Pas (Pakatan Rakyat) - Cikgu Mala, yang Berjihad bagi membawa perubahan selari dengan aspirasi keislaman dan membela Hak Rakyat di Tenang. Takbir !"
Allahu Akbar !!!

Sekian.