April 12, 2011

PKNS Bakal Membina Perumahan Bersifat Futuristik: Bangi Sekadar Mendapat Projek `Rumah Mampu Milik ?

BBB, 09 Jamadil Awal = 12 April (Selasa):

Sebagai sebuah Syarikat Perumahan Negeri Selangor yang ditubuh sejak pertengahan 1960an dan kemudian ditingkatkan menjadi sebuah Perbadanan yang dikenali dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan dapatlah bermegah kerana sejak ditubuhkan 11 buah taman perumahan telah dibangunkan (termasuklah Bandar Baru Bangi). Sehingga berakhirnya tahun 2010 PKNS telah membina di negeri Selangor sebanyak:

BIL

JENIS

BILANGAN

1

RUMAH KEDIAMAN

150,221

2

KEDAI

2,234

3

KILANG (INDUSTRI)

456

Keseluruhan harta di atas dinilai mencecah harga RM11.39 bilion. Penghasilan sedemikian adalah dikatakan menepati visi PKNS yang membina dan bertujuan mewujudkan kelompok masyarakat memiliki kediaman sendiri yang hidup bahagia dan cemerlang. Bagi menjadikan PKNS sebuah perbadanan yang unggul, maka ianya terus bergerak secara inovatif, menjangkau ekspektasi dan kompetensi. Namun di sebalik apa yang didakwa sebagai kejayaan ini ada yang mempersoal, umpamanya dalam Sidang Dewan Negeri pada Akhir Mac 2011 yang lepas bahawa, ``PKNS seharusnya tidak sangat berbangga dengan apa yang dicapai dari segi pembinaan taman dan perumahan, hakikatnya pembinaan tidak dilakukan oleh PKNS sepenuhnya, bahkan lebih banyak bersifat kerjasama, bahkan difranchised kepada syarikat swasta.

~Rumah Mampu Milik di Bandar Baru Bangi yang akan dibina~

Pembinaan perumahan oleh PKNS pada peringkat awal dianggap menghasilkan perumahan kurang standard, hanya sesuai diduduki oleh rakyat biasa. Orang yang berada tidak memilih perumahan PKNS yang rendah mutu, berbanding dengan syarikat swasta yang inovatif dan kreatif. Inilah agaknya mendorong PKNS mengambil pendekatan kerjasama dengan swasta atau difranchisedkan kepada mereka kerana PKNS kurang tenaga dan kepakaran. Kemajuan yang dicapai PKNS dengan taman-taman perumahan menarik selepas diswastakan atau difrancise dan PKNS lebih merupakan `sleeping partners` ?. Jadi selama ini benarkah PKNS kompetens, kreatif dan inovatif dari segi pembangunan dan pembinaan?


Selepas Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Selangor dan PKNS berada di bawah seorang Menteri Besar yang dikenali seorang koporat dan banyak mengendalikan projek-projek perumahan yang berprestej seperti perumahan di Bukit Jelutong dan sebagainya, maka PKNS dicabar agar benar-benar mengendalikan projek pembangunan Taman dan perumahan oleh PKNS sendiri. Sejak 2009 dan sejak perlantikan Ketua Pengarah yang baru, PKNS mengorak langkah bagi mengendalikan semua projek adalah di bawah PKNS. Kini PKNS melangkah bagi mengadakan projek-projek perumahan secara kreatif inovatif dan futuristik. Contoh dapat dilihat plan bagi pembangunan Bangunan Pejabat PKNS yang baru yang bakal dibina di tepi Tasik Indah, Shah Alam dan projek-projek tepi Sungai Kelang yang bakal didirikan. Kita berharap dengan azam baru berbekal dengan ingatan dan kritikan dalam Dewan Negeri, termasuk soal pembaziran PKNS akan berjaya melaksanakan visi dan misinya dan menjelma sebagai sebuah Perbadanan yang unggul dalam pembinaan perumahan dan taman.


~Bangunan Pejabat PKNS baru yang akan dibina~

Di tengah-tengah perancangan dengan projek-projek perumahan yang baru, maka kita lihat ada satu jenis pembangunan rumah dengan konsep baru yang dikenali sebagai `Rumah Mampu Milik` yang pertama kali akan dibina di Bandar Baru Bangi. Iaitu satu jenis rumah bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang harga seunit antara RM65,000 hingga ke RM99,000 bergantung kepada jenis perumahan bertingkat yang dipermodenkan dari segi binaan. Rumah Mampu Milik ini sepatutnya didirikan pada pertengahan tahun 2011 ini dan dari sini `Rumah Mampu Milik` ini akan didirikan di Kota Puteri dan Antara Gapi. Kita bertanya apakah jenis rumah ini sahaja yang dapat dibina di Bandar Baru Bangi ? Tidakkah masyarakatnya juga berkemampuan membeli dan memiliki rumah yang mahal, inovatif, futuristik dan berprestej, di samping menyediakan Rumah Mampu Milik kepada rakyat?


Di dalam hal ini kita melihat pihak PKNS nampaknya bagaikan tidak peduli dan tidak memberi perhatian terhadap permohonan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi sejak sekian lama – terhadap PKNS dan disokong kuat oleh Adun Bangi, agar membina sebuah Pusat Konvensyen yang bakal digunakan sebagai pusat kegiatan Ilmiah dan kemasyarakatan di Bandar Baru Bangi, sesuai dengan Bangi sebagai Bandar Ilmu. Jika di Shah Alam ada bangunan Shah Alam Convention Centre (SACC), maka tidakkah Bandar Baru Bangi juga layak mempunyai pusat Persidangan sedemikian?

~SACC di Shah Alam~

Sekian.

1 comment:

  1. yb doc,
    saya ssetuju pandangan doc.yang penting,rumah mampu milik
    adalah untuk rakyat dan mungkin pkns akan subsidise rgt 10000 setiap satu.
    inilah tujuan pkns.ambil duit
    untung projek mahal,bagi balik dekat rakyat.
    tahniah yb.

    ReplyDelete