January 4, 2011

Pengajian Ala-Pondok Di Surau Saujana Impian Kajang - Adun Bangi Rasmikan

Surau Saujana Impian, Kajang, 26 Muharram 1432 = 01-01- 2011 (Sabtu):

Hasrat mengadakan `Pengajian Ala Pondok` di Surau Saujana Impian, Kajang tercapai dengan perasmian dan permulaan pengajian pada pagi ini. Adun tiba untuk acara perasmian jam 9.30 memperlihatkan persiapan dalaman di surau sedang rancak dilakukan. Pendaftaran Pengaji-Pengaji – Muslimin dan Muslimat juga sedang dilakukan. Adun difahamkan oleh Tuan Haji Ibrahim Pengerusi Surau pendaftaran pengaji-pengaji sebelumnya telah mencapai jumlah 115 orang. Hari ini masih ada pengaji-pengaji yang datang mendaftar. Hadir sama pada pagi ini Tuan Haji Zabidi Setiausaha Surau, Tuan Haji Zamzuri Bendahari dan Tuan Haji Imran Imam Surau.
Dalam ucapan alu-aluan oleh Tuan Haji Ibrahim, beliau menyatakan:

Pengajian kitab di Surau Saujana Impian Kajang memang sudah lama dilaksanakan. Cuma pada bulan Ramadhan yang lalu dalam mesyuarat dan perbincangan timbul cadangan agar diadakan pengajian yang lebih sistematik yang membawa kepada cadangan agar diwujudkan Pengajian Ala Pondok`. Dimaksud Pengajian, ialah pengajian kitab-kitab, Ala Pondok dimaksudkan cara pengajian menggunakan kitab-kitab sebagaimana dijalankan di pondok-pondok pengajian, tetapi Pengaji-Pengaji belajar cara pondok di surau, namun tidaklah tinggal di pondok-pondok sebagaimana didirikan sekeliling surau. Pengaji-Pengaji di sini adalah datang dari rumah mereka setiap hari diadakan pengajian. Pengaji-Pengaji bukan saja dari taman berdekatan dengan surau, tetapi datang sejauh Batu 10, Hulu Langat dan sebagainya. Pengajian setakat ini diadakan sehari dalam seminggu, iaitu pada hari Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga waktu zohor dengan makan tengahari disediakan. Pengaji-Pengaji dikenakan yuran pengajian secara bulanan bagi menampung kos pengajian dan pentadbiran. Kebanyakan Pengaji-Pengaji adalah veteran-veteran dan pesara-pesara, di samping ada yang muda.

Adun Bangi sebagai Pembantu Exco Hal Ehwal Agama dan Adat-Adat Melayu mengucap tahniah dan syabas di atas usaha AJK Surau Saujana Impian Kajang mengadakan Pengajian Ala Pondok di Surau Saujana Impian Kajang. Adun berharap sambutan menggalakkan adalah secara berterusan dan tidak bersifat separuh jalan. Adun menyebut tentang keilmuan Islam berterusan hidup dan dikembangkan oleh para ulama. Mereka yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. ``Para ulama adalah Pewaris Nabi-Nabi. Di negeri kita pengajian kitab berlaku sejak zaman Pasai - Terengganu pada abad ke 13 Masihi oleh pendakwah-pendakwah pada zaman itu. Ini diteruskan pada zaman Melaka dan Aceh seperti guru yang mengajar Kitab Ad-Durrul Manzum di Melaka, Syeikh Nuruddin ar-Raniri di Aceh yang mengajar kitab Siratal Mustaqim dan Syeikh Abdul Rauf Singkel yang mengajar kitab Tafsir Baydawi dan sebagainya membawalah kepada zaman Patani pada abad ke 19 yang antara guru terkenal seperti Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Zainal Abidin al-Fatani dan Syeikh Nik Mat al-Fatani. Mereka mengarang berbagai-bagai kitab yang digunakan secara meluas di pengajian-pengajian kitab di seluruh alam Melayu. Ulama dari Banjar juga terkenal seperti Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari yang mengarang kitab Sabilul Muhtadin yang diguna dengan meluas di pusat-pusat pengajian tradisi, juga di masjid dan surau. Begitu juga pada masa tersebut lahir seperti Syeikh Abdul Samad al-Falimbani yang terkenal dengan karangan-karangan seperti Hidayat al-Salikin dan Sayr al-Salikin yang juga popular digunakan di pengajian-pengajian tradisi, juga di surau dan masjid. Mutakhir ulama-ulama di Kedah dan Kelantan yang mengarang kitab-kitab dan mempopularkan pengajian kitab-kitab menurut sistem pondok.

Pada Pengajian Ala Pondok di Surau Saujana Impian, Kajang ini, nampaknya pilihan kitab tidaklah diambil dari kitab-kitab turath yang dikarang oleh ulama tradisi baik dari Patani, Banjar, Palembang, Kelantan dan sebagainya, sebaliknya 7 buah kitab dipilih yang tidak sangat bersifat klasik untuk digunakan di dalam pengajaran yang melibatkan bidang-bidang aqidah, fiqh, Hadith dan Tafsir dan guru yang mengajarnya ialah:

1) Nasihat Agama Dan Wasiat Iman karangan Imam Habib Abdullah al-Haddad – Guru mengajar – Ustaz Ali Zainal bin Abdul Hamid
2) Ilmu Hadith Praktis oleh Dr. Mahmud Thahan – Guru mengajar – Ustaz Abdul Rahman Abdullah
3) Al-Iman Arkanuhu wa Haqiqatuhu wa Nawaqiduhu – Penterjemah – Dr. Mohd Naim Yasin – Guru Mengajar Ustaz Wan Ali Bin Wan Jusoh
4) Pengantar Usulul Fiqh oleh Ustaz Abdullatif Muda dan Dr. Rasmawati Ali – Guru Mengajar Ustaz Amran Habil
5) Mukhtasar Ibn Jamrah oleh Ibn Abi Jamrah. Guru Mengajar Ustaz Abdul Latif Rafi`e
6) Al-Fiqh al-Manhaji oleh Ustaz Ridhwan Hashim dan empat yang lain. Guru Mengajar. Ustaz Nik Muhammad bin Zawawi Saleh
7) Tafsir al-Munir oleh Dr. Wawab az-Zuhaily. Guru Mengajar – Ustaz Abdul Rahim Rafi`e

Adun Bangi memuji tentang pemilihan kitab-kitab pengajian bersifat menyeluruh dan dibimbing oleh guru-guru berwibawa.

Namun dari penelitian Adun, bagi pengajian kitab-kitab, pengaji-pengaji akan banyak berdepan dengan istilah-istilah keislaman, khususnya dari al-Qur`an dan al-Hadith serta istilah-istilah keilmuan dalam bidang aqidah dan perundangan Islam yang berasal dari bahasa Arab, begitu juga berdepan dengan cara membaca ayat-ayat berbahasa Arab, sebab itu adalah lebih lengkap dan lebih membantu kefahaman pengaji-pengaji jika turut dimasukkan pengajian bahasa Arab.

Di samping itu Adun juga menasihatkan, pengaji-pengaji juga perlu mengadakan kegiatan-kegiatan luar seperti melawat pusat-pusat pengajian yang ada hubungan dengan pengajian seperti seperti membuat lawatan ke fakulti pengajian Islam di UKM, USIM dan Universiti Malaya, atau bertukar lawatan ke masjid surau yang ada pengajaran kitab-kitab turath.

Pihak pentadbir Pengajian Ala Pondok juga perlu kreatif, misalnya sekali sekali menjemput guru-guru terkenal dari luar menyampaikan kuliah perdana di Surau dan pihak Pengajian Pondok juga sekali sekala perlu mengadakan konvensyen keilmuan yang releven di Surau atau di tempat-tempat pilihan agar lebih menyemarakkan pengajian keilmuan. Di samping itu Adun juga mencadangkan sekali sekala perlu dijemput penilai luar membuat penilaian berhubung dengan pengajian dan menerima nasihat dari penilai cadangan-cadangan yang dapat memperkembang dan meningkjatkan prestasi pengajian dan wajar juga pengaji-pengaji dinilai dengan kaedah-kaedah penilaian secara peperiksaan bertulis dan praktikal dan pengajian juga wajar mengeluarkan sijil kepada pelajar-pelajar yang berkelayakan.

Akhir sekali dari lawatan ke kelas yang diadakan didapati ruang adalah sempit (bahagian atas surau) dengan jumlah yang begitu besar (lebih dari 100 orang) agak kurang sesuai dan mungkin merimaskan. Ruang lebih selesa perlu difikirkan, sama ada dibina bangunan pengajian atau dipecahkan kelas kepada dua atau tiga atau terus diadakan pengajian secara bersila di ruang salat surau sebagaimana pengajian tradisi dijalankan.


Sekian.

1 comment:

  1. Dr., ada tak tempat lain sekitar sini yang buat pengajian ala pondok ni?

    ReplyDelete