April 5, 2011

Sidang Dewan Negeri Selangor Dipadatkan: Berobjektif Dan Bermutu Tinggi

BBB, 01 Jamadil Awwal = 05 April (Selasa):


Sidang Dewan Negeri Selangor (Mesyuarat Pertama `Pembukaan` Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor D.E. Kedua Belas) yang dirasmikan pembukaannya oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan Negeri Selangor pada pagi 28 Mac di Dewan Negeri Selangor sepatutnya berakhir pada petang hari ini (05 April 2011 – Selasa), dengan jumlah hari bersidang selama 7 hari (tidak termasuk Sabtu-Ahad), tetapi perbahasan dapat dikompakkan kepada hanya lima hari (membolehkan Ahli Dewan Ke Sarawak – Pilihanraya Negeri). Bagi menyelesaikan semua agenda, maka setiap hari, selain dari hari pembukaan sidang ditambah masa sehingga jam 6.00 petang setiap hari. Pada 2 hari selepas pembukaan (Selasa Rabu – 29 & 30 Mac) adalah diperuntukkan bagi ahli-ahli Dewan menjunjung Titah dan membahaskan ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan penggolongan dari YAB Dato` Menteri Besar dan Exco-Exco. Hampir semua ahli Dewan berkesempatan membahaskan ucapan.


Adun Bangi berkesempatan membahaskan ucapan pada petang hari kedua (Selasa) dan disambung pada pagi Rabu. Dalam ucapan Adun dalam masa lebih satu jam itu Adun menyentuh sebahagian dari 25 perkara yang dititah oleh DYMM Sultan antaranya mengenai usaha memperkasakan kembali kuasa Tuanku yang telah dihakis oleh pihak Kerajaan Federal melalui sidang Khas 24 Jnuari 2011 dan menganjur agar dinilai kembali praktis Federalisme dan hak-hak negeri, kejayaan ekonomi dan industri di Selangor dan pulangan yang tidak demokratik oleh pihak Federal kepada negeri, penggunaan unsur fitnah yang memburukkan imej Negara sejak 2 dekad yang lepas, lesapnya RM25 bilion saham bumiputera dan yang tinggal hanya 2 bilion yang mencerminkan kegagalan dasar membantu bumiputera oleh kerajaan BN oleh kerana dicemari kronisme, nepotisme dan rasuah. Pembangunan sumber manusia di Selangor dan bantuan Mikro Kredit kepada usahawaan dan petani kecil di Selangor, soal tiadanya kebebasan Media, perlunya kepada pemantapan keluarga, prehatinnya Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor terhadap kebajikan rakyat dengan penyediaan berbagai skim, termasuklah Merakyatkan Ekonomi negeri Selangor, perlunya kesedaran memelihara warisan sejarah, bagaimana memprojekkan imej dan identiti tempatan dan pemeliharaan alam sekitar.


Selama lima hari bersidang sebanyak 49 soalan lisan dapat dijawab oleh YAB Dato` Menteri Besar dan Exco-Exco berkenaan. Soalan-soalan menyentuh berbagai-bagai perkara yang berhubung dengan negeri Selangor. Dua daripada 10 soalan mulut yang dihantar Adun Bangi sempat dijawab, iaitu mengenai Peruntukan yang digunakan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi menghantar kembali pelajar-pelajar negeri Selangor ke Mesir selepas dibawa pulang berikut dari berlakunya revolusi rakyat di Negara tersebut dan soalan berhubung dengan MRT dari Sungai Buloh Ke Kajang.


Sidang pada kali ini meluluskan Enakmen Perbekalan Tambahan 1/2011 sebanyak RM49,300,000, iaitu tambahan dari bajet 2011 yang berjumlah sebanyak RM1,430,000,000. Peruntukan tambahan ini perlu bagi membiayai air percuma mulai April hingga Julai 2011 termasuk pemberian percuma melalui kupon dan peruntukan bagi `contingency`.


Sidang kali ini dianggap mencipta sejarah kerana meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010, kerana tindakan sedemikian tidak dilakukan oleh Negara Malaysia, apa lagi tidak dilakukan oleh negeri-negeri yang lain. Bahkan dalam hal Kebebasan Maklumat ini Malaysia dilihat adalah bersifat regresif dalam mana Malaysia berada pada ranking ke bawah di dunia dari segi Kebebasan Maklumat. Malaysia berada pada ranking ke 142 daripada 200 negara didunia. Senarai kedudukan:

  1. Finland
  2. Iceland
  3. Norway

25. USA

29. UK

142. Malaysia

194 Burma


Malaysia juga bercadang untuk menyekat kebebasan penggunaan internet. Terdapat 10 negara yang anti internet dan 15 negara yang di dalam perhatian termasuklah Malaysia. Sesungguhnya Selangor mencipta sejarah di dalam meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat. Disamping meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat Dewan Negeri juga meluluskan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2011 (Semua Peringkat) dan Enakmen Anggota Pentadbiran Dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2011. Sebanyak 6 usul juga diluluskan oleh Dewan Negeri antaranya usul Memansuhkan ISA, Usul Menggesa PDRM menyiasat pihak yang mengeluarkan akhbar Selangor Terkini secara haram dan Usul Menerima Penyata Jawatankuasa Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor. Adun Bangi turut bangun bercakap lebih kurang 20 minit menyokong Usul meminta pihak PDRM Menyiasat pengeluaran Akhbar Selangor Terkini secara haram. Sementara itu di dalam ucapan Dato` Menteri Besar, Exco-Exco dan Ahli-Ahli Dewan berbagai Soalan tambahan dikemukakan oleh Ahli Dewan termasuklah dari Adun Bangi.


Dalam ucapan penangguhan YAB Dato` Menteri Besar amat berpuashati dengan perjalanan Dewan dan menyifatkan mutu perbahasan berobjektif dan amat bernilai tinggi. Beliau menekankan Dewan mencipta sejarah di dalam meluluskan enakmen-enakmen, terutama Enakmen Kebebasan Maklumat.

Dewan ditangguhkan pada jam 6.00 petang Jumaat 1 April 2011.


Sekian.

No comments:

Post a Comment