November 30, 2011

Perarakan Berkhatan Di Taman Mawar, Bandar Baru Salak Tinggi

Salak Tinggi, Sepang, 01 Muharram = 27 November (Ahad):

Adun sebenarnya dijemput ke Surau Amin, Taman Mawar 2, Salak Tinggi, malam tadi sempena malam satu Muharram, tetapi oleh kerana bertembung dengan program Pejabat Adun dan beberapa jemputan yang lain – termasuk peringkat negeri, juga bagi menyambut satu Muharram, maka Adun utamakan Program Jabatan Adun, iaitu menyambut Satu Muharram. Oleh kerana program di Taman Mawar melebihi satu hari, maka Adun menwarkan diri untuk hadir pada pagi Ahad ini dan disetujui. Sebagai lanjutan dari sambutan Hijratur-Rasul, maka pada pagi ini diadakan acara berkhatan beramai-ramai di Surau Al-Amin di sini. Sebenarnya kawasan Sepang tidak asing dari Adun, kerana sebagai kawasan angkat, maka Adun Bangi sering ditugaskan berhubung dengan Ketua-Ketua Kampong dan Hal Ehwal Islam. Pagi ini Adun bersama saudara Azizi diikuti isteri Adun sama datang untuk ke rumah anak di sini.

Kesampaian kami jam 8.30 pagi di Surau Al-Amin tempat acara, disambut oleh Encik Iskandar Musa Pengarah Program, Ustaz Abu Hashim Hj. Zainal Pengerusi Surau, Encik Ishak, Pegawai-pegawai kesihatan dan orang ramai. Sebaik kami sampai sebuah kereta bomba dari Putrajaya turut tiba, sebuah lori yang diatur kerusi di atasnya juga turut sedia untuk mengarak kanak-kanak. Pada hari ini seramai 28 orang kanak-kanak menyertai acara berkhatan. Mereka tiba berbaju Melayu, bersongkok dan bersamping. Sebelum berarak, terlebih dahulu diadakan majlis ringkas dengan ucapan dari Pengarah Program. Saudara Iskandar yang bersyukur kepada Allah di atas kehadiran Adun, pegawai-pegawai perubatan, dan ibu bapa. Menurut Sdr. Iskandar, program berkhatan sedemikian adalah lanjutan dari tahun-tahun yang lepas . Istimewanya pada kali ini kita membawa satu pasukan Gendang Rebana khas yang di bawa dari Kampong Teluk Kepayang, Bota, Perak.. Pasukan ini terdiri dari 20 ahli.. Beliau berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis.

Adun Bangi mengingatkan bahawa sesuai dengan cuti Sekolah dan awal Muharram, maka anak-anak mempunyai masa untuk berkhatan dan sebagainya. Sesuai dengan Hijrah menurut Adun anak-anak kita juga melalui proses hijrah dari alam kanak-kanak kepada Alam remaja. Beliau memuji program yang diadakan secara beramai-ramai dan bertempat di surau, kerana dengan demikian dapat mengurangkan kos dan memeriahkan keadaan. Beliau juga memuji sifat gotong royong penduduk dan mendoakan semoga program berjalan lancar.

Selepas Majlis Ringkas anak-anak yang berjumlah 28 orang berbaju Melayu, bersongkok dan bersamping diarak berjalan kaki beramai-ramai dan diiringi dengan rebana, salawat dan salam. Perjalanan ke bawah lebih kurang setengah km. itu tiba ke lori berhias dan.berkerusi. Mereka dinaikkan ke lori – turut naik juga pasukan rebana. Anak-anak bakal berkhatan di bawa keliling kawasan taman perumahan dan selepas setengah jam mereka dibawa balik dan diturunkan di pekarangan Surau Al-Amin. Di sini anak-anak bakal berkhatan, selepas menanggalkan songkok dan samping mereka disiram oleh Adun bersama pihak Bomba. Anak-anak yang bersiram begitu gembira dan suasana begitu meriah. Selepas mereka bersalin pakaian acara khatan dimulakan. Adun turut sama ke tempat berkhatan. Pada masa acara berkhatan dijalankan pasukan rebana berzikir dan bersalawat di anjung surau, seolah-olah bagi menghilangkan ketakutan anak-anak semasa menunggu giliran untuk berkhatan. Dua buah bilik disediakan untuk berkhatan dan berkhatan dapat dilakukan 4 orang secara serentak. Menurut En. Iskandar, ``Dr-Dr. yang berkhidmat ialah dari kalangan dr. perubatan di berbagai klinik di sini. Terima kasih atas kerjasama mereka.``

Setelah menyaksikan beberapa acara berkhatan, maka Adun memhon diri selepas menyampaikan cenderahati kepada pegawai-pegawai bomba yang sama memeriahkan suasana.

Sekian.

November 29, 2011

Lawatan Ke Bangunan Sekolah Agama BBB Yang Dalam Progres Pembinaan

BBB, 02 Muharram 1433 = 28 November 2011 (Isnin):

Hasrat Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (PPBBB) memiliki sebuah kompleks Pendidikan Islam yang lebih sempurna hampir tercapai dengan terdiri gagah sebuah kompleks tiga tingkat berbentu U di atas tapak Sekolah Agama Lepai yang lepas. Kini pembinaan mencapai 70% siap. Pada hari ini pihak AJK diketuai Ybhg. Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP PPBBB yang juga Pengerusi Lembaga Tadbir Sekolah mengadakan Hari Terbuka bagi membolehkan para dermawan dan berbagai pihak yang memberi sokongan melihat progresnya pembinaan. Dengan melihat sendiri mungkin terbuka hati bagi mereka untuk menderma lagi.

