April 13, 2011

Risaunya PM & TPM Kiranya Berlaku Tsunami Politik Di Sarawak


BBB, 09 Jamadil Awal = 13 April (Rabu):

Kempen pilihanraya Negeri Sarawak sampai kemuncak dan dua hari lagi sebelum hari mengundi adalah merupakan peluang terakhir persiapan mendepani pengundi. Pilihanraya di Sarawak kali ini berbeza dari pilihanraya-pilihanraya sebelum dari ini. Buat pertama kalinya semua kerusi Dewan Undangan Negeri yang berjumlah 71 kerusi itu ditandingi. Pada kebiasaan yang lepas pada hari penamaan calon terdapat kerusi-kerusi dimenangi oleh pihak kerajaan tanpa bertanding, tetapi tidak kali ini. Mood rakyat juga pada kali ini berubah dan lebih terbuka.


Dua isu utama yang dimainkan oleh kedua belah pihak, selain dari isu pembangunan dan tiadanya pembangunan, ialah isu peribadi yang berhubung dengan Ketua Pembangkang Dato` Seri Anwar Ibrahim dari (PKR-Pakatan Rakyat) dan pimpinan di Sarawak Tan Sri Taib Mahmud (BN). Serangan terhadap Anwar mencerminkan betapa takutnya BN terhadap kepimpinan Anwar dari Pakatan Rakyat yang kali ini mendapat sambutan hangat di kalangan rakyat yang nampaknya dahagakan perubahan. BN kelihatan sebagai tidak peka dengan isu fitnah dan sex yang bagi rakyat sudah muak dan jijik. Budaya fitnah dan sex ini dimainkan sejak 20 tahun lepas dan ianya mempalitkan imej buruk bukan saja kepada yang dituduh dan difitnah, tetapi merosakkan imej rakyat dan Negara. Tiada Negara seperti Malaysia yang terpalit dengan imej buruk sedemikian. Tiada kerja lainkah yang patut diberi perhatian bagi menarik sokongan rakyat bagi membangunkan Negara dan rakyat ? Anihnya semua media diperguna dan mengiakan menurut rentak dan kehendak pemerintah. Namun isu fitnah dan sex yang lebih bersifat basi ini tidak memberi selera bagi rakyat menerimanya. Yang mendukung dan menyerang ialah dari musuh politik dan kawan-kawan dulu yang telah berpaling tadah dan orang kenal siapa mereka.


Sebaliknya serangan politik terhadap BN di Sarawak tertumpu kepada Taib Mahmud yang dilihat sudah tidak releven dengan kepimpinan semasa di Sarawak. Sebelum dari penamaan calon ramai beranggapan benar-benar beliau mau menarik diri, rupanya terus bertanding dengan kenyataan akan menyerahkan kepimpinan selepas membuat penyusunan dan kepastian dengan pimpinan baru. Tindak tanduk beliau tidak disenangi rakyat, beliau dituduh sepanjang 30 tahun berkuasa, bukan saja menghimpun harta bagi diri tetapi keluarga yang menampilkan kekayaan melampau. Isu ini digunakan sepenuhnya oleh Pakatan Rakyat, juga menjelaskan kepada mereka Sarawak sebagai sebuah negeri yang kaya, tetapi kekayaan tidak sampai kepada rakyat jelata. Penerangan-penerangan dari pihak Pakatan, mendapat sambutan rakyat. Di mana penerangan dibuat, khususnya dari pihak pimpinan Pakatan Rakyat mendapat sambutan yang luar biasa. Penambahan sokongan merisaukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyebabkan mereka berdua, tidak senang duduk dan terpaksa turun berkali-kali berkempen dan memberi jaminan tentang Taib Mahmud yang akan berundur. Pada kebiasaan bagi Perdana Menteri, jika pun datang, tidak sekerap sedemikian. Ini mencerminkan kebimbangan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kemungkinan luar dugaan berlaku `Tsunami Politik Di Sarawak`. Andainya Sarawak jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, maka gelap masa depan Najib dan Muhyiddin, kerana ianya sebagai tsunami yang akan menenggelamkan pengaruh BN pada pilihanraya ke 13 akan datang.


Bagi menjaminkan kedudukan dikerah segala tenaga, peralatan kerajaan, media dan segala ruang dan kesempatan berkubu bertahan. Dalam pada itu mereka juga tidak sunyi menggunakan isu perkauman dengan melebalkan Pakatan sebagai mereka yang datang dari luar dan bukan tempatan . Mereka datang mau merosakkan budaya dan kehidupan rakyat Sarawak Namun rakyat Sarawak faham dan tidak mudah dikelirukan.

Melihat kepada perubahan yang berlaku, jika pun tidak benar-benar tsunami politik berlaku di Sarawak, sekurang-kurangnya ombak politik akan merubah landskep politik Sarawak. Kita menjangka kerusi BN di Sarawak akan terhakis dan berkurang dan kemungkinan tidak dapat bertahan dengan dua pertiga majoriti. Dengan keputusan yang memperlihatkan makin berkurangnya pengaruh BN di Sarawak sudah cukup merisaukan Najib dan Muhyiddin dan membimbangkan mereka untuk menempuh pilihanraya ke 13.

Sekian.

1 comment:

  1. Salam Dr.

    Lupakan PRN Sarawak seketika.

    Sila ambil perhatian laporan peniaga meludah dalam setiap bungkusan air soya yang dijualnya berhampiran Shell Bandar Baru Bangi.

    SILA SIASAT SEGERA!!!

    MAKLUMAT LANJUT DI SINI.

    http://milosuam.blogspot.com/2011/04/peniaga-meludah-setiap-bungkus-air-soya.html

    ReplyDelete