April 19, 2011

Kesyukuran Di Surau Al-Ikhwan

Seksyen 5, BBB, 22 Jamadil Awal = 16 April (Sabtu):

Penduduk sekitar Surau Al-Ikhwan, Seksyen 5, BBB turun beramai-ramai menyertai Majlis Kesyukuran yang diadakan di surau ini pada petang ini. Kesyukuran diadakan kerana siap dan sempurnanya pembinaan surau berkenaan. Adun masih ingat majlis menandakan tapak telah dilakukan Adun pada bulan Mei 2010 dan dimaklumkan bahawa sejak itu bangunan mulai didirikan dan siap pada bulan November 2010 –sempat hariraya Idul Adhha dan sejak itu digunakan hingga kini. Ini bermakna dengan kegigihan AJK dan kerjasama penduduk dan penderma surau ini disiapkan dalam masa enam bulan sahaja.

Malam kesyukuran ini dihadiri oleh Ustaz Haji Basri Omar Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Masjid di JAIS, Ustaz Qari bin Musa Pengerusi AJK Surau, Dr Rushdi bin Jusoh Pengerusi AJK Persatuan Penduduk dan para jamaah. Sebelum daripada majlis dimulakan, waktu antara Maghrib dan Isya` diisi dengan tazkirah berhubung dengan masjid yang disampaiakn oleh Ustaz Hazaruddin dari Jawi yang mana beliau juga sebagai pengajar di surau ini dua kali sebulan.


Majlis Kesyukuran dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Surau Ustaz Qari yang mengucap terima kasih pada tamu-tamu jemputan yang sudi hadir ke jemputan Kesyukuran. Beliau menggalurkan sejarah pembinaan Surau al Ikhwan dan bersyukur kerana berjaya mendapat dana dan membinanya dalam masa 6 bulan. Menurutnya surau disiapkan dengan kos RM380,000. Sebanyak RM50,000 didapati dari Lembaga Zakat Negeri Selangor. Selain dari tiu adalah dari derma orang ramai. Menurutnya ada Hamba Allah yang menderma secara perseorangan sebanyak RM100,000. Pada malam ini individu-individu yang menderma satu riba ke atas dijemput sam menghadiri Majlis Kesyukuran. Pengerusi Persatuan Penduduk Dr. Rashdi memaklumkan bahawa AJK Surau dan AJK Persatuan Penduduk mempunyai hubungan yang rapat. Termasuklah mencari derma bagi dana Surau dan memakmurkan Surau. Kata beliau, jamuan pada malam ini adalah dari peruntukan Persatuan Penduduk.


Tuan Haji Basari selaku Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Masjid memaklumkan permohonan bagi mendiri masjid dan surau adalah meningkat, ` kita memang galakkan pertambahan masjid dan surau,` katanya. Beliau menyebut jumlah Masjid yang melibihi 350 buah dan surau melebihi 1,600. Beliau membandingkan keadaan masjid-surau sebelum zaman pemerintahan Pakatan adalah malap dan tidak dimakmurkan. Tetapi kini semua masjid-surau maju dan diimarahkan dengan ibadat dan pengajaran. Menurutnya ada sebuah suruh telah diperintah tutup pada zaman kerajaan Barisan Nasional di Shah Alam, tetapi pada zaman Pemerintahan Pakatan Rakyat surau itu diperintah dibuka dan kini surau ini paling giat dan dihadiri ramai jamaah.

Adun yang dijemput berucap terakhir bersyukur kepada Allah kerana surau telah dapat disiapkan dalam masa enam bulan. Iaitu surau yang agak besar dan dapat memuatkan lebih kurang 300 orang, mungkin ini satu rekod bagi kecepatan pembinaan surau - syabas !. Adun sukacita melihat kerjasama antara AJK Surau, Persatuan dan penduduk dan berharap rekod tidak sahaja dari segi kecepatan membina, tetapi juga dari segi pengisian surau dengan berbagai-bagai aktiviti. `Saya difahamkan pada setiap pagi Sabtu dan Ahad memang sudah ada pengajaran`. Mungkin dilibatkan sama pengajian oleh muslimat di kalangan mereka dengan menjemput guru-guru yang di Bangi ini ramai dengan guru-guru. Begitu juga pengajaran agama dan bimbingan bacaan al-Qur`an di kalangan anak-anak. Pendeknya Surau hendaklah diisi dengan berbagai kegiatan keagamaan, pendidikan dan kemasyarakatan. Biarlah surau menjadi agen yang menyatupadu dan memajukan penduduk di sini. Pada akhir majlis jamuan diadakan di bawah khemah yang dipasang dihadapan surau.
Sekian.

No comments:

Post a Comment