April 22, 2011

Sungai Ramal Dapat Sekolah Menengah

Sungai Ramal Luar, 16 Jamadil Awal = 20 April (Rabu):

Sungai Ramal Luar dan Dalam sememangnya wajar mempunyai sebuah Sekolah menengah, memandangkan berlakunya pertambahan penduduk di kedua-dua tempat. Kedua-dua tempat mempunyai Sekolah rendah yang didirikan sejak sebelum merdeka lagi. Sekolah Kebangsaan Sungai Ramal Luar terkenal dengan nama Sekolah Leftenan Adnan dan Sekolah Kebangsaan Sungai Ramal Dalam bersebelahan dengan masjid al-Falah. Kedua-dua Sekolah ini juga tak tertampung murid-murid Sekolah Kebangsaan setempat. Untuk peringkat menengah, murid-murid dari kedua-dua Sekolah terpaksa belajar di Sekolah-sekolah menengah di Bandar Baru Bangi, termasuk Jalan Reko, Sekolah menengah di Kajang dan Dato` Abu Bakar Baginda.


Maklumat kewujudan tapak Sekolah Menengah bersama tapak Klinik Kesihatan di belakang Masjid Haji Mat Saman dan berdekatan Taman Bukit Maringin sejumlah 13.5 ekar (8 ekar untuk Sekolah) memang telah lama diketahui. Usaha agar segera dilakukan bagi mendirikan Sekolah menengah telah dibuat terutama melalui Ketua Kampong Tuan Haji Mohd. Yusof bin Abdul Kadir, tetapi tidak mendapat jawapan atau sekurang-kurangnya tiada maklumat. Pada satu rundingan pernah tapak itu mahu dipohon dijadikan tapak Ma`had Tahfiz di bawah Kerajaan Negeri. Adun Bangi juga pernah mencadangkan kepada Tan Sri Dato` Dr. Yusof Nor yang merupakan alumni Kolej Islam Kelang yang mencari tapak untuk membangun kembali Konsep Kolej Islam asal agar tapak di Sungai Ramal ini dijadikan Kompleks Kolej Islam yang baru (semasa bermesyuarat di JAKIM). Namun cadangan tiada perkembangan lanjut.

Semalam (April 19) Ketua Kg. Sungai Ramal Luar Tuan Haji Mohd Yusof Abdul Kadir datang ke Pejabat Adun membawa aduan penduduk Taman Khoo Kay Boh berhubung dengan kerja-kerja tapak yang mengancam ruang penduduk untuk parking, menyempitkan jalan, jika tiada ruang parking, bahkan membahayakan rumah dan keselamatan jika tanah ditarah mendalam, walaupun dengan janji untuk dibina benteng konkrit. Menurut Ketua Kampong beliau tidak tahu mengenai kerja-kerja permulaan tapak Sekolah menengah itu, kerana tidak dirujuk atau diberitahu. Penduduk Taman Khoo Kay Boh mengetahui tanah berhampiran rumah mereka akan ditarah dari kontrektor kerja-kerja meratakan tanah. Oleh kerana pertemuan di Pejabat Adun sebelah petang, maka Adun berjanji turun pada pagi ini.

Memang bila kami turun pagi ini (20 April) turut sama En. Latib Manan Ketua Kampong Sungai Ramal Dalam, tapak seluas 13.5 ekar sudah dibersihkan dan kerja-kerja tapak sedang dilakukan. Tanah berhampiran perumahan Khoo Kay Boh pun sudah digali, tetapi ditangguh sementara bahagian berdekatan atas permohonan penduduk. Encik Zaid Wakil Penduduk Perumahan Khoo Kay Boh berusaha ke Kementerian Pelajaran Putra Jaya, mohon direzabkan sedikit ruang depan taman, supaya perumahan mereka tidak tergantung dan terancam bila tanah diparas.


Pada dasarnya kami tidak menentang pembinaan Sekolah di sini, bahkan mengalu-ngalukan, kerana ia adalah bersamaan dengan hasrat selama ini diperjuangkan. Cuma Adun dan Ketua Kampong melahirkan kekesalan, maklumat tidak sedikit pun diberitahu oleh Kementerian Kerjaraya/Pelajaran dan juga kontrektor kepada Ketua Kampong dan Adun bahawa mereka akan memulakan kerja-kerja tapak. Bahkan pada kebiasaan sebelum kerja tapak bermula dinaikkan papan kenyataan menandakan apa projek yang akan dibuat dan kontrektor yang terlibat, tetapi tidak ada sebarang papan kenyataan. Nampaknya Kementerian Federal agak angkuh, tidak menghormati Ketua Kampong dan Adun. Federal perlu menghormati negeri, pimpinan dan penduduk setempat. Kini mereka berdepan dengan aduan penduduk. Sesungguhnya banyak lagi aduan dan protes akan dihadapi dari penduduk kelak. Misalnya bila mau membuat jalan masuk-keluar secara rasmi, masalah kesesakan dan lain-lain. Kalau awal-awal hubungan baik diwujudkan dengan Ketua Kampong dan Adun masalah-masalah mendatang mereka boleh jadi orang tengah dalam perundingan dan penyelesaian.


Pada kehadiran ini selain bertemu penduduk yang mengadu dan menyokong permohonan mereka, kami juga berkesempatan menemui Sub Kontrektor Kerja Tanah Mr Lai. Beliau memberi kerjasama yang baik membentang pelan, letak kawasan, struktur tanah , kedudukan jalan masuk dan keluar. Bahkan kami dapat maklum tentang Jurutera, Arkitek Bangunan dan sebagainya. Dari plan ini juga kami mengetahui sebahagian dari 13.5 ekar direservkan untuk Balai Polis.


Kami mengalu-ngalukan pembangunan, lebih-lebih lagi Sekolah Menengah yang amat diperlukan oleh penduduk setempat. Tetapi alangkah elok jika hubungan baik diwujudkan dengan pemimpin setempat, kerana banyak masalah setempat akan timbul dan perlu diatasi. Kalau Ketua Kampong dan Wakil Rakyat setempat tidak dihormati, bagaimana kementerian Kerjaraya/Pelajaran menjambatani kementerian dengan penduduk setempat. Federal perlu faham tentang Federalisme dan hak negeri dan penduduk setempat.


Kematian Penduduk Tertua Di Sungai Ramal Luar

2) Pada pagi ini (Khamis 21 April) Adun dimaklumi oleh Tuan Haji Mohd Yusof Ketua Kampong bahawa penduduk warga mas tertua di Sungai Ramal Luar meninggal dunia. Adun turun ke Sungai Ramal Luar berturut hari menziarah dan bersolat jenazah Al-Marhum Encik Jais Bin Lasat (87) yang meninggal di rumahnya di Lot 8426, Jalan Sentosa, Sungai Ramal Baru, Kajang. Semasa turun padang pada awal Februari (3 - 6 Feb. 2011) lepas Adun menziarah Al-Marhum dan bertanya khabar. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.


Sekian.

No comments:

Post a Comment