September 30, 2011

Meraikan Bakal Haji Kawasan Serdang & Dun Bangi

Dataran Usahawan, BBB, 30 Syawal = 28 September (Rabu):

Sebagai satu tradisi, pada setiap tahun bila tiba musim bakal-bakal Haji bertolak ke Tanah Suci, maka Pejabat Adun Bangi dengan kerjasama Pas Kawasan mengadakan Majlis Meraikan Bakal-Bakal Haji.

Demikianlah pada malam ini Majlis Meraikan Bakal-Bakal Haji diadakan di Dataran Usahawan berhampiran dengan Pejabat Adun Bangi yang dikelolakan oleh Lajnah Kebajikan yang diketuai Tuan Haji Rushdi dan AJKnya. Seramai 61 orang Bakal Haji dijemput dan seramai 50 orang dari mereka dapat menghadiri diri. Majlis ringkas diadakan pada jam 9.30 malam dengan pembukaan Al-Fatihah dan doa dan para bakal Haji dijemput menikmati jamuan sate, mee dan buah-buahan serta minuman.

Selepas jamuan acara ringkas diadakan dengan saudara Tuan Haji Mazwan dijemput saudara Harun sebagai Pengerusi menyampaikan ucapan mewakili kawasan. Tuan Haji Mazwan berharap para jamaah menumpukan perhatian pada menyempurnakan ibadat Haji. Beliau juga menceritakan pengalaman semasa beliau menunaikan Haji pada dua tahun yang lepas. Beliau berharap Bakal Haji bersabar dengan ujian-ujian bakal dihadapi.

Manakala Adun Bangi ketika berucap mengucap tahniah kepada Bakal-Bakal Haji yang terpilih menunaikan Haji pada tahun ini. Menurutnya, `Mungkin bagi sebahagian dari Bakal Haji merupakan peluang amalan sekali seumur hidup. Sebab itu lakukanlah amalan dengan sesumpurna mungkin.

Menurut Adun, semua Bakal Haji telah cukup bersedia, kerana sebelum menunaikan Haji setiap Bakal Haji telah mengikuti kursus selama 17 minggu secara asas dan mengikuti lagi kursus intensif dan padat dan ada yang mengikuti kursus-kursus yang lain. Kata Adun, Bakal-Bakal Haji adalah tetamu Allah dan Duta dari kawasan Serdang dan Dun Bangi, kami mengharap kata Adun, tuan-tuan bertamu dengan penuh kepatuhan kepada perintah Allah. Adun mengingatkan bahawa penerbangan pertama bagi Bakal Haji, mulai pagi esok dan berterusan sehingga 11.12,2011. Beliau berharap dalam masa ini tidak dijalankan pilihanraya. Jika dibuat juga, menandakan tindakan tidak demokratik dilakukan. Adun Bangi, memohon dari Bakal Haji mendoakan bagi kejayaan dan kemenangan kita pada pilihanraya yang akan datang. Adun akhiri ucapan dengan mendoakan kesihatan kepada semua Bakal Haji, pergi dengan sihat dan kembali dengan sihat dan mendapat Haji Mabrur – Insya Allah.

Selepas penyampaian ucapan Adun Bangi dan isteri Puan Hajjah Mu`minah menyampaikan cenderahati kepada setiap Bakal Haji. Tuan Haji Mazwan mengiringi Adun dan Puan Hjjah Mu`minah sama-sama menyampaikan cenderahati sebagai penghormatan dan keraian.

Selepas penyampaian cendera mata pengambilan gambar dilakukan bagi peserta perempuan dan diikuti peserta lelaki.

Majlis bersurai jam 10.30 malam.

September 29, 2011

Bila MPKj Ambilalih Pengurusan Sisa Pepejal, Pastikan Tidak Mencetuskan Masalah

MPKj, Kajang, 30 Syawal =28 September (Rabu):

Mesyuarat Penuh MPKj hari ini diberitahu bahawa pihak MPKj akan mengambilalih tugas pengurusan sisa pepejal dari Alam Flora mulai 16 Oktober 2011. Di samping mengalu-ngalukan pengambilan alih dan pemecahan monopoli Alam Flora dalam mengendalikan sisa pepejal (pengurusan sampah) selama ini, ada kebimbangan di kalangan ahli-ahli MPKj yang bermesyuarat hari ini, bahawa di dalam masa transisi berbagai-bagai kemungkinan berlaku seperti ketidakcekapan pihak syarikat yang baru dipilih, kekurangan kakitangan, kekurangan peralatan dan mungkin disabotaj oleh pihak tertentu yang memberi implikasi kepada masyarakat dan politik semasa.

Oleh itu Ahli MPKj menggesa agar ditubuhkan satu Task Forces bagi memonitor dan memastikan pengambilan alih dan pengurusan sisal pepejal berjalan dengan licin, bahkan sepatutnya lebih baik daripada sebelumnya. Senarai kontrektor yang bakal dilantik hendaklah dikenalpasti agar tidak terlibat dengan sebarang kontrektor yang mempunyai rekod bermasalah dan disenarai hitam. Untuk permulaan tahap pengambilanalihan melibatkan 30% daripada kawasan operasi Alam Flora di bawah MPKj. Kawasan-kawasan yang terlibat ialah: Saujana Impian, Jalan Cheras, Kajang, Country Height dan Sungai Chua. Ini melibatkan kos operasi RM700,000 selama ini dari keseluruhan operasi bulanan sebanyak RM3.1 juta.

Dari segi sejarah pengurusan sisa pepejal secara swasta kepada Syarikat Alam Flora Sdn. Bhd (AFSB) adalah bermula pada tahun 1998 apabila termeterai satu perjanjian interim di antara MPKj bersama AFSB pada 30 Jun 1998. Berikutnya pada 20 April 2011, kerajaan negeri telah memutuskan supaya kerja pembersihan awam diambil alih dan diuruskan oleh PBT. Surat bertarikh 9hb.September 2011, AFSB memaklumkan bahawa pihaknya akan menyerahkan semula kerja-kerja kutipan dan pembersihan awam di MPKj berkuatkuasa pada 15 Oktober 2011.

Dilihat dari segi operasi mengendalikan sisa pepejal (sampah) di bawah MPKj bagi tahun 2011 – (Januari hingga pertengahan September 2011) adalah sebagaimana berikut:

Bulan

Jumlah Ton Sisa Pepejal Yang Diurus

Januari

14,585.35

Februari

12,624.16

Mac

14,432.59

April

14,536.15

Mei

14,454.07

Jun

14,080.65

Julai

15,790.94

Ogos

16,492.66

September

7,145.51


Dari segi pengurusan sisa pepejal ini pihak MPKj menghadapi masalah-masalah:

a) Ketiadaan tapak pelupusan sampah di MPKj.

b) Masalah operasi pelupusan di Pajam yang adakalanya ditutup tanpa sebarang notis

c) Pertambahan jumlah sisa pepejal daripada MPKj.

Sebagai penutup di dalam tempoh peralihan ini pihak MPKj akan mengambil tindakan yang lebih tegas di mana kegagalan kontraktor melaksanakan tugas akan membolehkan kontrak mereka ditamatkan dan kawasan kerja mereka diserahkan kepada kontraktor yang lain. Bagi memantapkan pengurusan pertambahan pegawai dan kakitangan akan dilakukan.

Sekian.

September 28, 2011

Berhariraya & Masalah Denggi

Bangi, 26 &27 Syawal = 24 & 25 September (Sabtu & Ahad):

Berhariraya biasanya dikaitkan dengan kegembiraan, tetapi padah dan malang boleh berlaku tanpa kira waktu, misalnya kecuaian dari menjaga kebersihan boleh mengundang padah dan malang. Demikianlah dalam masa umat Islam sebok merayakan Idul Fitri ada pula yang diserang denggi.

Demikianlah pada hujung minggu ini Adun hadir ke dua tempat yang dikaitkan dengan kes denggi.

Pertama: Menghadiri Hari Terbuka Hariraya Vista Seri Putra (VSP 2011), pada malam 24 September bertempat di Dewan Serbaguna Vista Putera Apartment. Bangunan Apartment di sini yang terdiri dari 2 bangunan tinggi dan 10 bangunan 4 tingkat adalah antara bangunan yang awal disiapkan apabila Bandar Seri Putera dibangunkan (2001). Kesemuanya mengandungi 700 unit dengan penghuni seramai 2,000 orang. Hadir ke majlis berkenaan Tuan Haji Ahmad Yusof Pengerusi Persatuan Penduduk Induk, Pengerusi Persatuan Penduduk Vista Apartment Kapten Rahim dan En. Noriz Wakil dari pihak Pemaju Bangi Height. Bersama sambutan raya dimaklumkan terdapat kes denggi di apartment berkenaan. Lantaran itu dalam Majlis Hari Terbuka Sambutan Raya pada malam ini dijemput sama Pegawai Kesihatan Hulu Langat, iaitu En. Rusli bin Hassan untuk memberi penerangan berkenaan bahaya denggi dan cara mencegahnya. Beliau mengambil masa lebih kurang setengah jam menerangkan mengenai bahaya, cara-cara merebak dan mencegahnya dengan membasmikan segala bekas dan tempat yang merebakkan denggi. Adun berckap ringkas mengucap terima kasih di atas jemputan dan mengucapkan selamat Hariraya.

Sementara itu pada pagi Ahad 25 September, Adun ke Kampong Bangi menyertai gotong royong membasmi denggi di kampong tersebut. Ini ialah kerana berlakunya kes denggi di kampong tersebut. Hadir ke Balai Raya tempat taklimat lebih kurang 50 orang, Antara mereka selain dari Adun Bangi, ialah Tuan Haji Zakaria Ketua Kampong Bangi, En. Zul Ketua kepimpinan setempat, Encik Rusli bin Hassan Pegawai Kesihatan dari Daerah Hulu Langat, turut hadir Bekas Pesakit Denggi yang baru sembuh ialah Encik Husin bin Kayyum.

Penerangan disampaikan oleh Encik Rusli. Beliau merujuk contoh pengalaman kepada En. Husin Kayum yang pernah mengalami denggi. Adun juga bercakap ringkas berterima kasih kepada AJK yang menjemput Adun. Adun bercakap tentang pentingnya kesihatan. Antara faktor yang memberi sumbangan kepada kesihatan ialah kebersihan. Islam amat mementingkan kebersihan, kerana kebersihan membawa kepada kesihatan. Berlakunya denggi di tempat kita barangkali ada tempat-tempat tidak bersih yang mengundang nyamuk aedis bertelur. Saya melihat tanah di sepanjang jalan Kampong Bangi ini begitu subur, kerana dulu merupakan kawasan yang sering banjir, sebab itu tanahnya subur dan kawasan ditumbuhi semak dan lalang. Saya percaya antara cara membersih kawasan di sini ialah dengan menanam pokok-pokok buah-buahan dan bertani. Dengan demikian tanah bersih, ada hasil pertanian dan membentuk warga yang sihat.

Selepas menikmati sarapan mereka yang hadir dipecahkan kepada empat kumpulan,

Iaitu pasukan yang memberi tumpuan memungut tin-tin dan bekas-bekas yang boleh membiakkan nyamuk, pasukan yang memungut sampah, memeriksa parit dan longkang dan memotong dahan. Gotong royong berterusan sehingga tengahari – jam 12.00.

Sekian.

September 27, 2011

Santai Merdeka, Relevansi Pendekatan: Satu Kritikan

Bandar Baru Bangi, 26 Syawal = 24 September (Sabtu):

Agak menjadi tandatanya Adun, apakah dimaksudkan dengan `Santai Merdeka`, walaupun Adun dilibatkan di dalam iklan Blog Adun, agaknya sebagai perasmi pembuka bicara. Jangkaan Adun perkara yang akan dibicarakan mengenai kontroversi sejarah dan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan tanahair sebagaimana dicetuskan oleh saudara Mat Sabu. Walau bagaimana Adun sampai lewat ke Majlis Santai Merdeka kerana menghadiri ke majlis-majlis lain terlebih dahulu. Majlis Santai Merdeka yang berlangsung di Up Town mulai jam 9.30 malam itu hanya disertai satu panel iaitu Bob Lokman, Tiada saudari YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang yang sepatutnya bersama sebagai ahli panel, manakala Ustaz Ridhuan Mohd Nor bertindak sebagai moderator dan penyoal. Semasa bersama audien dihadapan pentas Adun sempat menangkap perkara-perkara yang dibincangkan yang kelihatan tidak selari dan masing-masing bercakap tentang bidang yang dikuasai masing-masing. Ustaz Ridhuan Mohd. Nor lebih tersorot kepada peranan ulama dari peringkat awal dalam memperjuangkan kemerdekaan tanahair berdasarkan buku yang ditulisnya mengenai tokoh-tokoh ulama, tanpa memberi ruang kepada pejuang-pejuang kiri dan nasionalis yang tidak dapat dinafikan mereka juga mempunyai saham dalam perjuangan kemerdekaan tanahair.

Manakala Bob Lokman lebih bercakap tentang pengalaman seni perfilaman dan nyanyian yang pernah dilibatinya, walaupun Ustaz Ridhuan cuba menariknya memperkatakan tentang perjuangan kemerdekaan, tetapi tidak berjaya, kerana Bob Lokman lebih sebati dengan dunia perfileman dan nyanyian pernah dilibatinya, tapi kini beliau cuba mencanggahinya dengan elemen dakwah. Untuk mengatakan Santai Merdeka sebagai satu pembicaraan tentang kemerdekaan adalah tidak tepat dan untuk memperkatakannya sebagai Wacana Seni perfileman dan nyanyian juga tidak tepat. Masing-masing membawa arah yang berlainan dengan kemampuan masing-masing. Kiranya ada satu dua panel yang lain mungkin arah Santai Merdeka lebih berkelainan dan terarah bawaannya.

Apakah Santai Merdeka, satu majlis yang gagal ? Mungkin tidak. Kekuatan dan kejayaan majlis pada malam itu adalah dari kekuatan aura Bob Lokman yang memang banyak publisiti mengenai beliau yang lantang berbicara mengenai seni dan dakwah dan beliau senang diterima oleh Pas sebagai tokoh dan asset bagi Pas. Bob Lokman memang petah dan pandai berbicara mengenai seni perfileman dan nyanyian dan beliau mampu menjalinkan percakapan dengan keilmuan Islam dan fasih menyelitkan hujah dengan ayat Qur`an dan Hadith. Adun sebenarnya pertama kali mendengarnya bercakap dan tertarik dengan kedalaman maklumat dalam bidang dikuasainya. Dia nampaknya mendalami ilmu keagaman.

Selain dari itu kekuatan Majlis kerana Bon Lokman sekali sekala menyanyi, lebih-lebih lagi Majlis mempunyai Pasukan Muzik yang sedikit mempunyaii nama (Man`s Music), dan perbincangan dihentikan sekali sekala dengan diberi ruang kepada pasukan muzik yang hanya dua orang itu (guitaris dan gendangis) mendendangkan lagu latar dan bersenikata dari lagu-lagu Ramli Sharif, Sharifah Aini, P. Ramli, M. Nasir dan lain-lain. Mutu nyanyian tidaklah sebaik mana, tetapi aura Bob Lokman dan nyanyian yang disertakan menjadikan majlis hidup dan audien kebanyakan kekal menunggu dan pertambahan yang baru.

Sebagai mengambil hati Adun yang sepatutnya datang dari awal dan memberi kata-kata aluan, maka dipertengahan majlis Adun dijemput memberi ucapan santai. Kerana menilai majlis lebih terarah kepada membicarakan tentang seni dan kurang terarah kepada soal kemerdekaan, maka Adun membicarakan tentang seni kelengkapan keperluan dalam hidup dan boleh didekatinya dengan jiwa kemanusiaan dan keislaman.

Walau bagaimana eksperimen Majlis Santai Merdeka dapat mengisi masa dengan sesuatu yang berfaedah. Audien tidak saja datang membeli belah, tetapi dibekalkan juga sedikt sebanyak dengan unsur dakwah. Pada masa hadapan majlis sedemikian perlu diperkemas. Pembicaranya perlu ditambah dan persembahan juga perlu dipertingkatkan secara kreatif. Walaupun masa Up Town melebihi jam 12.00 malam sewajarnya majlis tidak melebihi dari masa ini.

Sekian.

September 26, 2011

Daya Tarikan: Ikan Patin, Panggang Kambing Dan Sop Lembu

BBB, 27 Syawal = 25 September (Ahad):

Anekdot

Pada hujung-hujung minggu bulan Syawal – Ahad dan Sabtu jemputan berhariraya memang banyak, bahkan berganda. Jemputan berkenaan sama ada dari masjid, surau, persatuan penduduk, pejabat atau orang perseorangan. Makin penghujung bulan, makin bertindihlah jemputan, ditambah pula jemputan kahwin juga turut dilakukan pada bulan Syawal.

Demikianlah Sabtu & Ahad (24 & 25) bagi bulan Syawal bagi kali ini Adun menerima sehingga 15 jemptan sehari. Seboleh-bolehnya Adun mau tunaikan semua jemputan berkenaan. Masalahnya dengan jumlah jemputan sedemikian tidak mampu dari segi kesempatan masa untuk dihadiri, apalagi sebahagian besar dari jemputan berkenaan mempunyai masa terhad. Contoh jemputan kahwin antara jam 12.00-4.00 petang. Paling banyak yang dapat dihadiri dari pagi hingga ke malam 12 jemputan. Hadir meraikan, makan tentu tidak mampu, kecuali menjamah sedikit-sedikit. Dengan jemputan yang banyak terpaksa buat pilihan dan tidak dapat hadir sebahagain. Tidak hadir dilihat faktor tempat misalnya jauh, luar kawasan dan sebagainya.

Bagi jemputan raya yang melibatkan makan tengahari dan malam, ada sahabat-sahabat dari istitusi surau dan persatuan yang tau Adun mempunai banyak jemputan, sengaja memancing minat dan selera Adun dengan menu-menu istimewa agar menghadiri jemputan. Misalnya pada Sabtu malam seorang sahabat dari sebuah persatuan penduduk selain dari memberi kad jemputan formal untuk menghadiri jamuan raya di padang di kawasan Persatuan Penduduk mengingatkan Adun,

``Pada malam jemputan ini ada menu istimewa, masak IKAN PATIN diorder khas dari Temerloh, Pahang !``, `YB hadirlah,` tambah sahabat itu.

Surau dikenali dengan nama Surau al-Kauthar yang AJK dari persatuan penduduk ahli Surau berkenaan mempunyai teman rapat dari Temerloh yang tinggal di sini yang boleh order Ikan Patin dari penjual di Temerloh. Jamuan makan berlauk Ikan Patin menu istimewa ini sudah banyak kali Adun hadir ke surau berkenaan. Rasanya memang lazat ditambah dengan cara masakan yang dilakukan oleh tukang masak istimewa di surau. Mereka tahu dengan kesukaan Adun lauk Ikan Patin. Tentu orang lain juga suka dengan jenis ikan terkenal dari Pahang itu. Sebab itu diumpannya Adun dengan menu istimewa itu.

Manakala pada keesokan harinya (25 April), sebuah surau lagi yang dikenali dengan Surau Ar-Rahim, pengerusinya menjemput Adun berhariraya pada tengaharinya. Selain dari memberi jemputan bertulis, bagi memancing kehadiran Adun, diingatkan kepada Adun,
``Kali ini kita juga menyediakan Life Panggang Kambing,`` ``YB hadirlah,`` pancing minat Adun, kata sahabat yang menjemput.

Surau ini memang semacam tradisi menyediakan menu `life Panggang Kambing` yang dipanggang di pinggir majlis jamuan raya diadakan. Adun yang hadir ke majlis raya yang lepas memang didapati menyediakan menu panggang kambing.

Memang pada malam 24 Syawal jemputan persatuan penduduk Adun hadir. Malangnya tiba sedikit lewat. Sedang kebanyakan yang hadir sudah menyelesaikan jamuan. Kehadiran Adun dihidang jamuan khas masakan Ikan Patin dalam satu bekas istimewa !

Tapi oleh kerana Adun makan berseorangan, sedang hadirin keliling meja memerhati Adun makan, Untuk tidak menunjukkan gelojoh, Adun terpaksa menghadkan makan ikan yang dihidangkan kepada separuh sahaja, walaupun mampu untuk menghabiskan kesemua! Meskipun sahabat-sahabat keliling meja menggalakkan, ``Makan sungguh-sungguh YB !`` dan yang lain berkata, ``Habiskan YB!`

Walau macam mana Adun mempunyai alasan yang releven untuk menutup keghairahan Adun makan Ikan Patin. Apabila Adun dijemput berucapa ringkas, Adun menyatakan,
``Tuan-tuan dan puan-puan, kehadiran saya pada malam ini adalah juga bertujuan melihat court yang baru disiapkan dari peruntukan Adun yang fungsinya tiga dalam satu, iaitu digunakan untuk badminton, sepak takraw dan bola tampar.`` Adun menambah, ``Malangnya saya difahamkan court yang diatasnya diadakan jamuan pada malam ini, begitu mendapat sambutan, terutama dari anak-anak muda di sini, sehingga hasrat orang tua untuk sama bermain, kurang mendapat kesempatan.`` Tambah Adun, ``Tapi wajarlah bagi kita beri kesempatan yang lebih kepada anak-anak kita bermain. Bagi kita orang tua bolehlah berjogging keliling padang yang keliling padang berkenaan juga telah turut diperbaiki.`` Berhubung dengan permohonan memasang api limpah yang diminta pihak persatuan, kita cuba membuat permohonan (pada permulaan tiba Adun diaju dengan permohonan ini yang menggelabahkan Adun!).

Sebelum memohon diri, sahabat dari AJK Surau al-Kauthar yang turut hadir, memancing lagi Adun. ``YB, malam esok kita di Surau al-Kauthar mengadakan jamuan raya, dua ekor lembu disembelih pagi esok. Meskipun jemputan spontan, harap YB hadir malam esok! Adun yang mulai bergerak ke kenderaan bersama pengiring Adun menjawab, ``Insya Allah`.

Pada tengahari keesokan hari, selepas menunaikan jemputan tempat-tempat lain, Adun bergerak ke Surau Ar-Rahim di Seksyen 8 Tambahan dalam gambaran di kepala akan menikmati `Panggang Kambing` istimewa di situ.` Malangnya ketibaan kami dikira lewat untuk peluang makan Panggang Kambing, namun menu-menu lain masih banyak.

Dengan tidak rasa kecewa, Adun dijemput berucap. Adun berucap secara ringkas, memuji penduduk yang sentiasa kerjasama dan sepakat mengadakan berbagai-bagai kegiatan, Termasuklah mengadakan sambutan hari raya. Pada kali ini semacam pecah tradisi. Biasanya sambutan di sini diadakan pada malam hari, tapi kini siang hari. Adun juga memuji tentang aktiviti dan produktiviti penduduk yang rata-rata kalangan muda.``Satu rekod yang belum dipecahkan oleh tempat lain, khususnya di Bangi, bahawa pembinaan surau di sini dapat disiapkan dalam tempoh sebulan sahaja menjelang Ramadhan beberapa tahun lalu (Taman di sini relatifnya baru), sedangkan untuk menyiapkan sebuah surau biasanya memakan masa bertahun-tahun lamanya (lebih disebabkan masalah dana), bahkan dari pengalaman Adun ada surau terpaksa diadakan dua kali perasmian tapak !

YDP Persatuan penduduk menambah, `YB, penduduk di sini juga begitu produktif, Dulu duit raya untuk anak-anak sebanyak 150 sampul, tapi hari ini bertambah menjadi 200 sampul!``
Adun menambah, ``Produktiviti penduduk di sini bukan saja dari segi pertambahan keturunan, tetapi bagi semua kegiatan. Al-Hamdulillah. Pengakhiran kunjungan di sini, ialah berjamaah zohor di surau sederhana besar yang memecahkan rekod itu.

Pada sebelah petang 25 Syawal itu, setelah menunaikan berbagai jemputan. Adun teringat pada jemputan sahabat dari Surau Al-Kauthar pada malam tadi – Jamuan raya di Surau Al-Kauthar dengan dua ekor lembu !`` Dalam fikiran Adun, ``Kalau aku pergi malam ini, nampak sangat nak makan !``, tapi terfikir di sana ramai sahabat kenalan isteri yang tentu sama memasak lembu, sedang aku ada sedikit perselesihan kecil dengan isteri. Ini adalah peluang untuk memulihkan kemesraan kami. Lantas Adun mencadangkan untuk ke Jamuan di Surau Al-Kauthar. Al-Hamdulillah mujur isteri menerima cadangan. Jadi pada malam itu, tanpa menghiraukan anggapan kerana nak makan, kami berdua ke sana pada malam itu dan sama menikmati jamuan berbagai masakan dari daging lembu dan terlebih istimewa Sop Gearboxnya. Surau ini memang terkenal suka berjamu, kerana para jamaah suka menderma untuk berjamu. Masakan ikan patin, lauk kambing dan lembu memang menjadi jamuan biasa. Adun tertarik hadir ke sini sebagaimana diperkatakan, terutama menu lauk Ikan Patinnya!

Dalam percakapan guraun dalam masa makan bersama AJK surau Adun menyebutkan bahawa,
``Semua AJK Surau Al-Kauthar ini sihat-sihat, tubuh sasa dan gempal lebih-lebih lagi setiausaha dan Bendahari. Adun berharap tidak mendatangkan masalah kesihatan kepada AJK yang boleh memasalahkan pula pada jamaah." Gurauan Adun disambut dengan ketawa oleh jamaah keliling Adun. Walau macam manapun, kehadiran Adun ke Surau Al-Kauthar menepati tujuan serampang dua mata. Menikmati jamuan dan memulihkan kasih sayang.

Walau apa pun kesemua episod yang dipaparkan adalah kemesraan-kemesraan yang dilalui Adun dalam kegiatan harian. Bersyukur kepada Allah di atas nikmat dan kemesraan yang diberi.

Sekian.

September 25, 2011

Merasmikan Pembukaan 2 Bloks Greenvilla Apartment Di Sungai Tangkas

Sungai Tangkas, 26 Syawal = 24 September (Sabtu):

Antara kesibukan menunaikan jemputan beraya, maka salah satu agenda yang Adun anggap penting dan bersejarah pada hari ini ialah Perasmian Pembukaan Greenvilla Apartment yang terletak di kawasan Taman Universiti di Sungai Tangkas. Kawasan ini sedang pesat membangun, antaranya bagi mengisi keperluan rumah bagi beberapa institusi pendidikan penting di kawasan ini seperti, German Malaysian Institut, UKM, Tweentech dan lain-lain. Lantaran itu lahir projek-projek perumahan di sini seperti Alam Sari, Kajang Metro dan antara projek perumahan terbaru ialah Greenvilla Apartment- iaitu dua bloks yang baru dihuni mulai April 2011. Perluasan kawasan perumahan di sini akan menyentuh ke Taman Teknologi di Semenyih dan juga projek perumahan Kajang Metro di Kajang Utama.

Pada pagi ini Adun dijemput oleh Persatuan Penduduk Greenvilla Apartment bagi merasmikan 2 bloks berkenaan. Kehadiran Adun disambut oleh Jawatankuasa Penduduk En. Hisham bin Mulot (Pengerusi), saudara Faizal bin Abdullah (Setiausaha), En. Mohd Rashid (Pengerusi Surau) dan lain-lain.

Adun difahamkan oleh En. Hisham bahawa Projek Greenvilla ini adalah di bawah Pemaju BMG. Setiap bloks (A & B) terdiri daripada 120 x 2 unit. Perumahan ini dianggap perumahan kos sederhana. Setiap unit berharga antara RM100,000 hingga RM130,000 bergantung kepada keluasan lantai dan level. Setakat ini 80% dari unit-unit apartment di sini sudah dihuni. Lebih dari 95% penduduk orang Melayu dan golongan muda yang rata-rata baru mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak-anak yang masih kecil.

Majlis berjalan secara ringkas dan amat bermakna. Setiba Adun Pengerusi Majlis menjemput En. Hisham menyampaikan ucapan alu-aluan dan menyampaikan info berhubung dengan Apartment dan penduduk dan berterima kasih di atas kehadiran Adun. En. Hisham juga memaklumkan bahawa Apartment berkenaan mempunyai sebuah surau yang agak selesa dan mulai digunakan sejak awal Ramadhan baru-baru ini. En. Hisham juga memaklumkan keperluan-keperluan surau yang diharap mendapat kerjasama dari pihak Adun. Secara bergurau saudara Hisham berkata,

``Oleh kerana bangunan di sini dinamakan Greenvilla, maka kami akan berusaha menghijau penduduk dan kawasan di sini,`` disambut ketawa hadirin ramai-ramai.

Dalam majlis perasmian ini, Adun mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan hadir ke dalam kawasan perumahan di sini bagi kali pertama. Adun memuji penduduk yang mempunyai kesedaran tinggi akan perlunya ada persatuan. Dengan adanya persatuan dapat diberi perhatian terhadap sebarang kepentingan penduduk. Contoh melengkapkan surau sehingga dapat digunakan pada awal Ramadhan baru-baru ini.

Dengan adanya persatuan dapat diberi perhatian pada kerosakan bangunan yang dapat diangkat kepada pihak pemaju dalam tempoh yang masih boleh dibuat aduan. Penduduk juga boleh memohon padang dan alat permainan untuk kanak-kanak, penghijauan kawasan yang relatifnya baru. Lebih dari itu mengisi surau dengan pengajian-pengajian bagi anak-anak dan juga orang dewasa. Persatuan boleh memikirkan berbagai-bagai kegiatan kemasyarakatan seperti sambutan raya yang juga disertakan pada hari ini. Adun sedia memberi kerjasama dan mempertimbangkan sebarang cadangan dan permohonan yang wajar.

Selepas ucapan perasmian Adun ke plak bagi menandatangani plak sebagai perasmian diikuti jamuan raya, penyampaian duit raya kepada anak-anak dan akhirnya melawat surau.

Sekian.

September 24, 2011

Simbolisme Keberangkatan Pulang DYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Dari Lawatan Ke Selangor Negeri Maju

Shah Alam, 25 Syawal = 23 September 2011 (Jumaat):

DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibn al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah yang melawat secara rasmi ke negeri Selangor bersama Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Raja Permaisuri Agung Tuanku Nur Zahirah sejak 21 September pagi ini berangkat ke Dataran Dewan Negeri, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam bagi Istiadat Keberangkatan Balik Baginda dari Negeri Selangor Darul Ehsan. DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan Selangor berangkat ke Majlis Istiadat meraikan Keberangkatan Pulang DYMM Seri Paduka Baginda dan Permaisuri..

Bagi menyertai acara Istiadat di atas Adun tiba lebih awal sedikit dari acara yang bermula jam 8.30 pagi itu. Mereka yang menyertai Istiadat di atas ialah Menteri Besar Selangor, Exco-Exco, Adun-Adun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai-Pegawai Daerah, Dato` Bandar, YDP-YDP Majlis Perbandaran, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan Pejabat SUK.

Dari pemerhatian Adun majlis amat ringkas (Majlis sebenar dari jam 9.00-10.00 pagi) Tanpa Kata, kecuali doa, tapi Penuh Simbolisme. Keberangkatan DYMM Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dari segi simbolisme adalah kehadiran Kekuasaan dan Kedaulatan Puncak Negara ke satu bahagian dari Negara Malaysia – Selangor. Simbolisme lengkap bagi pemerintahan pada puncak seharusnya disertai Perdana Menteri atau Wakil, tetapi tiada Perdana Menteri. Ini simbolisme bahawa Negeri Selangor bukan berada di bawah kekuasaan politik Perdana Menteri yang mengetuai Kerajaan Federal. Ini bererti Perdana Menteri tidak lengkap menguasai politik Negara Malaysia. Beliau bukan saja tidak menguasai Selangor, tetapi beberapa negeri yang lain.

Dari segi simbolisme Selangor sebagai sebuah negeri yang diperintah Pakatan Rakyat mempunyai keunggulan tersendiri. Simbolisme Kekuasaan Tertinggi negeri ialah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong diraikan secara istiadat dan protokol selepas ketibaan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor dan kemudian sambutan Istiadat ketibaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dengan perbarisan hormat. Puncaknya ialah Istiadat menyambut ketibaan DYMM Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke pekarangan yang penuh dengan simbolisme . Pekarangan berhadapan dengan Dewan Negeri yang dari Dewan Negeri ini Dewan Bersidang merangkakan perundanagn, pemerintahan dan peruntukan. Bersebelahan ialah Bangunan Pentadbiran Kerajaan negeri, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang diketuai oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor, Exco-Exco, pentadbir-pentadbir dan pegawai-pegawai yang mentadbir negeri. Mereka adalah mekanisme pemerintahan negeri.

Penampilan istiadat Keberangkatan Balik penuh keunggulan Kerajaan Negeri yang diperintah oleh Kerajaan Pakatan Rakyat yang lain dari pemerintah pada peringkat Pusat. Selangor sebagai sebuah negeri yang menjunjung DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong menampilkan keunggulan dan kewibawaannya sebagai sebuah negeri maju yang tiada negeri lain di Malaysia standing dengannya. Misalnya Selangor mencatatkan jumlah pelaburan bernilai RM5.2 bilion dalam tempoh enam bulan pertama untuk tahun 2011 ini. Bajet tahunan adalah mencapai RM1.7 bilion. Dan Selangor adalah adalah negeri maju yang menjadi idaman bagi yang mengintai peluang.

Selangor menerima kunjungan DYMM Seri Paduka Yang Dipertua Agong dan Raja Permaisuri Agong dengan penuh takzim tanpa rendah diri, bahkan menampilkan keunggulan dan kewibawaan sebagai Negeri Maju yang boleh dijadikan contoh oleh negeri-negeri yang lain. Walau bagaimana penegakan simbolisme bergantung pada realiti. Keunggulan Selangor sebagai Negeri Maju adalah fakta dan realiti. Simbol kemakmurannya dapat dilihat dari segi kekayaan, bangunan, infra-struktur, gaya hidup dan bermacam-macam. Simbolisme dari segi kekuatan misalnya dengan perbarisan tentera yang cekap dan tangkas. Walau bagaimana Selangor sebagai negeri maju tidak kering dari sifat ehsan dan kasih sayang. Ini dapat dihayati dari simbolisme pilihan lagu-lagu yang indah dan evergreen yang dimainkan oleh Pasukan Pancaragam Diraja. Dengan sekalian ini menjadi simbol kekuatan, keunggulan dan keehsanan pemerintahan di negeri Selangor..

Simbolisme selalunya berasaskan kepada realiti. Orang tidak boleh menonjolkan kekuatan simbolisme tanpa realiti. Perjuangan menguasai realiti semestinya lebih dahulu dicapai sebelum mampu menonjolkan imej dan simbolisme. Pilihanraya adalah satu-satunya mekanisme yang dihalalkan bagi menguasai realiti. Kerancakan kempen memberi erti kerancakan bagi merebut kekuasaan. Ini dilakukan oleh musuh politik Kerajaan Pakatan. Mereka kini sedang rancak menggempur negeri Selangor melalui kubu-kubu mereka di institusi-institusi milik kerajaan Pusat. Di dalam hal ini Selangor perlu waspada memepertahan realiti pemerintahan, bahkan meningkatkan kualiti pentadbiran, kepimpinan dan ekonomi agar musuh yang cuba masuk dari pintu belakang dapat dikekang dari menguasai realiti dan Simbolisme kekuasaan.

Sekian.

September 23, 2011

Melawat Saiful Anwar Anak AJK Lajnah Kebajikan

Hospital Kajang, 23 Syawal = 21 September (Rabu):

Petang ini Lajnah Kebajikan Adun Bangi ke Hospital Kajang bertujuan melawat anak ahli Lajnah Kebajikan (Puan Yusrina bt. Hassan) sakit di Hospital berkenaan. Tiga buah kereta dengan 10 orang AJK Lajnah Kebajikan diketuai Adun melawat Saiful Anwar anak Puan Yusrina Binti Hassan salah seorang AJK Lajnah Kebajikan.

Saiful Anwar adalah pelajar Tingkatan Enam Usuluddin di Sekolah Menengah Hamidiah Kajang. Ketika dilawat Khairul Anwar kelihatan ceria dan menceritakan keadaan kesihatan dirinya. Menurutnya beberapa hari lepas beliau mengalami sakit di dalam perut. Pada mulanya beliau menyangka sakit biasa yang di dalam beberapa jam mungkin akan baik. Tetapi pengakitnya makin serius. Oleh kerana sakitnya bertambah, beliau di bawa ke Hospital Kajang dan didapati beliau kencing berdarah yang menyebabkannya ditahan di Hospital sejak tiga hari lepas.

Keadaannya makin pulih, namun Saiful Anwar merasa bimbang, tetapi tetap bersabar dan mengharapkan pertolongan Allah kerana penyakitnya datang dalam masa beliau sedang di dalam ujian Peperiksaan Percubaan Sekolah. Kita berdoa semoga beliau segera sembuh dan mampu kembali menghadapi pelajaran. Semoga Saiful Anwar pulih seperti sediakala dan meneruskan pengajian dan menghadapi peperiksaan STPM. Semoga mencapai kejayaan cemerlang..

Sementara itu pada 20 September Adun bersama-sama pembantu-pembantu mulai keluar menziarah warga-warga Emas yang uzur yang tidak menyertai Jom Berbelanja pada 17 September yang lepas dan tidak mengambil bahan yang dibeli kepada mereka, maka pada hari ini Adun turun k Kampong Bangi Bahagia menyampaikan barangan seharga RM100/’ kepada mereka. Seramai 5 orang dapat dilawati dan menyampaikan barangan kepada warga-warga Emas berkenaan. Mereka Mak Jainab, Fatimah Lebai Zakaria, Rohayah bt. Ratmin, Pak Cik Mat Jabal Nur dan Puan Khadijah Sidau. Mereka kelihatan gembira menerima sejumlah barangan yang dianggap banyak, bagi kegunaan mereka. Sementara pada 22 September ini Adun berkesempatan menziarah dan menyampaikan peruntukan RM100/= kepada Puan Rananah bt. Abdul Razak.

Adun melihat kecerian terpancar diwajah-wajah yang menerima bantuan dan berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor terhadap mereka.

Sekian.

September 22, 2011

Syarahan Alumni UKM Ke 5: Kepuasan Dengan Kejayaan Bekas Pelajar (Dato` Paduka Dr. Junaidi Bin Abu Bakar) - Penyampai Syarahan

UKM, 22 Syawal = 20 September (Selasa):

Seorang guru – termasuk pensyarah merasa puas dengan kejayaan pelajar-pelajarnya, apalagi jika berjaya di dalam kerjaya mereka. Adun sendiri bersyukur kerana diberi Allah kesihatan dan panjang umur dan menikmati kepuasan apabila melihat pelajar-pelajar yang diasuh sendiri dan berjaya di dalam kerjaya mereka. Adun misalnya merasa puas sepanjang menjadi pensyarah di UKM, semasa menjawat jawatan sebagai Profesor Madya diberi kepercayaan oleh Jabatan dan Fakulti membimbing sejumlah lima pelajar pada peringkat Dr. Falsafah sehingga mereka lulus. Adun berbangga dua daripada mereka bukan saja lulus, tetapi selepas lulus cemerlang dalam kerjaya sehingga diangkat menjadi Sasterawan Negara. Empat orang dari lima ini menjadi pensyarah di universiti. Dua daripada lulusan PhD ini menggunakan Teori Takmilah bagi tesis PhD yang Adun sendiri binanya. Ramai lagi yang berjaya yang membuat Ijazah Masters dan Ijazah Pertama sama ada menjadi tenaga pengajar, pentadbir atau terlibat dalam politik sehingga menjadi Timbalan Menteri dan berjaya di dalam kerjaya-kerjaya yang lain.

Demikianlah pada hari ini Adun dijemput menghadiri Syarahan Alumni Ke 5 UKM yang tokoh jemputan menyampaikan Syarahan ialah YBhg. Dato` Paduka Dr. Junaidi Bin Abu Bakar. Beliau adalah salah seorang pelajar Adun di dalam bidang sastera semasa Adun menjadi pensyarah. Ini disebut sendiri oleh Dato` Paduka Dr. Junaidi di dalam Syarahan Alumninya. Beliau sekarang berjawatan selaku Timbalan Naib Canselor (HEPA), Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak.

YBhg. Dato` Paduka Dr. Junaidi dilahirkan pada 12 Mac 1963 di Kuala Krai, Kelantan. Beliau memperolehi Ijazah Sarjanamuda (Kepujian) (1988) dan Ijazah Sarjana (1991) di dalam bidang Sains Politik UKM. Beliau meneruskan pengajian pada peringkat Diploma Siswazah (1992) dan Dr. Falsafah 2004 kesemuanya dari UKM. Beliau pernah menjadi Tutor di UKM (1991-1992), Pegawai di Perusahaan Proton (1992-1993), Pengurus Jabatan Sumber Manusia Hasu Industries Sdn. Bhd. (1993-1995), Pensyarah Jabatan Sains Politik UKM (1995- 2002), Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi UKM, Felo Institut Kajian Etnik Malaysia, UKM dan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia (2006-2011) diikuti dengan perlantikan beliau menjadi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar di UPSI baru-baru ini.

Fokus ucapan Dato` Paduka Dr. Junaidi ialah peranan beliau di dalam memupuk dan mengekalkan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia semasa menjadi Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia. Majlis dihadiri antaranya Prof. Drs. Rosdi Atasye Indonesia ke Malaya, Prof. If. Dr. Othman A. Karim Wakil Naib Canselor, UKM, Dr. Azmi Abdullah Ahli Lembaga UKM, Prof. Dr. Laily Pengarah Pusat Pengajian Siswazah, pegawai-pegawai universiti, kalangan alumni dan pelajar-pelajar. Syarahan pada petang ini adalah anjuran Pejabat Perhubungan Alumni UKM dengan kerjasama Persatuan Pelajar Indonesia, UKM bertempat di Auditorium, Pusat Pengurusan Siswazah, UKM.

Menurut Dato` Paduka Dr. Junaidi tugas beliau selama lima tahun di Indonesia ialah berusaha membina hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia. Mengelak dari konflik sempadan yang melibatkan kepentingan ekonomi antara kedua Negara, membantu mengatasi masalah yang timbul dari salahlaku majikan di Malaysia terhadap pekerja Indonesia, menyelesaikan dakwaan asal-usul lagu-lagu yang didakwa kedua belah pihak milik mereka. Soal kemasukan pekerja-pekerja Indonesia ke Malaysia. Begitu juga soal wanita Malaysia dikahwini rakyat Indonesia yang dibawa pulang ke Indonesia. Terlibatnya beliau dengan isu-isu ini kerana rapatnya beliau dengan Duta Indonesia dan Malaysia di kedua-dua Negara dan pegawai-pegawai atasan di Indonesia yang sebahagian daripada mereka berkelulusan UKM. Tetapi sebagai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia tugas asasi beliau ialah menjaga kepentingan dan kebajikan pelajar Malaysia yang menuntut di Indonesia, iaitu berjumlah 5,900 orang, juga terlibat dengan urusan pelajar Indonesia ke Malaysia yang berjumlah 14,000 orang. Menurut Dato` Paduka Dr. Junaidi jumlah alumni Indonesia yang belajar di Malaysia sekarang ialah 6,000. UKM adalah universiti utama bagi pelajar-pelajar Indonesia di Malaysia. Mereka menjawat berbagai-bagai jawatan penting dari menteri, tenaga pengajar di universiti dan pegawai-pegawai. Beliau juga bertanggungjawab mengatur kerjasama antara universiti-universiti di Malaysia dengan universiti-universiti di Indonesia, mengatur seminar, bahkan kehadiran tenaga pengajar ke Indonesia dan sebaliknya.

Sebelum penyampaian syarahan Prof.Ir. Dr. Othman A. Karim menyampaikan ucapan alu-aluan mewakili Naib Canselor UKM. Turut berucap Y.Bhg. Prof. Drs, Rusdi M.A., Ph.D Atase Pendidikan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur.

Sekian.

September 21, 2011

Sidang Akhbar Oleh Jawatankuasa Isu PTPTN (JIP). Jadikan Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor Model Ikutan

Bandar Baru Bangi, 21 Syawal = 19 September (Isnin):

JIP yang diketuai oleh YB Mohd Taufek Abdul Ghani Adun Paroi, Negeri Sembilan yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna Parti Islam SeMalaysia mengadakan Sidang Akhbar membangkitkan isu yang membebankan mahasiswa dan implikasinya terhadap masa depan mereka. Sidang Akhbar diadakan di sebuah restoran di belakang Stesyen Petronas di Seksyen 15 di sini. Hadir di dalam Sidang Akhbar yang diadakan pada jam 4.00 petang itu ialah YB Dato` Mahfoz Omar Naib Presiden Pas, YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang, Peguam Abang Ahmad Kerdee, beberapa pemimpin pelajar dan pelajar-pelajar.

Saudara Taufek menyebut bahawa mendapat peluang menyambung pelajaran ke pengajian tinggi adalah menjadi harapan bagi ibu bapa, tetapi pengajian tinggi kini memerlukan kos tinggi dan pelajar-pelajar terjerat dengan pinjaman yang membebankan. PTPTN ditubuhkan pada 1 Julai 1997 (Akta 566). Selama 14 tahun PTPTN memberi pinjam.kepada sejumlah 1.7 milion pelajar dengan pinjaman keseluruhannya dikeluarkan sebanyak RM38.15 bilion. Di samping ada yang dapat melunaskan hutang ada yang tidak dapat menyelesaikannya.

Saudara Taufek mengibaratkan PTPTN menjadi barah kepada golongan muda. Mereka menjadi peminjam seawal umur 20an, malangnya bila mereka keluar dari pengajian mereka tidak mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan akademik mereka. Golongn muda menjadi masyarakat berhutang. Dalam keadaan tertekan boleh menyebabkan mereka terjebak di dalam kegiatan jenayah dan tidak bermoral dan menjadi masalah kepada masyarakat dan Negara.

Menyedari masalah yang dihadapi terutama oleh golongan muda, maka Lajnah Pengguna PAS Pusat telah menubuhkan Jawatankuasa Isu PTPTN (JIP) yang diketuai Timbalan Pengerusi YB Mohd Taufek Abdul Ghani bagi mengenal pasti isu-isu dan kelemahan-kelemahan PTPTN dan menangani dan mengatasi isu-isu berkenaan. Antara isu-isu ialah:

1) Yuran atau kos pentadbiran 3% yang dikenakan kepada pihak peminjam dan 3% ini adalah dikira dari jumlah pinjaman PTPTN yang dibuat.

2) Tempoh bertenang wajar dipanjangkan dari 6 bulan kepada sekurang-kurang 1 tahun bagi memastikan peminjam mendapat pekerjaan sebelum dikehendaki peminjam membuat pembayaran balik

3) Tempoh kuasa tindakan kepada peminjam yang gagal membuat pembayaran balik pinjaman hendaklah mematuhi Akta Had Masa, iaitu 6 tahun dan bukannya seperti yang dikenakan hari ini iaitu 12 tahun

4) Tindakan PTPTN meminta pihak Jabatan Imigresen menyenaraihitamkan peminjam-peminjam yang terbabit untuk ke luar Negara perlu dikaji semula.

5) Pihak JIP mendapati bahawa urusan menukar pinjaman skim Ujrah tidak dipermudahkan di mana syarat-syarat Ujrah ini sangat ketat dan tidak menolong menyelesaikan masalah peminjam-peminjam yang mempunyai tonggakan dan saman mahkamah.

Pihak JIP sedia memberi khidmat kepada peminjam-peminjam yang menghadapi masalah-masalah di atas dan mencari jalan penyelesaian sebaiknya.

Sebagai langkah awal menurut YB Taufek, pihak JIP pada hari ini melancarkan Facebook Jawatankuasa Isu PTPTN (JIP) sebagai wadah bagi semua pihak yang terbabit untuk berkongsi dan berbincang berkaitan dengan Isu PTPTN. Facebook berkenaan boleh dilawati di alamat www.facebook.com/Jawatankuasa.Isu.PTPTN.JIP.

Selepas sidang akhbar YB Dato` Mahfoz Omar menambah, bahawa JIP berharap mendapat respond dari pelajar-pelajar, khususnya dari peminjam-peminjam dalam tempoh sehingga Oktober depan. Pandangan-pandangan dari peminjam akan diangkat kepada pihak Kerajaan dan juga kepada Pakatan Rakyat dan kalau perlu aduan akan diangkat kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Walau bagaimana di dalam pertemuan dan Sidang Akhbar iniu tidak berlaku kerancakan dari segi perbincangan dan tidak timbul pertanyaan atau cadangan dari pihak mahasiswa sebagai peminjam.

Secara ideal kita mau pengajian tinggi sebagaimana pengajian pada peringkat rendah dan menengah adalah percuma. Apakah ini di dalam atau di luar kemampuan pemerintah ? Kalau di dalam kemampuan bagaimanakah mekanismenya ? Apakah di Negara kita mampu diwujudkan badan, yayasan atau institusi wakaf sebagaimana di Universiti Al-Azhar yang pengajiannya bersifat percuma. Apakah di Negara kita mampu diwujudkan universiti yang berdikari kerana mempunyai asset tersendiri seperti di Harvard misalnya, tetapi tidak pula bersifat percuma. Atau bayaran tidak dapat dielakkan, maka ibu bapa mesti menanggung sendiri, biasiswa hanya disediakan kepada yang benar-benar layak. Elak dari tawaran meminjam, kecuali yang benar-benar perlu. Sekarang pinjaman diberi kepada sesiapa yang dapat masuk universiti, walaupun ibu bapa mampu membiayai. Dengan ini dapat mengelakkan pelajar dari meminjam.

Masalahnya ada yang menjadikan pinjaman sebagai satu cara perniagaan bagi mendapat keuntungan. Kita difahamkan ada pihak tertentu mendirikan asrama di dalam sesebuah kampus dan memeras pelajar dengan bayaran yang diambil dari pihak universiti yang pinjaman sampai ke situ terlebih dahulu. Ada pelajar tidak menerima lebihan dari pinjaman dan terpaksa mencari sumber lain untuk meneruskan pengajian. Pihak berkuasa perlu menyelidik dan menyekat dari tindakan memeras pelajar demi keuntungan semata-mata.

