January 6, 2011

Alumni UKM - Pengalaman Seorang Graduan Dan Cabaran

UKM, 23 Muharram = 29 Disember (Rabu):

Kembali menemui kawan-kawan sezaman, seangkatan dan sepengajian menyeronok dan mencetuskan nostalgic mendalam terhadap peristiwa-peristiwa zaman pengajian silam. Untuk bertemu dengan kawan-kawan graduan yang keluar dari UKM yang tersebar di seluruh Negara, bahkan sampai ke luar Negara, kini berjumlah 140,000 orang, bukanlah sesuatu yang mudah. Beberapa kaedah pendekatan telah dilakukan, paling utama ialah menubuhkan Persatuan Alumni UKM dan sedia tertubuh dengan agak kukuh. Daripada situ diadakan kegiatan-kegiatan seperti sambutan-sambutan seperti Hariraya, Pertandingan Golf Kembali Ke UKM, mengeluarkan buku Sistem Maklumat Alumi dan Mengadakan Syarahan Alumni.


Kegiatan Syarahan Alumni ini agak menonjol. Setakat ini Syarahan Alumni diadakan sebanyak 4 kali.

Pertama: Disampaiakn oleh Tan Sri Dr. Nordin Kardi yang pernah mentadbir Universiti Utara Malaysia sebagai Naib Canselor yang tentu bercakap berhubung dengan Pentadbiran Universiti.
Kedua: Disampaikan oleh Dato` Alimuddin Mohd Dom Bekas Pengarah Pelajaran Malaysia – yang membicarakan pengalamannya tentang pentadbiran dan Pendidikan Di Malaysia
Ketiga: Oleh Dato` Sri Wong Chong Wai yang menjadi Pengarah Urusan Akhbar terkenal `The Star`. Bercakap tentang profesyennya sebagai jurnalis
Keempat: Kini Dato` Haji Nadzir Haji Sheikh Fazir Pengarah Urusan, Fadason Group of Companies yang bercakap tentang pengalaman membina Kumpulan Syarikat Perniagaannya.


Mendepani kawan-kawan sealumni yang lama, terutama bukan dari sama batch, menyukarkan juga ingatan, kecuali kawan berkenaan agak terkenal dalam profesyen dan terkenal di tengah masyarakat. Mendepani Dato` Haji Nadzir yang menyampaikan Syarahan pada hari ini dari kalangan batch ketiga membuat tanggapan Adun lebih kuat kepada keluarganya yang terlibat dalam politik Seperti Dato`Abdul Kadir, Dato` Abdul Aziz dan Dato` Musa semuanya anak-anak Syeikh Fazir. Dato` Haji Nadzir adalah mengikuti bidang ekonomi yang pada peringkat awal masih termasuk di bawah Fakulti Sastera yang kampus pada masa itu adalah di Jalan Pantai, Pantai Baru, Kuala Lumpur. Dato` Haji Fadzir menghabiskan pengajiannya di Kampus Jalan Pantai dengan memperolehi Ijazah bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu– menerima ijazah di Parlimen dari Allahyarham Tun Razak selaku Naib Canselor dan tidak berkesempatan berkampus di Bangi. Hasrat awal beliau mau menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah, tetapi tujuan awal menolong abangnya di dalam bidang perniagaan, membawanya lebih jauh di dalam bidang perniagaan.


Dato` Haji Fadzir seorang yang ceria dan suka bergurau dan giat di dalam sukan semasa di kampus. Menurutnya walaupun beliau dari keluarga orang politik, tidak seperti adik beradiknya, beliau tidak memberi tumpuan sepenuhnya kepada politik, sebaliknya lebih menumpukan perhatian pada perniagaan. Dalam perniagaan pun beliau tidak menggantung harap pada keluarganya yang mempunyai pengaruh dalam politik – UMNO, sebaliknya berdikari. Beliau mengalami jatuh bangun dalam perniagaan bermula dengan perniagaan menjual kereta dengan modal awalnya sebanyak RM12,000 (tidak diyakini oleh bank untuk mendapat pinjaman) dan berkembang hingga memegang franchise syarikat-syarikat kereta seperti Volkswagen, Renault, Dutson dan Volvo.


Dato` Nadzir juga mempelbagaikan bidang perniagaannya termasuk binaan yang melibatkan pembinaan bandar-bandar seperti di Pulau Pinang, Perak dan Pahang. Terlibat di dalam perniagaan menghasilkan perabut yang kebanyakan disupply kepada jabatan-jabatan kerajaan, penanaman modal dalam dan luar Negara seperti pelaburan di Turkey dan Sudan dan kini beliau juga terlibat di dalam perusahaan roti di Pulau Langkawi. Kini beliau mengendalikan sebanyak 48 syarikat. Berdasarkan 35 tahun di dalam bidang pernigaan dengan empat kali jatuh dan hampir bankrupt, Dato` Nadzir memberi fatwa di dalam perniagaan antaranya jangan kedekut ilmu dan hendaklah memberi latihan kepada pegawai-pegawai, jangan takut mereka berhenti untuk berdikari, kerana mereka menjadi kawan dalam bidang perniagaan, perlu pengalaman dari bawah dan menguasai semua bidang yang dilibati. Guna pegawai untuk melapor masalah bagi diatasi, jaga lidah dalam berhubungan, tepati janji untuk meyakinkan pelanggan, selalu berdisiplin, jaga hubungan networking, menjaga pengurusan masa, jujur, tidak terlibat dengan rasuah dan jangan lokek dari membuat kebajikan. Ditanya, ``Apakah yang dikejar dan diharap dari keterlibatannya di dalam bidang perniagaan.`` Tanpa ragu-ragu beliau menjawab, ``Kepuasaan diri, memartabatkan bangsa di dalam bidang ekonomi dan dapat membuat kebajikan !``

Demikianlah pengalaman Dato` Nadzir di dalam bidang perniagaan yang disampaikan secara santai dan tidak semestinya bersifat akademik, penyampaiannya mencerminkan kejujuran dari segi pengalaman yang Adun kira amat menarik. Dalam keluarga alumni kami merasakan semacam adik beradik, pada pertemuan begini kami lupakan perbezaan kedudukan dan aliran fahaman. Kami adalah kepelbagaian produk UKM yang kami banggakan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment