January 25, 2011

Sidang Dewan Negeri Selangor Hangat - membongkar Hipokrasi Umno-BN

Shah Alam , 19 Safar = 24 Januari (Isnin):


Sidang Khas mengenai Rang Undang-undang Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor (Bahagian Kedua ) (Pindaan) 2011 menarik minat, bukan saja dihadiri secara penuh ahli Dewan, tetapi juga oleh pegawai-pegawai kerajaan dan orang ramai memenuhi bangunan Dewan Negeri, Dewan Annex dan ruang luar. Mereka hadir sejak awal pagi jam 8.00 lagi. Kehangatan terasa sejak awal, kerana di luar pintu masuk kawasan bangunan SSAAS kumpulan penunjuk perasaan dari GAP (Gabungan Anti Penyelewengan) berhimpun menunjuk perasaan dengan postar-poster menentang. Mereka tak dibenar masuk dan dikawal oleh pihak pencegah penunjuk perasaan dari FRU dan polis. Jip-jip dan lori tersusun menghalang. Manakala di bahagian dalam pula ada kumpulan penunjuk perasaan yang menyokong Kerajaan.

Dewan Undangan Negeri bersidang mulai jam 10.00 pagi dengan Tuan Speaker memaklumkan tujuan Sidang bermula dengan pembacaan Perutusan D.Y.M.M. Sultan Selangor menurut Di bawah Perkara 73 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 diikuti dengan ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor Tan Sri, Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim, antaranya menggalurkan peristiwa perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang membelakangkan Menteri Besar Selangor dan manipulasi pegawai tertentu peringkat negeri menyebabkan senarai yang dicadangkan oleh pihak Menteri Besar tidak diambil kira. Lantaran itu Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dicadang untuk dikembalikan sebagaimana sebelum 1993. Dalam peruntukan sebelum pindaan 1993 dengan jelas menghendaki perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang hendaklah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan dan persetujuan Menteri Besar. Pindaan Perlembagaan negeri berikut dari berlakunya krisis perlembagaan 1993 pada zaman Dr. Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri yang menyebabkan berlakunya pengurangan kuasa Raja-Raja.


Cadangan meminda perlembagaan bagi mengembalikan Kuasa Tuanku Sultan Selangor dan kuasa Menteri Besar – khusus di dalam perlantikan pegawai-pegawai kanan – Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang dibahas di dalam Dewan yang bersidang dari pagi sehingga 6.30 petang. Lebih sepuluh orang mengambil bahagian di dalam perbahasan. Ketua Pembangkang diberi peluang berhujah terlebih dahulu, iaitu YB Dato` Satim Deman dari Seri Serdang yang menentang pindaan dan menganggap perlantikan Dato` Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri tidak perlu dipersoalkan. Perubahan menurutnya lebih kepada memberi kuasa kepada Menteri Besar.


YB Azmin Ali dari Bukit Antarabangsa berucap panjang lebar. Beliau menggalurkan tentang peristiwa-peristiwa dilakukan Umno-BN yang disifatkan sebagai penderhakaan terhadap Raja-Raja Melayu sejak 1983 dan dipuncaki penderhakaan oleh Dr. Mahathir Mohamed yang menyebabkan kekuasaan Raja-Raja Melayu terhakis. Beliau juga mempersoalkan beberapa pegawai tinggi persekutuan dan negeri yang disifatkan sebagai pepat di luar rencong di dalam, gunting dalam lipatan bahkan ibarat Si Kitol dan Raja Mandeliar yang belot pada zaman kerajaan Melaka. YB.Mat Suhaimi bin Haji Shafiei Wakil Seri Muda menambah lebih detail tentang penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dari Umno-Bn yang melengkapkan maklumat penyelewengan berkenaan. Beliau mengambil kesempatan menjawab segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya terutama yang dimuat dalam Utusan Malaysia berhubung dengan tulisan beliau di dalam blognya berkaitan dengan isu-isu yang membawa kepada kecaman terhadap beliau sebagai `Penderhaka`. Dengan ucapannya beliau menghujahkan sebagai YB Azmin menunjukkan bahawa yang menderhaka sebenarnya ialah pemimpin-pemimpin Umno-BN. Antara yang berucap menyokong dari pihak Kerajaan termasuklah YB Saari Sungib, Hulu Kelang, YB Ng Swee Lim, Sekinchan, YB Manoharan Kota Alam Shah dan YB Aminuddin Batu Caves.


Manakala pihak pembangkang yang berucap termasuklah YB Mohd Shamsuddin bin Lias, Sungai Burung yang mempersoalkan Menteri Besar dalam proses perlantikan dengan masa dan cara yang beliau bertindak. Menurutnya perlantikan adalah menurut amalan pentadbiran, bahkan menurutnya menurut undang-undang. Turut bercakap dari pihak pembangkang ialah YB Sulaiman bin Abdul Razak Wakil Permatang dan YB Abdul Shukor bin Idrus dari Kuang.

Selepas penggulungan yang dibuat oleh YAB Menteri Besar jam 6.00 petang, maka keputusan diambil secara mengundi `Belah Bagi`. Beberapa juru kira dilantik membuat kiraan, termasuk Adun Bangi.

Keputusan:

Bersetuju Membuat Pindaan 34
Tidak Bersetuju Membuat Pindaan 20

Bersetuju meminda kelebihan 14

Selepas keputusan dibuat, kecoh tuduhan terhadap pembangkang sebagai durhaka! Durhaka! Durhaka!

Walau bagaimana kelebihan suara berkenaan tidak mencapai jumlah 2/3 yang melayakkan untuk dipinda.

YAB Berhormat Menteri Besar berjanji akan turun kepada masyarakat bagi menerangkan sikap pembangkang yang hipokrit yang mendakwa kononnya membela dan mempertahankan Perlembagaan dan Raja-Raja Melayu, sedangkan merekalah yang mengubah dan menghakiskan kekuasaan Raja-Raja Melayu!

Sekian.

No comments:

Post a Comment