Adun Bangi turut bercakap mengenai konsep pinjaman yang diberi oleh Kerajaan Negeri Selangor yang bersifat prihatin, tanpa dikenakan bunga atau khidmat pengurusan. Pelajar yang meminjam dikehendaki membayar sejumlah apa yang dipinjam sahaja. Bahkan jika pelajar mencapai keputusan cemerlang, maka pinjaman ditukar kepada biasaiswa. Potongan juga dibuat separuh atau satu perempat berdasarkan tahap kecemerlangan yang dicapai. Ini satu contih yang baik yang dilakukan di Selangor. Adakah Kerajaan Persekutuan atau PTPTN sanggup mencontohinya ?

Jadikan Pelajaran Bersifat Kebajikan Bukan Jalan Memeras Pelajar Bagi Mendapat Keuntungan!

Sekian.

September 20, 2011

Rumah Terbuka Dun Bangi & Kawasan Serdang Dibanjiri Pengunjung

Kompleks Sukan, Seksyen 15, BBB, 20 Syawal = 18 September (Ahad):

Setelah berbulan merancang dan mengatur Program Rumah Terbuka Idul Fitri, maka pada hari ini tibalah Hari Terbuka yang ditunggu-tunggu. Hari Terbuka pada hari ini adalah anjuran Adun Bangi bersama Pas Kawasan Serdang dan bersama Dap Serdang. Sejak pagi-pagi petugas-petugas tiba setelah malam tadi menyiapkan khemah-khemah dan menghantar barang-barang ke Stadium sejak petang dan malam tadi.

Mulai dari pagi hingga sebelum jam 12.00 tengahari Stadium didatangi petugas-petugas bagi mempersiapkan menu-menu bagi setiap gerai yang telah ditentukan. Penyediaan makanan dan minuman dibahagi-bahagikan menurut cawangani di samping sedikit peruntukan dikeluarkan oleh Pejabat Adun bagi cawangan-cawangan bagi menyediakan bahan-bahan. Adalah difahamkan lebih dari 20 jenis menu disediakan. Ini termasuklah nasi impit, soto, roti canai Mat Indera, nasi berlauk, gulai kawah, roti Perancis, keropok lekor, laksa Mat Sabu, kari kambing Bukit Kepong, keropok lekor, air Hijau PAS, mee sup, mee goreng, tembikai, nasi beriani, biskut Rakyat Selangorku, roti jala dan sebagainya.



Setelah pulang dari persiapan pagi dan datang untuk perasmian sebelum jam 12.00 didapati pengunjung-pengunjung bertali arus memulakan jamuan secara tidak rasmi. Upacara perasmian dijalankan semasa jamuan sedang rancak berjalan. Pengunjung-pengunjung memilih apa jenis makanan yang mereka suka dan makan di meja, di atas kerusi dan bertenggek di mana saja mereka rasa selesa.
Jam 12.00 majlis formal dimulakan dengan pembacaan doa dan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program saudara Azmi bin Ahmad yang mengalu-ngalukan kehadiran pengunjung-pengunjung dan berterima kasih kepada petugas-petugas yang bertungkus lumus menyediakan persiapan dan menghidang kepada para pengunjung. YB saudari Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang yang merupakan Pengantin Baru mengucap Selamat Hariraya Idul Fitri kepada semua yang hadir. Beliau bergembira dengan kerjasama semua pihak sehingga berjaya menarik pengunjung yang begitu ramai. Beliau menyebut bahawa hubungan antara beliau selaku Ahli Parlimen Serdang dengan Adun Bangi amat baik dan kerjasama dari dulu dahulu hingga kini tetap utuh. Beliau berharap masyarakat akan memberi sokongan dalam rangka cita-cita untuk menambah kerusi bukan saja pada peringkat negeri, tetapi mencapai kemenangan pada peringkat Pusat dengan menguasai Putrajaya.

YDP Pas Serdang yang menyampaikan ucapan, bahawa cawangan-cawangan Pas Serdang memberi kerjasama yang erat dalam menjayakan sambutan Idul Fitri pada kali ini. Menu-menu yang dihidang adalah hasil dari persiapan cawangan dengan menu-menu ditentukan.. Beliau maukan cawangan-cawangan memantapkan kedudukan masing-masing bagi peresiapan pilihanraya yang mula diperkatakan sekarang.

Adun Bangi memfokuskan ucapan kepada khidmat masyarakat yang menurutnya makin dipertingkatkan. Menurutnya Adun dan AJK-AJK terus turun padang dan melakukan khidmat masyarakat. Misalnya bagi menarik pengunjung ke Hari Terbuka ini, Adun dan pengiring-pengiring turun ke 7 pasar dan Pasar Malam menyampaikan handbill jemputan ke Hari Terbuka. Sebulan Ramadhan menziarah surau dan masjid dan menyampaikan bantuan kepada faqir miskin dan menyampaikan bantuan raya terutama kepada ibu tunggal, orang miskin, anak yatim, warga emas dan sebagainya.. Adun Bangi dan AJK-AJK akan terus menjalankan khidmat masyarakat dan menggunakan peruntukan bagi khidmat masyarakat. Adun berterima kasih kepada semua yang terus memberi sokongan dan sokongan diharap akan terus meningkat. Buat akhirnya dengan lafaz bismillah Adun Bangi merasmikan Rumah Terbuka Idil Fitri 1432H = 2011. Turut hadir ke Majlis Hari Terbuka ialah YB Tony Phua Ahli Parlimen PJ Utara, Puan Zuryati Yasin Ketua Muslimat Pas Serdang. Ketua PKR Cabang Kajang, iaitu Cikgu Ridhuan, Tuan Haji Marzuki Pengerusi Rumah Prihatin, Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Mohd.Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, En Latif Manan Ketua Kampong Sungai Ramal Dalam, En. Azlan Ketua Kampong Kampong Bahagia, Bangi dan lain-lain.

Dalam Majlis Hari Terbuka ini juga disampaikan bantuan-bantuan kepada institusi seperti kepada Rumah Prihatin, Ma`had Tahfiz dan warga-warga emas. Puncak penyampaian yang menimbulkan kekecohan ialah bila menyampaikan duit raya kepada anak-anak yang datang menyerbu secara bersesak-sesak, kekecohan juga diakibatkan oleh hujan mulai turun. Kepada anak-anak yang telah menerima duit raya di arah masuk ke dewan bahagian belakang. Kemudian pembahagian duit raya dapat dilakukan dengan lancar. Beberapa persembahan nasyid dilakuakn, termasuklah dari Kumpulan Nasyid Anak-Anak Prihatin. Sungguhpun pada bahagian pertengahan Majlis hujan turun, ianya tidak menghalang pengunjung-pengunjung yang datang membanjiri kawasan Kompleks Sukan Bangi. Berlaku jem di jalan masuk ke stadium, kerana begitu ramai pengunjung-pengunjung membanjiri stadium.

Sementara itu sambil meraikan tamu-tamu yang datang bersama YB Teo dan yang lain-lain, Adun mengambil kesempatan melawat gerai-gerai dan makanan yang disediakan dan bercakap-cakap dengan pengunjung-pengunjung yang sedang makan dan yang baru tiba dan juga bersalam dengan mereka yang mulai pulang. Dari perhatian Adun, makanan yang disediakan mencukupi. Kehadiran dijangka mencecah 15,000.

Al-Hamdulillah semua berjalan lancar dan bersyukur kepada Allah di atas kelicinan perjalanan dan kejayaan Sambutan Idul Fitri 1432 = 2011.

Sekian.