Semua akhbar pada pagi ini memilih isu perlantikan Dato` Khusrin Munawi bagi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebagai `Berita Utama`, front page News. Mulai Isnin semalam YAB. Tan Sri Dato` Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor diperkenan menerima mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah ibn al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan Negeri Selangor dan mulai pagi semalam juga Dato` Khusrin Munawi mulai melaporkan diri menjalankan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Dengan perkembangan mutakhir krisis Politik- Pentadbiran Negeri Selangor isunya makin jelas . Sebelum ini memperlihatkan banyak kekeliruan dan kesalahtanggapan berhubung dengan isu perlantikan Dato` Khusrin Munawi. Ada yang menuduh pihak Istana berpihak berhubung dengan anggapan Khusrin penyokong dan akan bekerja bagi kepentingan lawan – BN berdasarkan tindak tanduknya sebelum ini. Kedudukan yang sebenar bahawa kekuasaan melantik Setiausaha Kerajaan Negeri adalah pada tangan Kerajaan Federal. Kuasa ini memang pada asalnya adalah pada tangan Sultan (Negeri Selangor) dan Menteri Besar, tetapi selepas berlaku krisis perlembagaan (1993) pada zaman Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia, perlembagaan Negara dan diikuti perlembagaan negeri telah diubah (penyelarasan), di mana kuasa negeri (Sultan dan Menteri Besar) telah dicabut dan kuasa melantik Setiausaha Kerajaan Negeri terletak pada kerajaan Federal – di bawah tindakan Ketua Setiausaha Negara (Bagi negeri-negeri Bersekutu). Ini bermakna angkara Kerajaan BN yang telah mengurangkan kuasa kerajaan negeri. Dalam erti kata yang lain dengan penarikan kuasa itu adalah mencabuli semangat Federalisme yang selama ini kuasa perlantikan dibawah kuasa negeri, tetapi telah dicabut oleh Kerajaan Persekutuan.
Krisis politik-pentadbiran negeri Selangor dicetuskan oleh `Dalang` yang mengambil kesempatan dari kekosongan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan sifat `Gunting Dalam Lipatan` telah mengemukakan cadangan nama Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa merujuk kepada Menteri Besar Selangor yang kononnya senarai berkenaan mendahului senarai yang dikemukakan pihak Menteri Besar. Pihak Federal memang mengambil kesempatan yang terbuka memilih calon berkepentingan bagi BN yang tidak direstui oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat. Dengan kuasa Federal yang telah diubah perlantikan terhadap Dato` Khusrin telah dibuat dan menurut perlembagaan yang telah diubah ia adalah sah. Walau bagaimana pihak negeri tidak merestui dan tidak bersetuju.
Dalam situasi sekarang, bagi peringkat permulaan, pihak Menteri Besar tidak akan menghadiri atau tidak menyertai (jika hadir) upacara mengangkat sumpah yang lebih bersifat `Ceremonial` itu. Khusrin juga tidak akan dijemput mengangkat sumpah menyimpan rahsia di hadapan Menteri Besar selepas itu dan menghadkan tugas-tugas Khusrin kepada tugas-tugas yang berhubung dengan Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah. Khusrin tidak akan dibenar menghadiri mesyuarat Exco dan tugas-tugas penting yang lain. Sementara itu jika percubaan menangguhkan acara angkat sumpah khusrin tidak berlaku, beberapa alternatif bakal diambil.
Antara tindakan yang disebut-sebut, bahawa Sidang Khas – tidak semestinya tergempar, bagi meminda Perlembagaan Kerajaan Negeri Selangor akan diadakan. Sidang bertujuan bagi mengembalikan Kuasa Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Menteri Besar, berhak memilih calon bagi perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan juga jawatan penting yang lain seperti Penasihat Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri. Dalam sidang kelak dapat dilihat sikap pembangkang dari BN apakah mereka menentang usul mengembalikan Kuasa Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Menteri Besar atau mereka akan mengambil sikap `Durhaka` terhadap Tuanku`. Walau bagaimana jika tiada majoriti dua pertiga difahamkan ada alternatif lain yang bakal diambil.
Krisis Politik-Pentadbiran negeri Selangor memperjelaskan kepada rakyat bahawa kerajaan BN telah menghakiskan kuasa Kerajaan Negeri. Kerajaan Pakatan Rakyat akan berusaha bagi mengembalikan kuasa Kerajaan Negeri (Kuasa Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Menteri Besar). Mana mungkin pentadbir seperti Menteri Besar boleh bekerja secara selesa dengan pegawai yang tidak disenangi, apa lagi yang dianggap kurang berkelayakan berbanding dengan calon yang dipilih dan lebih berkelayakan.
Krisis juga memperjelaskan sifat hipokrit pendukung-pendukung BN yang menuduh pihak-pihak tertentu, terutama dari PR sebagai menderhaka dan sebagainya. Punca permasalahan adalah akibat dari tindakan BN, khususnya Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Kuasa-Kuasa Kerajaan Negeri perlu dikembali dan perlu di hormati di samping menjaga kuasa-kuasa dan kepentingan Federal.
Sekian.
No comments:
Post a Comment