January 12, 2011

Menyampaikan Bantuan Yuran Sekolah Dan Buku Tulis

SRJK Tamil, Pekan Bangi, 07 Safar = 12 Januari (Rabu):


Satu Majlis Kecil pagi ini diadakan di Dewan SRJK Tamil, Pekan Bangi bagi tujuan di atas. Hadir bersama selain dari Adun Bangi ialah YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, En Ho Pan Chau Pengerusi Dewan Himpunan Pakatan Rakyat, Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj Zon 24, En. Hari Krishnan Ketua Kelab Penyokong Pas Serdang, En. Panisivam Pengerusi PIBG Sekolah, Puan Devi Guru Besar Sekolah dan para jemputan dan Guru-Guru.


Sebagai tanda penghormatan kepada pemimpin yang bertandang, sebelum majlis dimulakan YB Teo, YB. Dr. Shafie dan Tuan Haji Mazwan dikalungkan dengan `Bunga Malai dan Kain Selindang. Dalam ucapan ringkas Pengerusi PIBG En. Panisivam mengalu-ngalukan kehadiran tamu-tamu istimewa ke SRJK Tamil di sini pagi ini. Beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor yang prihatin dan meluluskan peruntukan bagi membantu yuran persekolahan murid-murid melalui kopun yang diedarkan. Beliau juga mengucapkan terima kasih kerana membahagikan buku tulis kepada pelajar-pelajar.


YB Teo Nie Ching selaku Ahli Parlimen Serdang, mengucapkan terima kasih di atas jemputan dibuat terhadapnya hingga membolehkannya datang ke SRJK Tamil, Pekan Bangi dan berkenalan dengan pihak PIBG dan Guru-Guru. Tapi beliau sedikit dukacita, tawaran kerajaan Negeri Selangor kepada semua Sekolah Tamil untuk mengisi permohonan bagi anak-anak miskin, maka dari jumlah 5 buah SRJK Tamil di Hulu Langat, hanya sebuah Sekolah SRJK Tamil, Pekan Bangi ini saja yang memberi respond dan diberi kelulusan kepada 32 murid. YB Teo Berharap tawaran-tawaran seperti ini akan diberi jawapan oleh semua Sekolah pada masa hadapan. Beliau juga berharap, jika ada masalah seperti keperluan penambahan bangunan atau kelewatan menyiapkan bangunan boleh sampaikan kepada beliau untuk disampaikan kepada Menteri Pelajaran di Parlimen.


YB. Dr. Shafie Adun Bangi dalam ucapannya menyebut, bahawa dalam Mesyuarat Penyelarasan Bantuan Pendidikan berbagai Jabatan Negeri Selangor pada pagi 24 Disember 2010 lepas bertempat di Bilik Mesyuarat Bunga Mawar Tingkat 9, Bangunan SSAAS antaranya hadir Exco Pendidikan Negeri Selangor YB. Dr. Halimah Ali, Wakil Dari Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dan Wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa jabatan lain dari negeri Selangor yang dijemput bersetuju supaya soal politik hendaklah dipisahkan bagi 4 perkara yang menjadi kepentingan rakyat iaitu:


1) Kepentingan yang berhubung dengan Pelajaran

2) Kepentingan yang berhubung dengan Kesihatan

3) Kepentingan yang berhubung dengan Kemalangan

4) Kepentingan yang berhubung dengan Kemiskinan


Dalam hal ini menurut Adun Bangi, kita mengambil kira dan mempraktikkan kekecualian di atas bagi kepentingan anak-anak kita dari segi pelajaran mereka. Menurut Adun Bangi, ``Ini bukan kali pertama kita datang ke Sekolah ini menyampaikan bantuan. Kita pernah datang menyampaikan peralatan Sekolah. Sekolah juga menerima bantuan peruntukan Sekolah dari pihak Kerajaan Negeri. Pihak Sekolah boleh mengemukakan permohonan dari kerajaan negeri dan Adun juga ahli prlimen apa-apa keperluan yang difikirkan wajar oleh pihak Sekolah. Adun Bangi berpendapat, berbanding dengan kerajaan BN sebelum ini yang tidak memberi perhatian terhadap Sekolah Tamil dan Cina, tetapi Kerajaan Selangor memberi perhatian dengan peruntukan tahunan RM6 juta kepada Sekolah-sekolah agama, RM4 juta kepada Sekolah Cina dan RM4 juta lagi kepada Sekolah-sekolah Tamil. Beliau berharap dengan bantuan-bantuan yang diberi akan meningkatkan prestasi Sekolah-sekolah agama, Tamil dan Cina di negeri Selangor.


Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment