January 14, 2011

Sua Kasih Kita Bersaudara

Parlimen Titiwangsa, 04 Safar = 09 Januari (Ahad):

Sebagai menyokong aktiviti yang digerakkan oleh Pas dan kerjasama Pakatan Rakyat di Parlimen Titiwangsa dan sebagai menunaikan jemputan Adun Bangi menghadiri ke Majlis Perasmian dan Pelancaran Sua Kasih Kita Bersaudara. Majlis ini berlangsung dari jam 8.00 pagi dan berterusan sehingga jam 5.00 petang bertempat di Tapak Kompleks Pendidikan Titiwangsa, Jalan Gurney, Kuala Lumpur.

Majlis Pelancaran berlangsung di Pasti Al-Hidayah di sini bermula dari jam 2.00 petang. Majlis yang diadakan secara besar-besaran dan melibatkan semua kaum ini dihadiri oleh YAB Tuan Guru Dato` Nik Abdul Aziz Nik Mat Murshidul Am Pas merangkap Menteri Besar Kelantan, YB Tuan Guru Dato` Seri Haji Abdul Hadi Awang Presiden Pas, YB Dato` Mahfuz Omar Naib Presiden Pas, Ustazah Nuridah Mohd Salleh Ketua Muslimat Pas, YB Senator Mumtaz Timbalan Ketua Muslimat, YB Dr. Halimah Ali Pengerusi Kelab Penyokong Pas, YB Dr. Siti Mariah Mahmud Ahli Parlimen Kota Raja, En Ho Pan Chau Ketua Dewan Himpunan Pas, Haji Mohd. Nor YDP Pas Titiwangsa. Perwakilan dari DAP dan PKR.

YB. Dr. Lo`lo` Dato` Ghazali Ahli Parlimen Titiwangsa selaku Tuan Rumah mengalu-ngalukan kehadiran hadirin dan berterima kasih di atas sokongan semua kaum yang diberi. Menurutnya `Kita Bersaudara`adalah perluasan dari slogan `Pas Untuk Semua` dan Kita adalah bersaudara merupakan realiti dalam mana kita dari satu keturunan ialah dari Adam dan Hawa.

Tuan Guru Dato` Seri Haji Abdul Hadi Awang Presiden Pas dalam ucapan aluannya merujuk kepada firman Allah dari Surah al-Hujurat (ayat: 13), bahawa Allah mencipta manusia lelaki dan perempuan dan dijadikan berbangsa dan berpuak agar berkenalan dan berbaik-baik hubungan. Sesungguhnya yang terlebih mulia daripada mereka ialah yang lebih bertaqwa. Menurut TG, kita perlu hidup bermasyarakat dan bergantung keperluan dan bertolong-tolongan bagi memenuhi keperluan. Kepelbagaian kaum dan berlainan bahasa menandakan kebesaran Allah yang mencipta manusia berbagai warna kulit dan berbagai bahasa. Dalam kehidupan dan politik menurutnya Islam mengajar kita bersifat amanah dan adil dalam amalan dan hukuman.

Turut berucap di dalam majlis itu Ustazah Noridah dan Majlis pelancaran dirasmikan oleh Tuan Guru Presiden.

Berbagai aktiviti seharian yang dijalankan antaranya Acara Lelong Amal Koleksi Peribadi Pimpinan Rakyat, Dikir Barat Kita Bersaudara, Deklamasi Sajak Kita Bersaudara, Pelancaran Logo Dan Skuad Dakwah Kita Bersaudara, Persembahan Gendang 3 Budaya, Pertandingan Utama dan Cabutan Bertuah, Pelancaran Dana Penerangan Dan Dakwah Kita Bersaudara Dewan Muslimat Pas Pusat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment