April 21, 2011

PAS Selangor Memiliki Bangunan Sendiri

Shah Alam – Dewan MBSA, 15 Jamadil Awal = 19 April (Selasa):

Atas semangat menyokong pemilikan Bangunan, Pas Selangor Adun Bangi menjemput seramai 20 orang (bagi dua meja dibeli) ahli Pas dari Serdang menyertai Majlis Pelancaran Sijil Wakaf Bangunan Pas, Selangor. Bertolak dari Bangi dengan dua kenderaan sejak petang, manakala yang lain dari Balakong dan Seri Kembangan pergi berasingan. Kami bersembahyang Maghrib di Awan Besar, Jalan KISAS dan tiba jam 8.30 dan menyerahkan cek. Majlis belum bermula, walaupun dalam program jam 8.00 malam. Tidak ada tokoh luar yang dijemput, tapi hadir YB Dato` Dr. Hasan Mohd Ali Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Dr. Othman Sabran Timbalan Pesuruhjaya I, YB Iskandar Abdul Samad Timbalan Pesuruhjaya II Selaku Pengerusi Pembelian Bangunan, Tuan Haji Mohd Yusof Ludin Bendahari Pas Negeri, saudara Sabki Yusof, Naib Ketua Pemuda Pas Selangor, YDP-YDP, Adun-Adun, para veteran dan jemputan khas dari Dewan Penyokong Pas – saudara Baskaran, Arun/Harun dan teman-teman.
Majlis pada malam ini adalah pelancaran Sijil Wakaf Bangunan Pas Selangor dan jamuan meja-meja yang dijual. Pada permulaan ruang agak lengang, tetapi kemudian ruang kelihatan dipenuhi. Acara dimula dengan bacaan doa dengan pengacara saudara Sani Hamzan menjemput Ustaz Ahmad Hashim dari Dewan Ulama` negeri ke hadapan. Kemudian ucapan oleh Tuan Haji Mohd. Yusof Ludin yang mewakli YB Iskandar. Beliau mengucap terima kasih kepada penderma-penderma dan semua yang hadir menjayakan majlis.

YB Dato` Dr. Hasan Ali selaku Pesuruhjaya menggariskan harapan agar usaha menghimpun dana bagi membeli bangunan dari Pemaju Worldwide berharga RM1.3 juta dapat dicapai dalam masa terdekat. Beliau berharap gerakkerja pilihanraya ke 13 dapat dilakukan dari sini. Bahkan segala kegiatan Pas Selangor bermula dari sini. Beliau menyebut seorang dermawan membayar deposit 10% bagi pembelian pejabat berkenaan. Dalam keadaan sekarang Pas Selangor dikehendaki membayar bulanan kepada bank sebanyak RM37,000 sebulan, dikira setiap hari ialah RM1,200. Beban ini dapat dielakkan jika kita mempunyai kewangan yang dapat dibayar hutang.
Selepas Dato` Dr. Hasan Ali berucap beliau melancarkan skim Sijil Wakaf Bangunan dan membuka pembedaan bagi pembeliaan mock check. Pembedaan tertinggi ialah RM10,000 oleh seorang ahli dari Subang Jaya yang namanya ialah En. Shafie. Bagi skim sijil wakaf untuk 1.6 kaki seharga RM50.00. Selepas jamuan pungutan derma secara spontan juga dilakukan.

Penghujung acara, kami dari Pejabat Adun Bangi dengan dua buah kenderaan bertolak ke kawasan pejabat/kedai yang dibina oleh Syarikat Worlwide dan melihat serta meninjau bangunan Pas dari luar sebelum pulang ke Bangi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment