January 11, 2011

Sesudah Kembali Ke Sekolah

BBB, 06 Safar = 11 Januari (Selasa):


Sesudah Program Kembali Kesekolah Perdana pada peringkat DUN Bangi diadakan pada Ahad 26 Disember 2010 di Sekolah Agama Sungai Ramal, terdapat beberapa siri Majlis Kembali ke Sekolah, walaupun sekolah telah dibuka dan murid-murid dan pelajar-pelajar sudah kembali ke Sekolah. Program demikian diatur oleh pihak surau atau pemimpin setempat. Antara program-program berkenaan ialah:


1) Program Kembali ke Sekolah Di Kajang Sentral – Jumaat 31 Disember

Program di sini diurus oleh pihak surau dengan tajaan bantuan persekolahan dari pihak Adun Bangi. Hadir sama ke majlis Saudara Azmi Ahmad Ketua Persatuan Penduduk Kajang Sentral, saudara Zul, AJK Surau dan Penduduk. Majlis bermula selepas solat berjamaah Asar. Penyampaian bantuan `Kembali Ke Sekolah` dilakukan oleh Adun kepada 15 anak-anak yang sudahpun kembali ke Sekolah.

2) Program Kembali Ke Sekolah Di Surau Ubudiyah, Bukit Serdang, Seri Kembangan pada Ahad 2 Januari

Program di sini ditaja pihak Adun melalui Lajnah Kebajikan dan kerjasama dengan pihak surau. Majlis bermula selepas solat Isya` berjamaah. Hadir sama ke Majlis ialah Tuan Haji Isa Abu Bakar Nazir Masjid Al-Islah berdekatan, Cikgu Muzlifah sebagai Timbalan Nazir Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan dan Sdr. Shamsul AJKnya, Major Ramizi bin Ramli Pengerusi Surau Ubudiyah dan Tuan Haji Isa Abu Bakar Timbalan Pengerusi, Saudara Abu Bakar dan lain-lain. Penyampaian bantuan disampaikan Adun kepada 20 orang murid.

Penduduk di sini sama ada di Masjid Al-Islah mahupun Surau Ubudiyah mengadu kekurangan ruang berjamaah, Surau Ubudiyah agak kecil dapat menampung sekadar 70 orang berjamaah bagi 400 keluarga yang kebanyakannya tinggal di beberapa rumah pangsa berdekatan. Surau ini salah satu daripada 9 surau (3 tidak berdaftar) di seluruh DUN Seri Kembangan, manakala Masjid Al-Islah hanya satu-satu masjid di DUN Seri Kembangan. Masjid yang agak daif ini tidak dapat menampung jumlah jamaah di Seri Kembangan. Usaha sedang dilakukan bagi pembinaan masjid baru di atas tapat terhad yang luasnya tak sampai seekar, iaitu dengan cara membina bangunan bertingkat. Pihak surau-surau di sini juga perlu perhatian dan pembesaran. Pihak JAIS dan MAIS sewajarnya memberi keutamaan membina kembali masjid di sini bagi menampung keperluan setempat. Surau-surau juga perlu kepada bantuan dan pembangunan.


3)Bantuan Pelajar Cemerlang & Kembali Ke Sekolah Di Teras Jernang di Balai Raya Teras Jernang pada Sabtu 8 Januari 2011

Program ini diatur oleh Ketua dan Pengerusi JKKK – En. Shukor Jantan di sini dengan kerjasama penduduk kampong dengan sedikit bahan dari Pejabat Adun. Majlis berlangsung di Balai Raya, Teras Jernang dengan dihadiri sama oleh Pengerusi JKKK En. Shukor Jantan, Datuk Penghulu Tuan Haji Rusli Muhibat, Tuan Haji Mat Zain bin Abdul Hamid Imam Satu Masjid Al-Salihin di sini, Tuan Dr. Abdul Halim El-Muammadi Imam Dua dan Profesor Dato` Dr. Mohd Ali Baharum (Pengerusi Angkasa) sebagai ahli kariah di sini.

Menurut En. Shukor Pengerusi JKKK, ``Program ini merupakan program bersama masyarakat bagi meraikan anak-anak yang cemerlang di dalam peperiksaan awam, iaitu UPSR dan PMR 2010, serta membantu ibu bapa yang terpilih bagi meringankan beban perbelanjaan anak-anak. Turut diraikan tenaga pengajar.``

Dalam ucapan ringkas, Adun mengucapkan syabas kepada pihak Ketua Kampung yang juga Ketua JKKK yang berjaya mengadakan majlis pada hari ini. Agenda pendidikan adalah menjadi priority bagi Dun Bangi sebagai Bandar Ilmu. Banyak program yang kita adakan berhubung dengan ilmu. Kita mau pelajar-pelajar di DUN Bangi menonjol di dalam bidang pelajaran. Kerajaan negeri juga menyediakan berbagai insentif dari bantuan pelajaran, menganjur kelas tuisyen, insentif masuk universiti dan pinjaman tanpa faedah. Dengan bantuan dan ganjaran diharap memberi semangat kepada pelajar-pelajar untuk bersungguh belajar dan berjaya di dalam pelajaran.


Pada petang ini seramai 30 pelajar menerima Hadiah Cemerlang dalam bidang pelajaran dan 7 keluarga miskin menerima bantuan.


Sekian.

No comments:

Post a Comment