Unit Amal berjaya membentuk imejnya yang identik dan dihormati. Bukan sekadar dengan uniform baju merah yang terang dan garang, tetapi lebih dikenali dengan kerja-kerja amal mereka, baik pada peringkat antarabangsa, maupun pada peringkat tempatan. Berlakunya tsunami di Acheh, mereka antara rombongan awal tiba ke sana melakukan kerja-kerja amal kepada mereka yang malang yang memerlukan bantuan. Berlaku gempa di Iran, mereka juga berada di sana melakukan bantuan, mereka ke Filipina, ke Indonesia dan berbagai tempat lagi membantu mangsa bencana alam. Pada peringkat tempatan mereka membantu mangsa banjir dan berbagai-bagai bencana dan kemalangan. Sebagai sebuah badan NGO yang ahlinya, kebanyakannya terdiri dari kalangan pemuda, mereka mengatur kegiatan-kegiatan lasak seperti mendaki gunung, berexpedisi ke kawasan-kawasan hutan rekreasi, berkhemah kerja, berqiyamullail dan sebagainya. Pada hari-hari kebesaran dan sambutan, mereka mengambil bahagian dengan mengadakan barisan yang segak dan tangkas. Mereka juga pada ketika-ketika mengawal lalu lintas dan berbagai-bagai kegiatan amal yang lain.
Petang ini sebagai satu kegiatan kecil bagi mereka, Adun, selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan bagi Cawangan Pas 1/7, BBB, menyertai mereka bersama program amal, iaitu `Menziarah Warga Mas Dan Mereka Yang Uzur`. Tempat yang dipilih dan diatur program ialah di beberapa rumah pangsa di Seksyen 16 Bandar Baru Bangi. Mengetuai Unit Amal Menziarah, ialah Ketua Unit Amal Dun Bangi (Memangku Ketua) saudara Uwais dengan Setiausahanya saudara Azman dan sejumlah 12 AJK beserta dengan pemimpin setempat seperti saudara Harun dan penduduk.
Dalam masa yang terhad dari jam 5.00 – 7.00 petang, selepas solat Asar kami berkesempatan menziarah 7 orang (tujuh rumah) di Blok 7, Blok 8 dan Blok 2.
Warga mas terdiri dari berbagai latar kehidupan semasa berkhidmat sebelumnya. Antara mereka adalah bekas pekerja di RTM seperti Haji Darus bin Salam yang sekarang sedang sakit buah pinggang dan terpaksa melakukan dailysis tiga kali seminggu di hospital Putrajaya. Walaupun bayaran ditanggung kerajaan, beliau dikehendaki buat bayaran tambahan secara berterusan. Antara mereka yang uzur ialah Bekas Polis seperti Pak Su Long yang lama berkhidmat di Balai Polis Kajang, Antara mereka Puan Rahimah bt. Hashim yang juga mengidap sakit buah pinggang, Hajah Norhayati bt. Ishak isteri kepada Hj. Mat Affandi, Bekas Bilal Surau An-Nur yang mengidap penyakit Parkinson. Antara mereka bekas Pemandu Teksi yang sudah uzur. Pemandu Teksi di Bandar Baru Bangi ini lebih dikenali dengan panggilan `Pak Din`.
Kedatangan kami setelah diatur program terlebih dahulu sekadar bertanya khabar, berbual ringkas dengan mereka yang diziarahi, menyampaikan simpati kami kepada pesakit-pesakit dan memberi semangat dan harapan kepada mereka agar berdoa kepada Allah dan mendekati diri kepadaNya dengan amal ibadat. Sedikit bantuan kewangan dan barangan kami sampaikan kepada mereka yang diziarahi. Mereka bergembira, sedang mereka di dalam kesunyian, kami datang bertanya khabar dan mengambil tahu keadaan mereka.
Terima kasih kepada Unit Amal yang menjemput Adun menyertai aktiviti dan terima kasih kepada semua yang terlibat menyertai ziarah ini.
Sekian.
No comments:
Post a Comment