Majlis bermula jam 10.00 pagi bertempat di bawah khemah di tengah kawasan bangunan dengan agenda ucapan, taklimat dan lawatan. Hadir bersama ke Majlis Hari Terbuka dan Lawatan Ke Bangunan ini selain dari Adun Bangi, Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj, Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP PPBBB, Tuan Haji Mohd. Ghazali Abbas Timbalan YDP dan juga selaku Pengerusi Surau An-Nur, Tuan Haji Kamaruddin Setiauasaha Masjid Al-Hasanah, Tuan Haji Zakaria & Tn. Haji Sufi Munassir yang kedua-duanya AJK Pembangunan, Kontrektor Bangi SDE Bina En. Abdul Aziz dan Partnernya En. Marzuki dan Arkitek Encik Norman Ezani dan para jemputan lebih kurang 30 orang.

Dalam ucapan alu-aluannya Dr. Tajul menggariskan tentang latarbelakang Sekolah yang mula didirikan pada awal tahun 1980an dan bangunan ini digunakan secara rasmi sebagai Sekolah agama pada tahun 1987 menurut kurikulum JAKIM. Bangunan lama setingkat yang telah dirobohkan itu juga berbentuk U mempunyai 8 bilik darjah – 6 untuk kelas dan yang lain untuk pentadbiran. Menurut Dr. Tajul Ariffin lagi, bangunan baru di atas tapak lebih kurang setengah ekar itu dibina pada 1 Jun 2011 dengan mendapat tunjangan awal dari Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM240,000 kemudian diikuti dengan usaha memungut derma yang kini telah terkumpul iaitu sejumlah RM1.5 juta dan memerlukan RM1.5 juta lagi bagi penyempurnaan bangunan dan peralatan. Bangunan baru jika menurut jadual akan siap insya Allah pada akhir Mei 2012.

Menurut Dr. Tajul Ariffin Noordin lagi, `Apabila siap kelak, maka tingkat bawah akan digunakan bagi program-program pendidikan komuniti, aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan insan, pejabat operasi, Dewan persidangan, bilik mesyuarat, bilik gerakan, bilik koperasi dan perkembangan, dataran ilmu, galeri, auditorium dan kantin, manakala tingkat dua dan tiga untuk sekolah, pentadbiran dan keperluan sekolah.

Adun Bangi yang diminta menyampaikan ucapan mengucap tahniah di atas kegigihan PPBBB dan AJK pembinaan yang telah bertungkus lumus hingga dapat menterjemahkan impian maukan Kompleks Pendidikan Islam yang lebih sempurna menjadi realiti. Pihak Kerajaan Negeri Selangor, khususnya YB Dr. Halimah Ali Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan, tentulah berbangga melalui tunjangan peruntukan RM240,000 iaitu satu jumlah yang tidak begitu banyak, tapi dapat dikembangkan dengan usaha mendapat dana dan derma dari orang ramai hingga kini berjumlah hampir RM1.5. Adun percaya separuh dari jumlah lagi yang diperlukan akan dapat dicapai, khususnya apabila orang ramai dapat melihat realiti bangunan yang telah terbina. Pihak Kerajaan Negeri insya Allah akan membantu pihak Sekolah dan sebarang permohonan dibuat insya Allah Adun akan memberi sokongan yang kuat.

Berhubung dengan perkembangan dan pemantapan masa depan, pihak AJK Pentadbir boleh memikirkan bagi mengadakan Pengajian Agama pada peringkat menengah yang amat diperlukan oleh masyarakat yang mau anak-anak mereka meneruskan pengajian menurut aliran agama yang sebenarnya mempunyai saluran ke peringkat pengajian tinggi. Mungkin pada satu masa nanti juga boleh difikirkan untuk diadakan pengajian pada peringkat kolej dengan kerjasama universiti-universiti yang banyak disekitar Bangi yang memungkinkan pelajar-pelajar menyambung pengajian ke pengajian-pengajian tinggi berkenaan.

Adun Bangi menambah, ``Pihak AJK juga perlu berusaha mendapatkan aset-aset bagi Sekolah yang memungkinkan Sekolah boleh berdikari, mengurangkan yuran pelajar atau pengajian diberi percuma seperti dilakukan di Universiti Azhar yang banyak memiliki harta waqaf.

Adun mengakhiri ucapan dengan doa dan harapan kompleks yang bakal dikenali sebagai Kompleks Pendidikan Islam Bangi bukan saja terkenal dan menjadi mercu tanda di Bangi, tetapi menjadi pusat pendidikan terkenal yang sama memprojekkan imej Bangi Bandar Ilmu.

Selepas Majlis Ucapan, Adun Bangi, diiringi Dr. Tajul & AJK Pembangunan Tuan Haji Sufi dan Tuan Haji Zakaria dan lain-lain membuat lawatan ke Bilik Pameran Sementara, ruang dewan-dewan dan bilik-bilik pentadbiran. Lawatan hanya terhad di tingkat bawah sahaja kerana tangga belum siap dan belum boleh ketingkat atas. Larangan ke atas bagi menjaga keselamatan tamu-tamu yang berkunjung.

Kesimpulannya pembinaan dalam progress dan lancar, Cuma derma perlu juga progres dan lancar agar kerja-kerja tidak tergendala. Sama-sama kita menambahkan saham kebajikan yang insya Allah balasan pahala berganda dan pada bangunan yang tersergam indah untuk pengajian anak-anak kita ada saham kita bersama.

Sekian.

November 28, 2011

Sambutan Awal Muharram Sempena Hijratur-Rasul Peringkat DUN Bangi

BBB, 30 Zulhijjah = 26 November (Sabtu):

Petang ini kebanyakan masjid dan surau mengadakan Majlis Sambutan Awal Muharram 1433 H. Adun Bangi juga mendapat beberapa jemputan bagi menghadiri majlis berkenaan. Pihak Adun Bangi juga mengadakan acara sambutan Awal Muharram yang juga dikenali Sambutan

Hijratur-Rasul s.a.w. Pada kali ini Surau Taman Jasmin menjadi tempat pilihan bagi sambutan pada peringkat Dun Bangi. Oleh yang demikian Adun terpaksa mengutamakan sambutan pada peringkat Dun.

Majlis menyambut Awal Muharram yang juga sempena Hijratur-Rasul bermula dari petang sebelum maghrib dihadiri selain dari Adun, ialah Sdr. Adram Musa Ahli MPKj Zon 22, Tuan Haji Zahar Jafri Pengerusi Surau Taman Jasmin, sdr. Azmi Ahmad Pengerusi Urusan Masjid-Surau Adun Bangi, Ustaz Mohd. Zaidi Bekas Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang kini sebagai Penolong Pengarah Perkahwinan dan Kesejahteraan Keluarga JAWI selaku Penceramah Jemputan, Al-Fadhil Imam Abdul Razak bin Ramli, Anak-Anak Mencapai Keputusan Mumtaz yang diraikan, para ibu bapa dan ahli jamaah surau.

Majlis bermula dengan tahlil dan membaca doa akhir tahun di bawah pimpinan Imam Abdul Razak diikuti dengan Solat Maghrib dan doa awal Muharram. Selepas itu Adun bercakap ringkas tentang Hijratur-Rasul dan mengaitkan dengan pencapaian murid pada peringkat mumtaz yang merupakan hijrah dalam meningkatkan kualiti pembelajaran dan berharap mereka akan lebih berusaha memperbaiki kejayaan diri bagi kepentingan keluarga masyarakat dan umat. 24 orang pelajar mencapai Mumtaz dalam peperiksaan Sekolah Rendah Agama. Adun Bangi menyampaikan hadiah dan sijil pengiktirafan kepada mereka.

Berikutnya ceramah disampaiakn oleh Ygbhg. Ustaz Mohd Zaidi yang bercakap tentang perlunya kita mensyukuri Allah di atas nikmat zahari (hissiyyat) yang diberi Allah seperti kesihatan, pendapatan yang lumayan dan tempat kediaman yang selesa, tetapi menurut beliau yang paling utama perlu kita bersyukur ialah nikmat maknawi yang dikurniai Allah kepada kita terutama keimanan, kebahagiaan dan keamanan. Majlis diakhiri dengan jamuan.

Sekian.

Rumah Bakti Al-Kausar: Satu Lagi Pertubuhan Kebajikan Di DUN Bangi

BBB, 30 Zulhijjah = 26 November (Sabtu):

Dua minggu lepas, Adun Bangi menerima surat permohonan dari Rumah Bakti Al-Kausar di Seksyen 4 Tambahan BBB. Pada permulaan timbul tandatanya, adakah Rumah Bakti ini diselenggarakan oleh Surau Al-Kauthar di Seksyen 4, BBB, Adun juga dikelirukan oleh nama Pengerusi yang menandatangani surat – Razali Haji Basri, mirip nama seorang pimpinan ABIM. Pada 21 November Adun menerima pula surat dari Persatuan Mahasiswa Fakulti Undang-Undang (PERUNDING UKM) memohon dari Adun peruntukan untuk membuat lawatan ke Rumah Bakti Al-Kausar dalam rangka program PERUNDING `We Care We Share`.

Sebagaimana biasa permohonan-permohonan seperti ini dibawa ke Mesyuarat Mingguan bagi mempertimbangkan permohonan. Dalam mesyuarat diputuskan – Buat hubungan dengan PERUNDING bahawa Adun & AJK akan turun sama (26 November) dengan PERUNDING jika disetujui bagi tujuan utamanya menyampaikan bantuan kepada Pertubuhan Al-Kauthar dan kedua untuk memecahkan tembok halangan, bahawa selama ini bantuan diminta dari Adun, tetapi tidak melibatkan aktiviti dengan Adun oleh kerana polisi pihak universiti di bawah Kementerian yang berlainan pemerintahan. Sekatan ini menyebabkan banyak permohonan dari universiti atau institusi yang enggan bekerjasama dengan kami, menyukarkan kami untuk meluluskan permohonan.

Pihak PERUNDING bersetuju untuk turun bersama ke Rumah Bakti Al-Kausar. Dengan ini sebagaimana disusun dalam program jam 3.30 petang Adun bersama saudara Azizi tiba ke Rumah Bakti Al-Kausar di alamat No. 17 Jalan 4/12 C BBB dan diikuti dua AJK Kebajikan

saudara Harun Ar-Rashid dan Saudara Faisal. Kami disambut oleh Pengerusi Rumah Bakti En. Razali Hj. Basri dan Tuan Syed Farid bin Syed Ali Presiden Perunding yang telah mengadakan aktiviti bersama 36 ahlinya di sini sejak pagi hari ini. Kami dimaklumi bahawa Rumah Kebajikan ini tidak ada hubungan dengan Surau Al-Kauthar dan En. Razali juga bukan ada hubungan dengan pertubuhan ABIM. Menurut En. Razali, Pertubuhan Kebajikan di sini sudah dibuka sejak tiga bulan lepas dengan menyewa rumah kediaman di sini bermula 17 September 2011 dan mendapat keizinan pendaftaran 4491-11 SEL pada 10 Oktober 2011. Setakat ini Pertubuhan Kebajikan menjaga 17 orang anak yatim dan miskin di sini dengan empat tenaga pekerja dengan kos bulanan RM15,000. Sumber kewangan setakat ini adalah dari derma orang ramai. Menurut En. Razali Rumah Bakti Al-Kausar adalah cawangan kedua selepas di Bandar Tun Hussein Onn di Cheras yang menjaga 30 orang anak yatim dan miskin dan rangkaian ketiga bagi Rumah

Kebajikan terawal di Pengkalan Hulu Grik, Perak dengan 40 orang anak yatim dan miskin. Rangkaian rumah-rumah kebajikan ini dikendalikan secara keluarga (adik beradik En. Razali). Di Dun Bangi terdapat beberapa lagi rumah Kebajikan seperti di Teras Jernang, Taman Seroja di Jalan Reko dan Taman Jasmin yang kesemuanya dijalankan oleh Badan Pentadbiran secara sendirian dan bergantung pada derma.

Berhubung dengan PERUNDANG mereka telah datang membuat program bersama-sama anak-anak Rumah Bakti Al-Kauthar sejak pagi. Mereka menjalankan kegiatan seperti pembersihan, gotong royong, sukan, bimbingan pelajaran (Anak-anak di sini dihantar ke Sekolah rendah dan menengah berdekatan).

Dalam Majlis Ringkas, Adun melahirkan kesyukuran dapat datang dan berkesempatan dengan ahli-ahli PERUNDANG menyaksikan kegiatan mereka dalam masa yang singkat. Juga dapat bersama Pengendali-Pengendali Rumah Bakti Al-Kausar dan juga bersama anak-anak. Adun mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan pihak Pengerusi dan AJK-AJK yang mengambil inisiatif membuka Rumah Kebajikan di dalam kawasan DUN Bangi. Adun berharap kerjasama dengan pihak Adun dapat diteruskan. Begitu juga dengan PERUNDANG. Agak jarang pihak Adun mendapat peluang kerjasama dengan mahasiswa oleh kerana halangan birokrasi. Ini pun secara rundingan luar dan singkat.

Dalam Majlis Ringkas, pihak Adun menyampaikan cek bantuan kepada Pengerusi Rumah Kebajikan Al-Kausar. Adun juga diminta menyampaikan hadiah-hadiah dan cenderahati kepada anak-anak yang mengambil bahagian di dalam berbagai pertandingan. Jam 4.00 petang Adun memohon diri dengan diiringi hujan lebat.

Rumah Bakti Al-Kausar boleh dihubungi melalui No. 03-875 00061, 012 643 9878 dan 013 – 236 3777 – www.alkausar-bangi.com . Akaun Bank 5628 3461 5590 (Maybank Islamic).

Sekian.

November 27, 2011

Di Ambang Hijrah: Amalkan Islam Cara Hidup Menyeluruh. Selangor Tertinggi Mengimarahkan Rumah Allah

Pasar BBB, Seksyen Satu, 30 Zulhijjah = 26 November (Sabtu):

Siri Ceramah Di Pasar BBB kembali diadakan dianjur oleh Persatuan Penduduk BBB dengan kerjasama Persatuan Peniaga Pasar dan Adun Bangi. Penceramah khas dijemput dari Kota Bharu, iaitu Ustaz Mohd. Khairul Ikhwan Mohd Zaki Al-Hafiz (24) atas tajuk Amalkan Islam Sebagai Cara Hidup Menyeluruh. Hadir sama di Majlis menyertai ceramah selain Adun Bangi ialah Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk BBB, Tuan Haji Mohd. Ghazali Abbas Timbalan YDP yang juga adalah Pengerusi Surau An-Nur, AJK-AJK Persatuan Ustaz Hashim Nawawai, Tuan Haji Hussein Yunus, Tuan Haji Sufi Munassir dan Ustaz Zul Nurain Guru Besar Sekolah LEPAI BBB.

Dr. Tajul Ariffin Nordin menggariskan tujuan mengadakan cemarah di Pasar pada pagi ini ialah untuk membiasakan masyarakat di Bangi mengamalkan cara hidup Islam, memberi bimbingan keagamaan dan bagi memungut dana bagi Sekolah Lepai yang bakal dijenamabarukan dengan nama `Kompleks Islam Bangi`. Menurut beliau, Kerajaan Negeri Selangor memulakan peruntukan sebanyak RM240,000/=. Berasaskan peruntukan ini kita perluaskan untuk mendapat sejumlah dana RM3 juta ringgit. Setakat in RM1.3 juta telah dibelanjakan dan rangka tiga tingkat bangunan telah didirikan.

Adun Bangi yang diminta menyampaikan ucapan, mengucap tahniah di atas penerusan ceramah di pasar yang telah dimulai oleh Pejabat Adun dan Persatuan Penduduk. Adun Bangi menyokong penuh di atas usaha yang dilakukan oleh Persatuan. Bahkan Adun mencadangkan dahulu pada permulaan menerima derma dari Kerajaan Negeri supaya ditambah pelan dari dua tingkat kepada tiga tingkat. Al-Hamdulillah bangunan sudah terdiri dan memerlukan penyempurnaan. Adun menyeru di ambang Hijrah, agar kita sama berhijrah dengan semangat dan tindakan bagi menyokong dan membantu segala kerja-kerja dan amalan kebajikan. Ambillah peluang sama membinanya dengan derma kebajikan bagi menyempurnakan bangunan yang menjadi sebagai mercu tanda di kawasan seksyen 16. Bangunan ini memberi peluang bagi anak-anak kita mendapat pelajaran, bahkan menggunakannya untuk kegiatan kebajikan dan kemasyarakatan.

Sementara itu penceramah yang dijemput khas dari Kelantan Ustaz Mohd Khairul Ikhwan Mohd Zaki Al-Hafiz, melahirkan sokongannya mengadakan ceramah di pasar sebagaimana di Kelantan diadakan di tengah Bandar Kota Bharu. Pengajaran di masjid-surau adalah baik`, tetapi biasanya dihadiri oleh orang yang sama, sebab itu adalah wajar sekali sekala disampaikan pengajaran di pasar sebagai salah satu strategi dakwah yang baik dan mungkin lebih memberi kesan, terutama bagi kalangan yang tidak berkesempatan ke surau dan masjid oleh kerana halangan dan sebab-sebab tertentu.

Ustaz Khairul yang mendapat pengajian awal di Bunut Payung, Kelantan dan kemudian menyambung pengajian di Syria dan Yaman dan kini membuka Pusat Pengajian Al-Hadith di Pengkalan Chepa melahirkan kekagumannya tentang minat yang tinggi penduduk negeri Selangor terhadap ceramah dan pengajaran-pengajaran di masjid dan surau di Selangor yang mengatasi negeri-negeri lain termasuklah Kelantan. Beliau menyebut bahawa beliau turut menghadiri di masjid di Terengganu yang berpuluh juta harganya, tetapi dihadiri oleh sejumlah 7 orang jamaah. Mereka adalah dari kalangan yang uzur seperti gaut, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Tiada kalangan muda yang menghadiri dan mungkin sengaja diusahakan agar kalangan muda tidak menghadirinya dan tidak mencintai masjid.

Di Selangor di tempat-tempat beliau dijemput mengajar dan berceramah, bukan saja jamaah biasa yang hadir, tetapi pekerja-pekerja yang baru pulang dari kerja singgah dan bersama berjamaah dan mengikuti pengajaran. Mereka bersama selepas menyalin seluar dengan kain pelikat atau terus dengan pakaian pekerjaan. Lantaran itu kelihatan yang berpakaian berlogo seperti Hitachi, Okomuru, Proton, Meditop, Oxiden, York dan sebagainya. Pada hari Jumaat pula para jamaah bukan saja datang ke masjid dengan kereta biasa, tetapi dengan kenderaan-kenderaan syarikat dan lori-lori berbagai jenama yang pemandu-pemandunya singgah menunaikan Jumaat. Demikianlah semaraknya Islam di Selangor.

Berhubung dengan Hijrah Ustaz Mohd Khairul tidak setuju dengan penggunaan istilah `Ma`al Hijrah`, kerana istilah ini terputus dan tidak memesrakan kita dengan Rasulullah. Menurut Ustaz Mohd Khairul, ``Kita di Kelantan menggunakan Hijratur-Rasul` menjadikan kita mesra menyebut Rasulullah, sedangkan Ma`l Hijrah terputus.

Ustaz Mohd. Khairul menganjurkan kita teguh dengan keimanan kepada Allah dan bersyukur kepadaNya , kerana dengan keimanan dan bersyukur kita dapat merasa manisnya keimanan dan bahagianya kehidupan.

Sekian.

November 26, 2011

Spekulasi Dan Strategi Pilihanraya. BN Masuk Gelanggang Dalam Keadaan Tempang ?

BBB, 30 Zulhijjah = 26 November (Sabtu):

Bila tarikh pilihanraya menjadi topik perbincangan politik kerana tempoh mandate bagi pilihanraya ke 12 hampir matang – kurang tiga bulan empat tahun. Sudah menjadi tradisi di Malaysia, bahawa menentukan tarikh piliharaya adalah hak Perdana Menteri. Spekulasi pilihanraya timbul dengan melihat berbagai-bagai petunjuk yang berkait dengan pentadbiran Perdana Menteri dan isu semasa yang mempunyai kaitan rapat dengan pilihanraya. Sebelum dari ini bertiup kencang mengenai spekulasi pilihanraya yang dijangka pada bulan November ini, tetapi spekulasi meleset. Bulan November tidak wajar, kerana sebahagian besar dari jamaah haji belum pulang. Hak mereka mengundi tidak boleh dikesampingkan begitu saja. Jika dilakukan ia akan menempelak pihak Kerajaan. Faktor tengkujuh juga boleh menjadi halangan bagi kelicinan perjalanan pilihanraya.

Oleh kerana jangkaan pilihanraya tidak berlaku pada bulan November, maka spekulasi tentang pilihanraya berkemungkinan pada bulan Mac 2012 tahun hadapan. Setelah betul-betul mandate genap empat tahun. Ini didasarkan kepada banyak faktor. Ada bukti kea rah ini. Misalnya BN berusaha menarik sokongan dengan menghapuskan ISA, walaupun semangat Isa berkekalan dalam akta baru yang menggantinya. Di luar dugaan - pendekatan politik yang boleh dipersoalkan dari segi kematangan, BN membahagikan

Wang RM100/= bagi setiap pelajar. Bayangkan jika pembayaran dibuat terhadap dua juta pelajar, sesungguhnya pembayaran berjumlah RM200,000,000 dibelanjakan. Adakah wajar pemberian kepada semua anak-anak dilakukan sedemikian ? Tidakkah ini berunsur rasuah politik ? Tidakkah wajar jumlah ini digunakan – misalnya untuk membina Sekolah, menambahkan peralatan-peralatan di Sekolah-sekolah yang kekurangan, membantu pelajar-pelajar yang benar-benar miskin dan sebagainya.

Malangnya di tengah keghairahan pihak BN untuk mengadakan pilihanraya timbul isu kegagalan Projek Feedlot yang memakan biaya RM250 juta, kegagalan makmal computer di hampir semua Sekolah di Malaysia, kecuali beberapa buah sekolah sahaja dilaksanakan, isu wang KWSP RM55 bilion diluluskan pinjaman tanpa sokongan jaminan kerajaan, isu Program Pembasmian Kemiskinan yang melibatkan RM691.52 juta yang 54.4% mengalami kegagalan, kenaikan harga barang, berlaku berbagai ketirisan dan hutang Negara menurut laporan terkini Bank Negara Malaysia pada 30 Jun 2011 bahawa hutang Kerajaan Persekutuan kini mencecah sebanyak RM437 bilion, kalau tak terkendali Negara bakal menuju muflis. Adakah dengan isu-isu sedemikian BN mampu mengadakan pilihanraya ? Untuk mengabui mata rakyat, kita melihat tiba-tiba BN cuba menunjukkan ketelusan dengan memberi hak menganjur dan menyertai perhimpunan Aman dan membenarkan pelajar-pelajar universiti menyertai politik yang semuanya diikat syarat-syarat ketat yang belum tentu bersifat bebas. Perubahan drastic dari segi luaran ini, adalah untuk menutup kelemahan yang ketara bagi mendapat sokongan politik.

Dengan kelemahan yang berlaku di dalam BN, jika diadakan pilihanraya dalam masa kini, maka BN akan memasuki medan pilihanraya dalam keadaan tempang. Kita menjangka rakyat terutama di Bandar dan golongan muda tidak mudah terpedaya dengan umpanan pilihanraya sponton yang dilakukan oleh BN. Mereka faham dengan masalah yang dialami Negara akibat kebororosan, salah laku dan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan. Mereka mungkin mendapat sokongan sebahagian dari rakyat di Sabah dan Sarawak, tetapi sukar mendapat keyakinan sebahagian besar rakyat di Semenanjung.

Jika BN mengadakan pilihanraya dalam bulan Mac 2012 dan Pakatan bersepakat tidak ikut mengadakan pilihanraya bersama, ianya merupakan satu strategi yang baik, kerana dengan menghadapi pilihanraya bulan Mac dan di tangan Pakatan Rakyat sudah mempunyai 4 negeri, andainya Pakatan dapat memenangi 2 negeri, katakana dengan menawan balik Perak dan memenangi Negeri Sembilan, maka ianya satu modal yang mengkuhkan Pakatan mengekalkan, bahkan menambahkan sokongan rakyat dan kekuasaan negeri. Andainya pihak Pakatan menguasai peringkat Federal, maka ianya isyarat keruntuhan secara total BN pada peringkat negeri. Jika pihak BN masih belum berkeyakinan mendapat sokongan rakyat dengan tawaran-tawaran spontan dan mengadakan pilihanraya pada pertengahan tahun 2012, maka Pakatan perlu menunjukkan kesepakatan yang tinggi bagi mengalahkan BN yang cuba memulih ketempangan yang dialami selama ini.

Sekian.

November 25, 2011

``Selangor Perlu Cemerlang Dari Segi Pengauditan``: Titah Sultan Selangor Semasa Merasmikan Wisma Audit Negeri Selangor

Shah Alam, 28 Zulhijjah 1432 = 24 November (Khamis):

Jabatan Audit Negara dengan Ketua Audit Negaranya – Tan Sri Ambrin Buang yang terkenal dengan integritinya menjadikan Adun Bangi rasa terpanggil untuk sama menghadiri ke Majlis Perasmian Bangunan Audit Negeri Selangor yang disempurnakan oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Adalah diharapkan dengan terdirinya Wisma Audit Negeri Selangor lebih memperkukuhkan pengauditan dan integriti negeri Selangor.

Dalam titahnya Tuanku mengucap tahniah di atas pembinaan Wisma Audit Negeri. Baginda berharap dengan adanya bangunan yang selesa lebih memberi accountability dan accuracy dalam urusan pengauditan di negeri Selangor. Tambah Baginda, ``Dengan pengauditan dapat mengenal pasti ketepatan dan kelemahan aspek-aspek tertentu.``

Baginda mahu semua pihak dari Jabatan dan Agency hendaklah mengambil perhatian dan iktibar dari cadangan dan kritikan dari jabatan Audit bagi memperbaiki jabatan dan agency masing-masing,``

Baginda juga tidak mau amalan buruk seperti boros dan ketirisan berlaku, setiap sen menurut baginda ,``Adalah value for money.`` Menurut Baginda,

`Janganlah menganggap urusan audit sebagai mengganggu dan meyusahkan,`` Sebaliknya titah Baginda, ``Ia hendaklah dilihat sebagai cara bagi keselamatan, membetul dan membaiki segala perkara yang perlu dibaiki. Baginda memuji tentang penilaian yang dibuat terhadap negeri Selangor sebagai bersih dari segi pengauditan dan prestasi sedemikian harus dikekalkan.``

Baginda menegur kritikan Profesor Dr. Abdul Aziz Bari yang mengatakan akaun MAIS tidak diaudit, keadaan sebenarnya adalah diaudit (Audit 2010 MAIS ada dilapor di dalam Sidang Dewan Negeri baru-baru ini dengan pendapatan zakat 2010 RM343,555,566 berbanding 2009 sebanyak RM295,597,718 - Tiada Laporan Audit JAIS).

Mengakhiri titah, Baginda mahu perjalanan kerajaan, agency dan koporat bergerak sebagai ``Good Coorporate Government, telus dan Cemerlang.``

Sebelum daripada itu selepas mempersembahkan ucapan kepada DYMM Tuanku dan mohon bercakap kepada hadirin yang antaranya hadir ialah YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, Tengku Panglima Setia Raja Sulaiman bin Al-Marhum Sultan Salahuddin, Dato` Khusrin Munawi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Exco-Exco, Orang-Orang Besar, Adun-Adun, Pegawai-Pegawai Kerajaan dan orang ramai, Tan Sri Ambrin Buang menyatakan, bahawa Wisma Audit Negeri Selangor adalah bangunan ketiga didirikan selepas Perak dan Negeri Sembilan. Bangunan di Selangor adalah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke 9. Menurut Tan Sri Amrin, ``Audit wujud sejak abad ke 19, ianya wujud bersama wujudnya Negeri-Negeri Selat. Pada 1932 terletak di bawah Director of Colonial Audit di Kuala Lumpur. Audit Negara dan Negeri Bebas dan professional dan bertanggungjawab kepada Parlimen dan Dewan Negeri.

Menurut Tan Sri Ambrin pengauditan memerlukan suasana yang kondusif dan memerlukan bangunan yang sesuai dan selesa sebagaimana sekarang ini. Sebelum ini, Audit Negeri Selangor menumpang di Bangunan SSAAS sejak 1981-2003. Dari 2003 hingga 2011 di Wisma Darul Ehsan. Biaya bagi bangunan ini ialah RM18.5 juta bagi kos tanah. Menurut Tan Sri Ambrin, Bangunan Audit Negeri Selangor mula didirikan pada April 2008 dan siap pada 6 April 2011 dan penyerahan kunci oleh JKR dilakukan pada 26 April 2011. Dari segi arkitek bangunan Audit Negeri Selangor ini adalah bercirikan Islam bersifat futuristic dan berdaya maju.. Kedudukannya di tengah-tengah Bandar Shah Alam yang memudahkan hubungan dengan berbagai pejabat Kerajaan, swasta dan berbagai agensi kerajaan. Sesungguhnya bangunan ini adalah selesa dan canggih dan rakyat berbangga dengannya dan diharap melalui bangunan baru perkhimatan audit akan lebih eficien dan lancar.

Selepas Baginda Sultan berucap, baginda menandatangani plug menandakan Pembukaan Rasmi Wisma Audit Negeri Selangor. Selepas itu Baginda melancarkan buku yang dihasilkan oleh Tan Sri Ambrin Buang yang berjudul:

Issues & Challenges In Public Sector Auditing In Malaysia.

Baginda kemudian diiringi Tan Sri Ambrin Buang, YAB Tan Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, Dato` Khusrin Munawi Setiausaha Kerajaan Negeri dan pembesar-pembesar melawat bangunan Audit Negeri Selangor. Majlis diakhiri dengan santapan dan jamuan.

Sekian.

November 24, 2011

Ibu Bapa Dan Masyarakat Prihatin Terhadap Anak-Anak

BBB, 23-25 Zulhijjah = 19-21 November (Sabtu-Isnin):

Ibu bapa dan masyarakat amat prihatin dan memberi perhatian yang tinggi terhadap anak-anak dalam masa cuti Sekolah. Berbagai-bagai program diaturkan untuk mereka agar mereka dalam perhatian dan tidak terabai. Antara program yang Adun hadir yang melibatkan anak-anak dan pelajar-pelajar ialah:

a) Penyampaian Anugerah Cemerlang 2010 Taman Zamrud

Majlis anjuran Persatuan Kebajikan Penduduk Taman Zamrud (PKPTZ) bagi meraikan pelajar-pelajar cemerlang berbagai peringkat bertempat di Pusat Komuniti di situ. Majlis bermula 2.30 petang 19 November (Sabtu) itu dihadiri bersama Adun ialah En. Suhaimi bin Baharom Penaung yang juga Pemangku YDP dan AJK. Dalam ucapannya menyatakan bahawa Program Anugerah Cemerlang adalah merupakan acara tahunan. Pada tahun ini tujuh pelajar cemerlang dipilih menerima anugerah. Adun Bangi mengucap terima kasih atas jemputan dan mengucap syabas kepada pelajar-pelajar cemerlang. Harap mereka maju jaya dalam pelajaran dan kerjaya. Mereka yang disampaikan Anugerah oleh Adun ialah:

BIL

PERINGKAT

NAMA

PENCAPAIAN

1

UPSR

Siti Amyra Mohd Yazid

4A 1B

2

SPM

Tan Han Yang

9A 1B

3

STPM

Lew Turk Foo

2A 3B

4

Dip. Multimedia

Kek Kok Foo

CGPA 3.2

5

Dip Multimedia

Mohd Reffi Hidayat Roslan

CGPA 3.5

6

Sarjanamuda Perubatan

Nurul Farah Adnan

Lulus

7

Bachelor of Science

Anusheya A/P Suppiah

Honours


Adun Bangi menyampaikan Anugerah dengan diiringi En. Suhaimi dan lain-lain. Adun juga turut menyampaiakan sumbangan kepada Pemangku YDP bagi Tabung Persatuan.

b) Sukanika Sempena 5 Tahun Damai Impian Dihuni

Perumahan Damai Impian, Seksyen Tiga BBB relatifnya baru dan dihuni sejak 5 tahun lalu. Persatuan Penduduk dan Surau yang diketuai Tuan Haji Sufi Munassir & AJK mengatur program menyambut 5 tahun usia secara sukanika yang melibatkan kanak-kanak, remaja dan dewasa lelaki dan perempuan. Pada malamnya (19 November) diadakan Ceramah Perdana selepas maghrib, iaitu selepas Adun merasmikan sambutan. Pada pagi 20 November diadakan Senaman Kecergasan dan acara sukaneka.

Ketika menyampaikan ucapan perasmian, Adun memuji semangat penduduk yang bersatu padu dan sering mengadakan kegiatan termasuk sambutan dan sukaneka. Adun berharap penduduk Damai Impian terus berusaha agar benar-benar mencapai kedamaian dan kejayaan - insya Allah.

Selepas perasmian oleh Adun di surau sebuah ceramah disampaikan oleh Ustaz Qushari Hamdan dari Seremban.

c) Penghayatan Islam Di Kalangan Remaja di Taman Melor

Penghayatan Islam 2011 dianjurkan oleh pihak Surau Al-Muhajirin yang diketuai Tuan Haji Abdul Aziz Abu Bakar dan saudara Hanafiah. Majlis berfokus kepada golongan remaja di Taman Seri Melor. Seramai 25 orang remaja berumur 11 – 16 tahun menyertai (11 perempuan dan 14 lelaki.). Kebanyakan remaja dari Taman Melor di samping dari Seksyen 7 dan Kajang Impian. Program dibimbing oleh Ustaz Musa, Ustaz Shafizi dan Ustaz Fakhrul. Kursus Penghayatan Islam yang berlangsung selama 2 hari 3 malam itu bersifat brain storming sepanjang hari Sabtu (19 November) di Surau al-Muhajirin, pada hari Ahad mereka retreat ke Kem Impiana Country Resort di Semungkis, Hulu Langat dan kembali meneruskan Penghayatan di Surau Al-Muhajirin hingga ke malam Isnin. Pada malam terakhir ini Adun dijemput sebagai Perasmi Majlis Penutup yang diisi dengan solat berjamaah dan Majlis Penutup. Adun di dalam Ucapan Penutup memuji Ibu Bapa dan AJK Surau yang diketuai Tuan Haji Abdul Aziz dan saudara Hanafiah yang menyusun program bagi anak-anak secara pendekatan keislaman. Majlis berakhir dengan penyampaian cenderamata dan sijil penyertaan.

d) Masjid Berkembar Haji Mat Saman Anjur Acara Berkhatan

Menurut Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampung Sungai Ramal Luar, sebagaimana tahun lepas, maka pada tahun ini (19 November – Sabtu) Masjid sekali lagi menganjurkan Program Berkhatan pada cuti Sekolah. Penyertaan pada tahun ini adalah menggalakkan, 19 orang murid menyertai Acara Berkhatan berkenaan. Hadir sama ialah Tuan Nazir Masjid Tuan Haji Nik Pa Nik Leh dan AJK-AJK yang lain. Pasukan Perubatan Dari Medical Centre menjalankan Acara Berkhatan yang diketuai oleh Dr. Azman dan pembantu-pembantu.

Adun Bangi datang menziarah dan menemui anak-anak yang menunggu giliran untuk berkhatan dan memberi semangat pada mereka, namun ada yang sihat segar dan gagah sepatutnya tidak takut dikatakan enggan dan terpaksa dikemudiankan giliran, namun tiba giliran menangis dan mengaduh, tapi yang bertubuh kecil tenang dan tidak bermasalah bila tiba giliran. Walau apa pun tersenyum kita melihat gelagat anak-anak yang melalui proses pendewasaan. Dimaklumkan kepada Adun kemudiannya al-Hamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.

Sekian.

November 23, 2011

Pertandingan Futsal Sempena Cuti Sekolah: Kerjasama Pejabat Adun Dengan Hitachi

BBB, 23 Zulhijjah = 19 November (Sabtu):

Tutup Sekolah bermula dari 19 November dan berterusan hingga akhir Disember. Anak-anak berada di dalam tempoh cuti panjang, mereka tidak seharusnya dibiarkan dengan masa yang tidak terancang, kerana jika demikian merugikan mereka, sebab itu ibu bapa, pihak Sekolah atau PIBG dan pelajar sendiri seharusnya menyusun kegiatan yang seharusnya dipenuhi dalam masa terluang ini. Selain dari bersedia dengan pengajian yang akan ditempuhi bila buka Sekolah nanti, membaca janganlah ditinggalkan. Kunjungilah perpustakaan atau kedai-kedai buku untuk membeli buku-buku. Ibu bapa seharusnya merancang membawa anak-anak bercuti untuk membawa kelainan angin dan pengalaman baru kepada anak-anak. Pihak Sekolah dan PIBG juga wajar menyusun program kepada anak-anak misalnya program sukan, kerja amal dan kursus. NGO, Persatuan dan pihak Masjid-Surau juga wajar mengatur kegiatan bagi anak-anak setempat.

Seawal tutup ini pihak Lajnah Sukan Adun dipengerusi saudara Dahari bersama HITACHI Bangi dipengerusi saudara Zamzuli menganjurkan Peraduan Futsal untuk dua kategori A bawah 12 tahun dan B bawah 10 tahun pada hari ini bertempat di Galaxcy Futsal, Kompleks Sukan, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi. Menurut saudara Dahari Embong Pengarah Peraduan, 20 pasukan mengambil bahagian. Kumpulan A terdiri dari Strike Force, Super Triple 9, LBJB All Stars, Pelangi Semenyih dan Seksyen 7.Tiap pasukan ini dipilih menentang pasukan yang dipilih dari pasukan Angry Birds, LBJB A, Super Junior, L.A.Galaxy dan Bangi 3 F.C.

Manakala Kumpulan B terdiri dari Sunway Semenyih, Citra F.C, Shabu-Shabu F.C dan Perdana F.C melawan pasukan-pasukan LBJB B, Taman Sri Haneco, Seksyen 7 dan Pelangi Semenyih. Kebanyakan pasukan adalah dari Bandar Baru Bangi. 2 pasukan teratas bagi setiap kategori layak ke peringkat separuh akhir. Yang menang dari setiap pasukan layak memasuki peringkat akhir Pertandingan berterusan dari jam 8.30 pagi sehingga jam 1.30 tengahari. Pertandingan berkesudahan dengan keputusan:

Bawah 10 tahun di menangai Johan LBJB B (Hijau) dan Naib Johan LBJB A

Bawah 12 tahun dimenangi Johan Super Triple 9 (Kuning) dan Naib Johan Citra FC(Merah). Hadiah bagi Johan RM200 dengan medal dan hamper, Naib Johan RM100 dengan medal dan hamper, bagi pasukan tempat ketiga dan empat mendapat medal dan hamper.

Dalam ucapan penutup pertandingan Adun Bangi mengucapkan terima kasih terutama kepada pihak Hitachi, kerana sama menganjurkan pertandingan. Menurut Adun, ``Kegiatan sukan adalah antara kegiatan utama diberi perhatian oleh Adun kepada kalangan remaja sebagaimana diadakan pada hari ini. Ini adalah bertujuan antaranya mengisi masa lapang yang sekarang adalah bermulanya cuti Sekolah.`` Menurut Adun lagi, ``Banyak lagi kegiatan yang dibuat. Antaranya kem motivasi, Back To School, Penyampaian Hadiah Cemerlang, Remaja Masjid-Surau, Acara Khatam Qur`an dan Berkhatan.``

Adun mengucapkan tahniah kepada yang menang dan yang tak menang boleh cuba lagi dalam peraduan-peraduan yang akan dianjurkan. Terima kasih juga kepada semua yang mengambil bahagian dan yang memberi kerjasama bagi menjayakan peraduan pada hari ini. Adun Bangi menyampaikan hadiah-hadiah bagi semua kategori dan bergambar kenangan.

Sekian.