January 17, 2011

Penerangan Mengenai Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor

BBB 11 Safar = 16 Januari (Ahad):


Penerangan dianjurkan oleh MTD & Pejabat Pas Selangor bertempat di PKNS, Bandar Baru Bangi. Tiga agensi mengambil bahagian iaitu dari Tawas, Mikrokredit dan Skim Mesra Usia Emas. Hadir sama ialah Tuan Haji Shafie Ngah Timbalan YDP Pas Serdang yang juga Ahli MPKj Zon 24, Tuan Haji Mazwan Johar Naib YDP Pas Serdang yang juga Ahli MPKj Zon 22, Ketua-Ketua Cawangan, Ketua-Ketua Kampung, Pemuda, Muslimat dan petugas-petugas.


Saudara Tuan Haji Mazwan sebagai Pengarah telah menyampaikan ucapan alu-aluan dan memaklumkan bahawa tujuan penerangan diadakan, kerana daripada kajian menunjukkan apa yang dilakukan oleh kerajaan dari segi program-program merakyatkan ekonomi tidak diketahui rakyat. Ketua-Ketua Kampong, Ketua-Ketua Cawangan, Pemuda, Muslimat dan ahli-ahli adalah pengantara yang sewajarnya menghebahkan program-program berkenaan, sebab itu majlis ini diadakan bagi memberi kefahaman dan menyalurkan maklumat-maklumat.

Pada majlis ini Tuan Haji Abdul Hadi bin Abdul Rahman sebagai Pengarah Tawas (Skim Anak Yang Dilahirkan Di Selangor) memaklumkan syarat-syarat bagi melayakkan peserta mendaftar bagi Tawas, iaitu lahir di Selangor selepas 2008 atau ibu bapa bertmastautin di Selangor tidak kurang dari 5 tahun. Setakat ini menurut Tuan Haji Abdul Hadi sejumlah 37,869 orang telah mendaftar bagi Tawas, manakala En. Shaharuddin bin Ya`kob Pegawai Operasi Skim Mikro Kredit di Hulu Langat memaklumkan skim ini baru dilancarkan pada bulan September 2010 oleh YAB Tan Sri Dato` Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor. Peruntukan RM50 juta disediakan. Mikro Kredit adalah bagi mereka yang mempunyai pendapatan di bawah RM1,500, menjadi ahli dan rakyat negeri Selangor atau yang bermestautin 5 tahun di sesuatu kawasan, memiliki asset tidak lebih RM50,000. . Pejabat Mikro Kredit Hulu Langat adalah di Pejabat Daerah Hulu Langat.


Encik Kamsani bercakap tentang Skim Usia Mas yang kelayakan diberi kepada rakyat negeri Selangor atau lahir di Kuala Lumpur sebelum Februari 1974 atau bermastautin di Selangor melebihi 15 tahun dan berusia 60 tahun ke atas . Setakat ini pendaftaran berjumlah 145,000 orang. Bagi warga mas diperuntukkan sebanyak RM2,500 bila berlaku kematian.


Tuan Haji Shafie Ngah bercakap tentang program 2 bulan bagi Adun turun padang bagi mendekatkan Adun dengan masyarakat. Beliau meminta pihak yang berkenaan dapat mengikuti jadual yang disediakan.


Untuk majlis penutup Adun memaklumkan di sebalik faedah yang dapat dinikmati rakyat , kita mengharapkan dengan penerangan dan kefahaman mereka dan rakyat tentang skim-skim berkenaan, mereka berpihak dan menyokong program-program yang dilaksana kerajaan. Sebenarnya bukan setakat 3 perkara sahaja yang patut diberi keterangan, tetapi semua skim, bahkan perkembangan semasa yang berlaku wajar difahami oleh rakyat. Ini termasuklah kemudhan bercuti 90 hari bagi ibu bersalin dan tujuh hari cuti bagi suami, Pemeriksaan Mengesan kenser percuma, hadiah masuk universiti, pinjaman belajar di universiti tanpa faedah, air percuma yang diguna di bawah 20 kubik meter, bahkan perlu difahami dan diberi maklum kepada rakyat hasrat kerajaan mau memiliki hak pentadbiran air di bawah kerjaan negeri. Perlu juga memahami isu terbaru untuk diberi penerangan kepada rakyat tentang larangan orang-orang Islam bekerja di kilang arak dan premis judi, isu mengembalikan hak melantik setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Menteri Besar dan Isu Janji Pakatan Rakyat selepas 100 hari jika diberi mandate memerintah Malaysia.

Bagi menyampaikan maklumat ini, menurut Adun perlu kepada penggembelengan bahagian Penerangan secara teratur dan berkesan. Menurut Adun kita juga akan menubuhkan Skuad Penerangan di bawah Lajnah Penerangan, Skuad Kebersihan di bawah Lajnah Kebersihan sebagaimana wujudnya Skuad Pendaftaran yang sedang menjalankan tugas mereka dengan baik. Sebelum merasmikan Penutupan, Adun mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Penerangan pada hari ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment