April 15, 2011

Pelajar Diajak Mentransformasi Diri Menjadi `Wirawati Bukit` ?

Teras Jernang, 10 Jamadil Awal = 14 April (Khamis):

Pelajar yang sedang mengikuti Kursus Motivasi bertemakan `Remaja Kerana Dirimu Begitu Berharga (2)` hari ini diajak mentransformasikan diri menjadi `Wirawati Bukit`. Seruan ini dibuat oleh pengacara majlis yang mengaitkan pelajar-pelajar sebagai Wirawati Bukit, kerana Sekolah mereka terletak di pinggir bukit beralamat di Jalan Bukit. Adun Bangi pada tengahari ini dijemput merasmikan Majlis Penutup bertempat di Dewan Masjid As-Salihin. Majlis dikendalikan oleh `Penggerak Belia Tempatan` dengan kerjasama Masjid As-Salihin. Hadir sama ke Majlis ialah saudara Kamaruzzaman bin Abdul Hamid yang mewakili Nazir Masjid, Puan Hamidah bt. Abul Latif yang mewakili Pengetua Sekolah, Puan Fatimah, Ustazah Nor`Aishah, Puan Sakinah bt. Ahmad Akhri selaku Pengarah Program, fasilitator-fasilitator dan pelajar-pelajar. Difahamkan Kursus berjalan selama dua hari dan satu malam dihadiri oleh 85 pelajar perempuan yang kebanyakannya akan menghadapi peperiksaan pada tahun ini. Empat penceramah/pembimbing dijemput mengisi program. Mereka ialah

Puan Halijah Abdan berjudul Kenali Dirimu
Encik Samawi bin Manaf berjudul Wahai Hamba Allah
Cik Nurhaslina Zahari berjudul Dirimu Begitu Berharga
Cik Nur Sabrina bt. Mat Ariff berjudul Meningkatkan Kualiti Diri

Dalam Majlis Perasmian penutup seorang wakil pelajar yang dikenali sebagai Penghuluwati, iaitu Nurain bt. Ghazali dijemput bercakap. Beliau berterima kasih kerana dapat mengikuti program dan banyak manfaat yang didapati. Mereka akan gunakannya sebagai bekalan menghadapi pelajaran dan dalam kehidupan, manakala Cik Nurhaslina bercakap mewakili fasilitator yang mengharapkan apa yang disampaikan oleh mereka memberi panduan dan menjadi benteng dalam menghadapi suasana masyarakat yang mencabar. Beliau berharap kelak akan lahir dari pelajar-pelajar yang mengikuti program mereka yang berjaya dari segi peribadi dan kerjaya.

Mewakili Nazir Masjid al-Salihin saudara Kamaruzzaman menyatakan, bahawa masjid senantiasa membuka ruang bagi dijalankan kegiatan-kegiatan pendidikan dan keilmuan. Menurutnya Masjid telah melengkapkan peralatan sebagaimana dapat dilihat dan beliau berharap perjalanan program berlangsung dengan baik dan sempurna. Puan Hamidah Abdul Latif yang mewakili Pengetua berucap, beliau berterima kasih bagi pihak Sekolah kepada penganjur `Penggerak Belia Tempatan` yang sudi membimbing pelajar-pelajar agar menjadi insan yang berjaya. Hasil dari program pertama pada tahun lepas menyebabkan pihak kami sedia mengambil bahagian dalam program kedua. Kami berharap melalui program ini akan meningkatkan kesedaran pelajar di dalam memperbaiki diri, pelajaran dan syakhsiah mereka.


Adun yang berucap terakhir mengucap tahniah kepada Jawatankuasa `Penggerak Belia Tempatan` yang berjaya mengadakan program bimbingan selama dua hari satu malam. Pihak kita memang prihatin terhadap bidang pendidikan, sebab itu kita tidak ragu-ragu memberi apa jua bantuan dan kemudahan seperti program yang dijalankan pada hari ini.
Menurut Adun proses pendidikan termasuklah apa yang dilalui oleh pelajar dua hari ini adalah merupakan proses transformasi dan meningkatkan kualiti diri pelajar kepada peringkat yang lebih tinggi. Dari diri biasa kepada apa yang disebut anatarnya `Wirawati, Serikandi, Tokoh, Pemimpin, Ilmuan dan sebagainya`. Proses ini bukan boleh dicapai dalam masa yang pendek, tetapi berterusan. Sebab itu belajar di Sekolah pun mengambil masa berpuluh tahun bagi memantapkan diri. Pengajian tidak saja terhenti pada peringkat menengah, bahkan meningkat ke peringkat universiti. Bahkan pendidikan adalah proses berterusan sebagaimana Rasulullah menuntut kita belajar dari buaian hingga ke liang lahad – Belajar sepanjang hayat. Rasulullah juga meminta kita memperbaiki hati kita yang menjadi inti diri. Baginda mengingatkan bahawa – Hati boleh berkarat sebagaimana berkaratnya besi.

Hal ini dihuraikan oleh seorang ualam Besar Melayu, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani (Abad 19M.) dalam kitab-kitab beliau Hidayat as-Salikin dan Sayr as-Salikin bahawa pendidikan adalah ibarat menukar atau mentransformasikan logam besi dari pada tanah, diproses dan dileburkan sehingga didapati besi yang boleh diguna bagi berbagai tujuan. Besi ini perlu dijaga, kalau tidak dia akan berkarat dan rosak. Demikianlah dengan pendidikan diri ia ibarat mentransformkan diri ke tahap-tahap peningkatan kualiti diri kepada insan yang dikenali sebagai khalifah, insan kamil dan insan rabbani. Adun berharap program yang dianjur memberi manfaat dan dapat memberi kesedaran kepada pelajar memperbaiki diri, pelajaran dan syakhsiah.

Mengakhiri majlis penutup Adun dijemput menyampaikan hadiah-hadiah kepada pasukan-pasukan dan individu-individu terpilih dalam menjalani program berkenaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment