January 16, 2011

Hijrah Dan Hidayah

BBB, 10 Safar = 15 Januari (Sabtu):


Hikmat Hijrah amat istimewa dan bermakna baik dari segi lahiri dan maknawi. Hijrah tidak semestinya hanya pada awal Muharram, tetapi hikmatnya berterusan dan pelbagai peristiwa menyerlahkan. Demikianlah malam tadi Adun Bangi dijemput dan turut menghadiri serta mengikuti pengalaman Hijrah dua pendakwah muda yang datang dari berlainan tempat, berbeza pengalaman dan bertemu di atas satu tujuan. Pihak Surau Al-Kauthar, Seksyen 4, BBB menjemput mereka melakarkan pengalaman dan Surau menjemput para jamaah hadir mengikuti ceramah dengan menyediakan jamuan dengan seekor lembu ditumbangkan.


Pendakwah dimaksudkan ialah saudara Muhammad Farhan bin Abdullah berasal dari Ranau Sabah dan saudara Muhammad Rashidi bin Abdullah berasal dari Kucing, Sarawak. Kedua-dua berasal Kristian Katholik. Saudara Farhan menerima cahaya keislaman sejak dua dekad lepas. Pengislamannya tidak diterima keluarga. Dia keluar mengembara menambah ilmu pengetahuan keislaman, bukan setakat di Semenanjung, tetapi membawa dirinya mendalami ilmu keislaman hingga ke Mesir selama 4 tahun. Usaha dakwah saudara Farhan sebagai `Saudara Baru` jauh lebih baik daripada kita sebagai `Saudara Lama` yang tidak atau kurang berfungsi dari segi dakwah yang amat dituntut oleh Islam.


Dalam ceramahnya di Surau Al-Kauthar yang menggunakan peralatan tayangan video,
Saudara Farhan memaklumkan, keluarganya yang menentangnya - beragama Katholik, al-hamdulillah dapat didakwah kemudiannya menganut agama Islam. Bukan setakat itu beliau berjaya membuka Tahfiz Pengajian di tanah kelahirannya di Ranau. Daripada 10 kawasan bangunan gereja di tanah kelahirannya, maka 6 daripadanya bertukar menjadi kawasan menerima Islam. Beliau juga membuka sebuah Pasti di Bandar Baru Bangi yang diberi nama Pasti Al-Shafie. Dengan urusan dakwahnya menghendaki dirinya membahagi masa lebih banyak berada di Ranau mengajar dan menerima jemputan-jemputan, lebih kurang ¼ (tiga bulan) daripadanya berada di Bangi.



Saudara Muhammad Rashidi Abdullah berlainan pula pengalaman. Beliau yang berasal dari Kucing Sarawak, keluar dari Kuching dan mengembara ke Semenanjung. Beliau bergaul nakal dengan masyarakat di PJ, Sunway dan Klang. Semasa di sini beliau tertarik kepada Islam, tetapi respon dari pegawai Jabatan Agama dan orang yang didekatinya kurang memberangsangkan. Penghijrahannya ke Kelantan membuka peluang beliau menganut Islam di hadapan pegawai agama di Lundang. Pegawai berkenaan menempatkan beliau belajar di Pondok Pasir Tumbuh beberapa tahun lamanya hingga membentuk dirinya sebagai seorang `Pendakwah Muda` Beliau bertemu juduh dengan gadis Terengganu dan menetap di sana membuka pengajian dan berdakwah di sana. Menurutnya, ayah mertuanya rapat dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Kelahiran anak sulungnya ditahniq oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi.


Malam ini mereka berdua berceramah mengenai pengalaman masing-masing kepada hadirin. Kedua-duanya menghasilkan buku-buku panduan pengajian al-Qur`an dan Dakwah. Dari maklumat yang disampaikan oleh Pengerusi Surau Tuan Haji Nazri, juga Ustaz Ismail Hashim AJK Surau yang menjadi pengerusi pada malam ini, Surau al-Kauthar bukan setakat menjemput ceramah, tetapi mempunyai hubungan yang rapat, terutama dengan sudara Farhan. Rombongan dari Surau al-Kauthar telah dihantar ke Ranau – Pusat Dakwah di sana pada pertengahan Disember 2010 lepas dan mereka tertarik dengan usaha dakwah saudara Farhan. Majlis pada malam ini bukan setakat jemputan berceramah, tetapi juga menubuhkan `Tabung Pendidikan` bagi membantu dakwah dan pendidikan, termasuk di Ranau. Derma dakwah dan pendidikan dilancarkan pada malam ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment