April 28, 2011

Syiah: Menerang, Menyerang Atau Berdada Lapang ?

Shah Alam, 23 Jamadil Awal = 27 April (Rabu):


Apabila menerima jemputan menghadiri Seminar Fahaman Syiah berhubung dengan akidah dan Syariah dari Pengarah JAIS, Adun Bangi segera menjawabnya akan hadir. Keinginan hadir bukan kerana ingin tahu tentang Mazhab Syiah yang memang sering diperkatakan, bahkan banyak buku untuk dijadikan rujukan. Yang Adun ingin tahu, bagaimanakah pendekatan diambil dalam seminar berhubung dengan Mazhab Syiah dalam hubungannya dengan Mazhab Ahlu as-Sunnah wal Jamaah. Sejauhmanakah pula pihak penganjur peka terhadap situasi politik ummah dan kedudukan dari segi global.

Dari Ucapan Perasmian oleh S.S. Tuan Haji Marzuki bin Hussin Pengarah JAIS yang juga selaku Setiausaha MAIS memaklumkan Seminar bertujuan memberi penjelasan dan kefahaman tentang Syiah dan fatwa tentang penyelewengan Syiah. Menurut S.S. Seminar sedemikian merupakan julung-julung kali diadakan. Dengan memahami penyelewengan Syiah dapat dipertahankan Ahlu as-Sunnah wal Jamaah yang dari segi fiqhnya menurut Mazhab Shafie dan aqidah menurut mazhab Abu Hasan Ashari. Syiah menjadi popular selepas Revolusi Iran 1979 dan pengaruhnya terpercik sama ke Malaysia tanpa menyedari implikasi Syiah dari segi akidah dan syariah. Pihak Pusat memfatwa penyelewengan Syiah pada tahun 1996 dan disokong fatwa negeri Selangor 1998. Antara kepentingan fatwa bagi membendung pengaruh Syiah dari masuk di kalangan penganut Islam di Malaysia menyebabkan berlaku kecelaruan dan pertentangan dengan hukum dan amalan umat Islam di Malaysia.

Empat kertaskerja dibentangkan, pertama oleh S.S. Datuk Haji Wan Zahidi Bin Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dengan kertas kerjanya bertajuk: Sejarah Perkembangan Syiah Dan Kaitannya Dengan Ahli Bait. Oleh kerana kertasnya menekankan sejarah, maka didapati pendekatannya bersifat sejarah bermula dari asal usul istilah Syiah. Bagi beliau ada mazhab Syiah yang mirip Ahlu as-Sunnah seperti Mazhab Zaidiyah, tetapi yang menyeleweng menurutnya ialah Rafidah. Beliau menganjurkan kerajaan mengadakan sekatan undang-undang agar Syiah Rafidah tidak menular ke Malaysia.

Kertas Kerja dua yang dibentang oleh Ustaz Ahmad Nasim bertajuk Bahaya Syiah Kepada Akidah, Syariah, Akhlak dan Negara. Kerana tajuk sedemikian rupa maka ia mengisi slot-slot yang disediakan sebagai pendekatan, iaitu bahaya kepada akidah, Syariat, akhlak, ummat dan Negara, maka dicari dan diisi dengan bahan-bahan bagi membuktikan bahaya berkenaan. Pendekatannya keras, bukan lagi menerang, tetapi menyerang dan Syiah perlu dijauhi. Maka Iran dan negera-negara Syiah yang lain jangan didekati. Iran seolah-olah bukan Negara Islam dan perlu dijauhi – di musuhi ? lebih dari Negara bukan Islam.

Kertas kerja ketiga dibentangkan oleh Dato` Prof. Madya, Haji Mohd Mokhtar bin Haji Shafie dengan kertasnya yang berjudul Mendepani Syiah Dalam Konteks Siasah Di Negeri Selangor. Kertas berjudul sedemikian amat pentang dan kita harap dapat ditetapkan garis panduan. Kita berharap diberitahu dimana tempat bergiatnya faham Syiah, amalan-amalan dan tindakan yang telah dibuat atau bakal dibuat. Tetapi apa yang diharapkan tidak berlaku dan sikap kerajaan negerii tidak jelas (selain dari fatwa). Cuma dilampirkan tentang anakmen berhubung dengan fatwa.


Kertas terakhir dibentangkan oleh Prof. Madya Dr, Mohd Fauzi Bin Hamat . Beliau membentang kertas kerja berjudul: Perbezaan Fahaman Syiah Imamiah dengan Ahlu as-Sunnah wal Jamaah.. Kertas membuat kupasan secara detail dan membuat rumusan tentang pertentangan Mazhab Syiah Imamiah yang menyeleweng dan hendaklah ditentang. Tindakan perlu diambil terutama pihak JAKIM bagi pihak Kerajaan Malaysia.


Kesimpulan & Rumusan

  1. Umat Islam mewarisi sejarah yang diperturunkan bergenerasi, termasuk konflik antara qabilah. Contoh antara Bani Hashim dan Bani Abdul Muttalib, konlik Ali-Muawiyah (pembelaan terhadap Ali dan keturunan) membawa kepada kelahiran khalifah-khalifah turunan Umayyah dan Abbasiah. Kelahiran aliran-aliran pendekatan keilmuan dan fahaman yang mewariskan kepada generasi. Inilah yang umat warisi.

  1. Untuk kepentingan dalaman, kebenaran pegangan dan kelicinan pentadbiran, kita bersetuju aliran syiah dan berbagai aliran lagi yang merosakkan kesatuan pegangan perlu dibendung dengan anakmen perundangan dan tindakan perlu diambil bagi mempastikan kesatuan dan kesejahteraan.

  1. Kelompok agama ialah orang yang amat prihatin terhadap kesucian agama. Terkadang mengambil pendekatan menyerang. Tetapi dalam hubungan dengan Syiah perlu dihadkan kepada batasan dalam Negara. Perlu juga berlapang dada. Banyak implikasi jika serangan dibuat pada peringkat antarabangsa dan global. Jika tindakan negatif diambil, kita kerugian dari segi ekonomi, kepentingan umat dan hubungan antarabangsa. Kita takut kita terperangkap dalam percaturan politik Barat-Amerika yang mau memecahbelahkan umat Islam dan menguasai ekonomi Negara-negara Islam.

  1. Elak dari bermusuh sesama Negara Islam. Jika kita memusuhi negera yang mendukung Syiah seperti Iran, Iraq dan Pakistan, dan memusuhi Arab Saudi misalnya kerana Wahabinya, maka bagaimana kita mau tegakkan kesatuan umat Islam pada peringkat global. Kita perlu berlapang dada dan tasamuh. Kita kira inilah sikap yang diambil oleh OIC, walaupun organisasi ini dilihat lemah, tetapi kita jangan memencilkan diri atau dipencilkan.

  1. Selalu bersifat positif. Carilah titik persamaan dan jangan mempertajamkan perbezaan. Adalah menjadi harapan tertinggi mau melihat kesatuan umat, kesatuan pendekatan dan tindakan. Tetapi harapan tidak semudah tindakan dan inilah menjadi cabaran umat kini dan masa hadapan. Kita seharusnya sama berada di atas landasan ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment