January 9, 2011

Satim Ketua Pembangkang: Makin Meningkatkah Prestasi Perbahasan Di Dewan Negeri Selangor ?

BBB, 04 Safar 1432 = 09 Januari 2011(Ahad):

YB Datuk Mohamad Satim bin Diman Ahli Dewan Negeri Seri Serdang telah dilantik mengetuai barisan pembangkang di Dewan Negeri Selangor berikut dari penarikan diri Datuk Seri Khir Toyo dari jawatan berkenaan kerana menghadapi kes mahkamah. Kita mengucapkan tahniah kepada Satim. Perlantikan Satim adalah kerana mengambil kira beliau sebagai Wakil Rakyat senior dan pernah memegang jawatan Timbalan Speaker Dewan, sebelum kalahnya BN dalam pilihanraya Mac 2008. Lebih dari itu semasa Khir Toyo menjadi Ketua Pembangkang beliau adalah Timbalan. Dari faktor-faktor berkenaan selayaknya beliau mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang yang dikosongkan.

Fungsi utama Wakil Rakyat sebagai Adun, ialah menggubal undang-undang dan menjadi jurucakap rakyat di dalam Dewan menyampaikan aduan, cadangan dan buah fikiran yang bernas bagi kepentingan rakyat dan negeri. Sebagai Ketua Pembangkang seharusnya Satim memimpin Adun-Adun Pembangkang menjadi kumpulan yang aktif, dinamik, berwibawa dan mampu membahas isu-isu yang ditimbulkan di dalam sidang Dewan dengan kritis, berfakta, membina dan mengangkatkan dewan sebagai institusi yang bermutu, berwibawa dan dihormati. Ketua Pembangkang hendaklah menjadi contoh yang baik bagi kumpulan pembangkang, bahkan bagi seluruh ahli dewan bukan saja bagi Dewan Negeri Selangor, bahkan bagi dewan-dewan negeri yang lain. Apakah perlantikan Satim sebagai Ketua Pembangkang dapat memenuhi hasrat dan aspirasi ini ?

Kita berpendapat dengan tidak menafikan kekuatan dan kelemahan yang ada pada Khir Toyo yang mempunyai pengalaman yang banyak di dalam mentadbir negeri Selangor sebagai Menteri Besar, memimpin dewan dan ketua pembangkang, Satim jauh tidak berkemampuan menandingi Khir Toyo. Sepanjang bersama di dalam Dewan, bahkan beliau sebagai Timbalan Ketua Pembangkang dan Timbalan Speaker, Satim tidak dapat menandingi wibaya Khir Toyo. Dengan ini saja sudah menunjukkan mutu kepimpinannya sebagai Ketua Pembangkang lebih rendah dan tidak dapat menandingi kewibawaan Khir Toyo, bererti mutu perbahasan di dewan sebagai Ketua Pembangkang akan menurun. Sepanjang bersama di dalam Dewan Satim jarang menyertai perbahasan secara serius, bermutu dan berfakta. Imejnya memperlihatkan lebih suka menghentam pihak kerajaan tanpa memberi pandangan yang bersifat konstruktif. Selain dari membandingkan beliau dengan Khir Toyo, jika dibandingkan beliau dengan YB Sdr. Azmin Ali Adun Bukit Antarabangsa sebagai whip PKR di dalam Dewan Negeri Selangor (beliau kini Timbalan Presiden PKR), YB Azmin jauh lebih teliti dan bernas cadangan dan buah fikiran. Beliau sering bercakap dengan fakta-fakta, bahasa yang tersusun, hujah-hujah yang konkrit dan bersifat membina. YB Satim tidak mencapai kelas ini. Bahkan jika dibandingkan dengan YB Ng Swee Lim Adun Sekinchan, Whip DAP - Satim masih tidak dapat menandingi YB dari Sekinchan dari segi kepetahan bercakap, mengemukakan isu-isu yang menggemparkan Dewan dengan isu dan persediaan yang dibuat. YB Sekinchan antara Adun yang menghidupkan Dewan. Harapan Dewan Negeri lebih hidup dan bersemarak dari pihak pembangkang nampaknya tidak akan tercapai. Apa yang diucap oleh Satim bahawa dia akan mengisytiharkan perang terhadap PR di dalam Dewan Negeri akan datang akan lebih bersifat perang mulut sebagai tembakan peluru kapur dari peluru hidup !!!

Tanpa berniat untuk merendah-rendahkan YB Satim bersama kumpulan pembangkang, kita melihat dari kalangan pembangkang ada yang lebih berwibawa dan berintegriti yang wajar dikehadapankan. Tokoh yang dimaksudkan ialah Dato` Mohd Shamsuddin bin Lias Adun Sungai Burung. Sebagai seorang Bekas Pegawai Daerah beliau selalu bercakap di dalam Dewan secara bernas, berfakta dan konstruktif. Beliau antara Adun dari pembangkang yang rajin dan menghidupkan perbahasan di dalam dewan. Di atas kewibawaan beliau dan ketelusan kerajaan pihak Dewan pernah melantik beliau sebagai Pengerusi PAC yang YB Lee Kim Sin Adun Kajang pernah menarik diri dari mengetuai PAC, kerana memberi ruang dan peluang kepada YB Dato` Mohd. Shamsuddin memandangkan pengalaman yang ada padanya. Malangnya selepas beliau menerima, ada tekanan dari pihak pembangkang agar menolaknya. Kita berpendapat oleh kerana Ketua Pembangkang telah dilantik, adalah wajar YB Dato` Shamsuddin dilantik sebagai Timbalan Ketua Pembangkang.

Walau apa pun kekurangan kita berharap YB Satim akan berusaha meningkatkan prestasi sebagai Ketua Pembangkang dan kumpulan. Kita mengharapkan mutu dan prestasi perbahasan Dewan akan meningkat. Kita bersama mau mengingatkan, budaya dan tabiat tidak menghadiri dewan oleh pembangkang, termasuk Ketua Pembangkang sekarang hendaklah dikurangkan. Adalah menjadi kebiasaan bagi pihak pembangkang hadir pada sesi pagi dengan jumlah yang agak baik, bila sebelah petang berkurang sehingga tinggal seorang dua dan kadang-kadang tiada langsung. Keadaan seperti ini tidak pernah berlaku dari kalangan pihak kerajaan.

Bersama-samalah kita mengangkat prestasi dan mutu Dewan Negeri Selangor sebagai Dewan terbaik yang menjadi contoh kepada dewan-dewan negeri-negeri yang lain.

Sekian.

No comments:

Post a Comment