Stadium Melawati, Shah Alam, 04 Safar = 9 Januari (Ahad):
Kerana menjangkakan diri kuat dan menganggap musuh lemah, maka tanpa perhitungan, yang kuat membuli dan bertindak luar batas terhadap musuh yang dianggap lemah. Demikianlah penglahiran rasa hati dan jiwa jamaah yang berhimpun di Stadium Melawati, Shah Alam petang ke malam ini. Peristiwa penggantungan terhadap empat Ahli Parlimen dan usaha secara konspirasi bagi melemahkan (menjatuhkkan ?) kerajaan Pakatan Rakyat yang sah di negeri Selangor dilihat sebagai manifestasi ketidakwajaran dan bercanggah dengan semangat dan amalan demokrasi yang seharusnya dipertahankan. Anggapan mereka lemah dan tidak mendapat sokongan mendapat jawapan permulaan dari Pas. Perhimpunan bagi Solat Hajat dan Munajat Perdana diberitahu oleh Pengarahnya Dato` Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Naib Presiden Pas, ``Belum pernah berlaku berhimpunnya pemimpin-pemimpin PR dalam satu majlis sebagaimana pada malam ini yang dihadiri oleh YAB TG Dato` Nik Abdul Aziz Nik Mat Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, YB Dato` Seri Anwar Ibrahim Ketua Umum PKR yang juga Ketua Pembangkang, YB Tuan Guru Dato` Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Pas, YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, Ybhg. Dato` Dr. Harun Din Timbalan Murshidul Am Pas, YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasruddin Tantawi Ketua Pemuda Pas, YB Tuan Azmin Ali Timbalan Presiden Pakatan Rakyat, Dato` Mustafa Ali Setia Agung Pas, Exco-Exco, YB-YB dan ramai lagi. Jemputan yang dihebah melalui media dan SMS mendapat sambutan di luar dugaan, mereka terutama ahli-ahli dan pendukung Pas datang bagai lebah berduyung-duyung memenuhi dewan yang jumlah mencecah 25 ribu orang. Mereka datang bersalat hajat, berdoa, bermunajat dan mendengar amanat. Bagi orang Islam sebagaimana disabda Junjungan `Doa adalah senjata bagi orang Mu`min`. Majlis bermula dengan Solat Maghrib itu diikuti dengan tazkirah yang disampaikan oleh Dato` Dr. Harun Din dengan mengingatkan hadirin amat penting mengikuti `Jalan Yang Betul` sebagaimana kita pohonkan melalui Fatihah setiap rakaat solat. Jalan yang betul ini bukan setakat doa, tetapi hendaklah diterjemahkan ke dalam amalan, baik pekerjaan, politik dan kehidupan.
Ustaz Idris Ahmad Ketua Penerangan Pas Pusat yang mempengerusikan Majlis Ucapan menjemput Tan Sri Khalid berucap selepas solat hajat, Beliau menggalurkan konspirasi melemahkan pimpinan negeri, bagaimana Menteri Besar dipinggirkan dalam hal memilih Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Beliau mendedahkan pihak Umnolah yang telah menarik kuasa DYM Sultan Selangor dan Menteri Besar sejak krisis Perlembagaan 1993 dan pihak kerajaan PR akan berusaha mengembalikan kuasa tersebut. Menurutnya Selangor `Permata` yang mahu dimiliki BN. Namun PR akan mempertahankannya dengan berbagai pendekatan yang menguntungkan rakyat yang sebelum ini tidak dilakukan oleh BN.
YB Tuan Guru Dato` Seri Haji Abdul Hadi Awang menekankan kaitan doa dalam kehidupan orang Islam. Doa hendaklah dengan cara yang betul dan mustajabnya tidak semestinya bersifat segera. Menurutnya Politik dan pemerintahan sebahagian dari kesyumulan Islam. Ini dapat dicontoh beberapa Rasul adalah memimpin politik dan pemerintahan seperti Nabi Allah Daud, Sulaiman dan Nabi Muhammad s.a.w. Kita berpolitik,kerana ianya sebahagian dari tuntutan Islam yang menawarkan kesejahteraan kepada semua di alam ini.
Dato` Seri Anwar Ibrahim berterima kasih di atas inisiatif mengadakan Solat Hajat dan Munajat Perdana. Beliau berharap apa yang berlaku di Selangor satu ujian yang mencerminkan kegusaran BN di atas prestasi Selangor makin meningkat. Mereka tidak tertahan terhadap kilauan Mutiara Selangor yang diidamkan. Tiap hari mereka terpaksa melalui wilayah Selangor yang amat menyakitkan hati mereka selagi tidak menguasainya. PR hendaklah terus mengadakan perubahan yang menguntungkan rakyat dengan tata kelola yang baik. Selangor hendaklah menjadi pemimpin bagi perubahan. Dato` Seri Anwar bercakap tentang Upko yang mendedahkan hubungan antara `One Israel` dengan `Satu Malaysia` yang membawa kepada penggantungan 4 ahli parlimen yang turut bercakap dan menyokong isu berkenaan. Beliau bertanya tentang peruntukan RM70 juta yang dibelanjakan bagi Upko. Beliau juga menggalurkan kesamaan antara keduanya. Beliau juga bertanya tentang tanah bumiputera di Sungai Besi yang bernilai berbilion ringgit diserahkan kepada sebuah Syarikat yang merugikan bumiputera.
Amanat terakhir pada malam itu disampaikan oleh Tuan Guru Dato` Nik Abdul Aziz yang walaupun kelihatan uzur, tapi menurutnya berucap adalah menurut kaedah khutbah sembahyang Jumaat disyaratkan berdiri, sebab itu beliau turut berucap secara berdiri. Beliau mengiungatkan amalan manusia tidak setakat di dunia saja. Tiap manusia akan menghadapi kematian. Sebab itu perlu bersedia dengan amalan kebaikan sebelum mati. Orang yang sanggup melakukan kemungkaran, orang yang hilang perhitungan. Orang Umno mengaku Islam, tetapi menolak peraturan Islam. Bagaimana mereka mau berdepan Tuhan dalam keingkaran ? Manusia menurutnya jangan sombong, betapa berkuasa tidak dapat mengadakan sesuatu, yang menjadikan sesuatu hanya Allah. Mereka sebenarnya menggunakan apa yang dicipta Allah, sebab itu hendaklah kembali kepada kehendak dan peraturan Allah.
Dapat dilihat bahawa tindak tanduk dan kacau ganggu yang dilakukan oleh BN baik terhadap pemimpin-pemimpin dan negeri yang diperintah mulai mencetus reaksi gelombang dari pendukung rakyat dan gelombang ini jika terus digugat akan terus berkocak dan membesar mendepani perkembangan mendatang yang mungkin boleh menjadi tsunami yang bakal memusnahkan pengacau dan pengganggu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment