Sepulang dari Tenang, Adun berehat sekejap, kemudian bergerak ke Kajang Baru, Bukit Kajang dan tiba jam 3.00. Didapati YB Teo Nie Ching sudah berada lebih awal menyertai Sambutan Ponggal, Majlis bermula sejak jam 2.00. Beliau mohon beredar kerana memenuhi program di tempat lain. Pada masa ini program pada peringkat puncak sedang berjalan. Adun bersama hadirin terus mengikuti program antaranya mengacau ponggal dengan senduk di beberapa periuk, menyaksi pertandingan Memecah Takar yang begitu mendapat sambutan dan peserta-peserta yang mau mencuba berbaris panjang. Setakat kesampaian Adun, dua takar sudah berjaya dipecahkan. Bagaimana pun ramai yang tersasar dan tidak dapat membuat pukulan. Pada masa yang sama sukanika kanak-kanak juga sedang berjalan. Mereka yang hadir berjumlah lebih kurang 300 orang.
Kemudian Adun bersama hadirin dijemput ke majlis pelancaran. Hadir sama di majlis Tuan Haji Shafie Ngah, Tuan Haji Mazwan Johar dan saudara Aruchelvan A/L Subramaniams yang semuanya Ahli MPKj, sdr. Ari Krishnan Ketua Kelab Penyokong Serdang dan ibu bapa dan anak-anak setempat. Berucap di dalam Majlis ialah sdr. Aru yang menyebut bahawa Ponggal mempunyai erti penghormatan kepada para petani, menyedarkan kepentingan pertanian dan menjaga alam sekitar. Tuan Haji Mazwan menyebut tentang ponggal yang mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat, manakala Tuan Haji Shafie Ngah menyebut tentang sambutan sedemikian di adakan pada setiap tahun. Sambutan ini menurutnya kali kelima dan tahun ini Kajang Baru menjadi lokasi pilihan.
Adun Bangi dalam ucapannya menyebut, bahawa kita menghormati budaya dan perayaan semua kaum. Kita mengadakan sambutan Ponggal, kita adakan sambutan Tahun Baru Cina yang tak lama akan diadakan, kita juga mengadakan sambutan Hari Raya Idul Fitri. Kita ubah lokasi setiap tahun supaya semua pihak dapat menyertai sambutan yang diadakan di tempat mereka. Kita harapkan dengan sambutan sedemian mengeratkan hubungan antara penduduk setempat dan juga pemimpin-pemimpin. Kita mau anak-anak kita menghayati kebudayaan kaum-kaum di Negara ini.
Kita mahu melalui Pesta Ponggal yang merupakan Pesta Menuai ini – anak-anak kita mengenali dan menghayati – kehidupan petani, mengenal antara beras dan padi dan tahu gula berasal dari tebu. Dengan itu mereka mengenali kehidupan bertani, menghormati dan mungkin terlibat di dalam bidang pertanian. Adun berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan sambutan Ponggal pada kali ini. Selepas itu pertandingan terus diadakan termasuk Acara Merebut Kerusi.
Adun Bangi kemudian bersama-sama Ahli-Ahli MPKj menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang-pemenang termasuk regu:
Johan Cepat Masak Ponggal : Valamathi & Meeradhi
Masakan Ponggal Paling Sedap : Sharmugapriyan & Nivasuaran
Hadiah-hadiah sukanika dan pemecah takar juga turut disampaikan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment