Kehadirannya kembali di tengah kami disambut sebagai wira ! Beliau satu-satunya calon Pas bertanding pada 16 April lepas atas tiket Pas di Beting Maro yang hampir mencapai kemenangan. Beliau masih memerlukan 391 undi sokongan untuk mencapai kemenangan. Walau bagaimana beliau dapat memperbaiki pencapaian dengan mengurangkan majoriti sejumlah di atas berbanding dengan pilihanraya 2006 kekurangan 890 undi. Keraian istimewa yang diadakan di Kelab Golf Bangi berhampiran Tasik Cempaka, kerana calon Abang Ahmad Kerdee bin Masagos adalah dari kawasan Serdang. Beliau adalah AJK Pemuda Pas Serdang dan juga Ketua Pemuda Jalan 1/3 Bandar Baru Bangi. Sememangnya semasa kempen pilihanraya tempoh hari, tumpuan tenaga yang datang dari Serdang adalah ke Beting Maro. Tempat ini sebenarnya kawasan yang ditentukan bagi pasukan dari Kelantan.
Dalam ucapan keraian yang disampaikan oleh YDP Pas Serdang yang baru Ustaz Shafie Ngah beliau menceritakan masalah-masalah yang dihadapi semasa di sana seperti masalah perhubungan, komunikasi, makanan, peruntukan kewangan dan berdepan dengan pengundi-pengundi yang budaya mereka lain dari Serdang.
Abang Ahmad mengucapkan terima kasih kepada kawan-kawan dari Serdang, khususnya di Bangi yang banyak menyampaikan bantuan tenaga dan kewangan. Beliau memaklumkan sejak awal lagi tawaran untuk menjadi calon beliau menolak, tetapi atas kehendak parti dan Presiden beliau menerimanya. Pilihan terhadap beliau adalah tepat, kerana beliau adalah anak tempatan dan mempunyai keluarga besar di sana. Adik beradik sebelah ibunya seramai 17 orang dan adik beradik sebelah bapanya juga ramai, iaitu 15 orang. Beliau juga mempunyai sepupu seramai 120 orang. Dari segi susur galurnya penduduk tempatan mengenali keturunannya sejak 4 generasi dahulu berasal dari Brunei yang dihantar oleh Sultan Brunei - moyangnya Pak Mos, menjaga kawasan Saribas.
Dari segi komposisi kaum di Beting Maro adalah terdiri dari 91% Melayu, 7% Iban dan selebihnya Cina dan lain-lain. Dari penceritaan Abang Ahmad dan tambahan-tambahan dari Pengerusi saudara Mazwan Johar mencerminkan bahawa budaya politik di Beting Maro secara khusus dan pedalaman di Sarawak masih rendah. Sokongan yang diberi mereka bukan atas dasar kefahaman ideologi tetapi atas sentiment terhadap pimpinan, kemarahan penduduk kerana tanah yang mereka teroka diambil oleh pihak berkuasa dan pilihanraya dianggap sebagai durian runtuh yang memberi peluang bagi mereka mendapat upah dan sumber kewangan. Mereka bukan sangat faham dan mengamalkan suruhan Islam. Mereka juga boleh berubah dengan perubahan semasa. Menurut Abang Ahmad strategi yang dipakai semasa berkempen ialah ceramah dan ziarah dari rumah ke rumah sambil menerangkan kepada mereka pilihan dan cara mengundi. Pada dasarnya dalam perkiraan umum Beting Maro dijangka dapat dimenangi oleh Pas, tetapi beberapa strategi diguna oleh BN terutama pada peringkat akhir seperti tektik beli undi, ugut dan penggunaan Rela menyebabkan kelebihan sepatutnya berpihak kepada Pas dihalang oleh BN secara tidak demokratik. Sebab itu kelahiran `Anak Sulung Pas` di Sarawak tertangguh.
Adun Bangi yang diminta bercakap paling akhir tidak bercakap panjang, kerana ia bersifat anti klimek. Yang ramai mau dengar – kehadiran lebih kurang 70 orang ialah apa yang dikatakan oleh Abang Ahmad. Walau bagaimana Adun membuat rumusan pendapat dan cadangan.
1) Usaha lebih lama dan panjang diperlukan bagi memberi kesedaran penduduk setempat, khususnya mengenai ideologi, perjuangan Islam dan Pas kepada penduduk setempat secara khusus dan penduduk Sarawak secara menyeluruh.
2) Bagi Abang Ahmad jika mau meneruskan perjuangan di sana perlu terus mendampingkan diri dengan masyarakat dan merangka pendekatan yang boleh memperkukuhkan kedudukan.
3) Abang Ahmad layak bertanding bagi kawasan parlimen di mana Beting Maro juga sebahagian daripadanya. Bermaksud Abang Ahmad perlu mempersiapkan diri bertanding pada peringkat Parlimen dan DUN. Sebab itu perlu bekerja keras dari sekarang bagi bertanding di kedua-dua kerusi.
4) Serdang dan Bangi perlu menjadikan Beting Maro dan Parlimen di sana sebagai anak angkat atau kawasan/Dun kembar untuk terus bekerjasama.
5) Tenaga-tenaga dan pekerja-pekerja dari Serdang/Bangi hendaklah berterusan dihantar ke sana bagi meningkatkan tentang pendidikan, dakwah dan kesedaran politik dan sosial.
6) Sebuah Tabung Dana Beting Maro dan juga parlimen perlu diwujudkan bagi keperluan kegiatan
7) Ziarah dan pertukaran lawatan perlu sering diadakan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment