January 26, 2011

Pengalaman Di Labis, Ke Gunung Mas - Berkempen Di Tenang

Anekdot:

Setelah berjalan lebih kurang 6km. pergi dan balik dari pusat Bandar ke Majlis Perbandaran Labis kerana memberi sokongan bagi penamaan calon Cikgu Normala binti Sudirman dari PR (Pas) bagi kawasan DUN Tenang 24 Januari 2011, maka perut terasa lapar dan tekak rasa dahaga, maka kami singgah di sebuah kedai makan yang penuh dengan pelanggan-pelanggan yang singgah makan.


Di sini, makanan pada hari ini dikehendaki diambil secara `Layan Diri`. Cara ini dianggap lebih cepat dan mengurangkan penggunaan tenaga peniaga. Mereka hanya mengira makanan dan juga minuman yang dipilih. Namun begitu oleh kerana hari penamaan calon dan berlaku kebanjiran pengunjung, akibatnya kebanyakan pengunjung tidak dapat melayan diri, bahkan peniaga tidak dapat melayan keperluan pelanggan. Nasi yang dibawa keluar dalam thermos besar sering kehabisan, begitu juga lauk-lauk turut kehabisan, walaupun ditambah. Oleh kerana peniaga suami isteri kekurangan tenaga, beberapa sahabat bersamaku, bukan saja `melayan diri`, tetapi turut sama ke belakang mengangkat nasi dan lauk untuk pengunjung yang ramai. Mereka lebih dari melayan diri, bahkan melayan diri pelanggan-pelanggan lain secara mesra dan sukarela. Lebih dari itu, kami rasa begitu seronok dan enak makan dan minum di sini, dek lapar dan dahaga, walaupun lauk tak seberapa. Ini rakaman kenangan kami di Labis ini selepas berarak dengan penuh semangat yang kalau tidak diadakan pilihanraya kecil di sini, kami tidak tiba di sini.


Selepas membayar makan, sedang pengunjung-pengunjung lain terus mendatang, kami bergerak ke kenderaan yang kami parking betul-betul pada bahagian corner hadapan sebuah kedai tayar yang taukenya Cina. Sebelumnya kami memang meminta izin parking dan dibenarkan. Untuk bergerak dari situ, adalah tidak wajar tanpa berterima kasih kepada pengusaha tiga beranak di situ.


Oleh kerana sekarang musim pilihanraya kecil, fikiran terarah kepada berkempen, aku mendatangi pengusaha berkenaan untuk berkempen dan bertanya mesra,


``Tauke, ada undi pilihanraya Tenang nanti ?``

``Tidak, ini luar kawasan,`` katanya.

Tapi kataku, ``Bila orang datang tukar tayar tauke boleh tolong kempen, pangkah Bulan !``

``Boleh ! Boleh ! Boleh !`` katanya sebagai melayan kami secara mesra.

Tapi bila kami mau bergerak, tiba-tiba tauke Cina lelaki itu bertanya kepada saudara Azizi,

``Lu orang Cinakah !``

Terhenti sejenak saudara Azizi yang memang berwajah seperti orang Cina itu berfikir untuk menjawab,

``Oh, ya !`` kata saudara Azizi, untuk memudahkan jawapan.

Aku terus menyambung, ``Tauke, tengok dia `Orang Cina` dari Kuala Lumpur sokong Pakatan Rakyat. Harap tauke dan orang Cina di sini, macam kawan saya ini sokong `Bulan`, boleh tauke tolong sama kempen orang Cina mengundi pilih bulan. Kita sama-sama dalam Pakatan Rakyat.


Tauke nampaknya semakin mesra dan mulai menampakkan pendirian dan sokongannya dengan katanya, sambil menunjukkan jari telunjuk,

``Kita Olang Cina, tunjuk ini, sambil menggerakkan jari telunjuk tangan kanannya, luar satu Malaysia Najib, tapi dalam, `Roket` menuju ke Bulan !`` Kami angguk memahami maksud bandingannya.

Sedang seorang sahabat di sebelah bertakbir,

Allahu Akbar !!! tanda kesyukuran.


Dari situ kami bertolak mencari lokasi `Rumah Selangor` yang nama tempatnya begitu menarik, iaitu No. 7, Jalan 12, Taman GUNUNG MAS. Nama taman yang begini indah berada pula di Tenang, sudah tentulah menyenang, menguntung dan membahagiakan.


Sekian.

No comments:

Post a Comment