January 21, 2012

Berbalah Dengan Burung?

Anekdot:

Pohon ciku di pinngir rumahku yang dahannya runtuh kerana lebat buah hampir menimpa pekerja di pejabatku yang balik dari kerja tiga bulan dulu, kini kembali berbuah dengan lebatnya. Bimbangkan dahan sekah dan jatuh lagi, sebaik sebahagian dari buahnya tua, isteriku menyuruh seorang pekerja Indonesia memanjat dan memungut buah-buah berkenaan. Berbakul-bakul buah berkenaan dapat diturunkan ! Walau macam mana buah dipokok masih banyak.

Kami bukanlah makan sangat buah ciku, kerana telah begitu biasa, buahnya berterusan Cuma sedikit dengan banyak, tapi bagi isteriku, buah-buah ini adalah sebagai buah tangan, dibersih dan dibasuh sebelum diperam, kemudian dibahagi-bahagikan ke rumah-rumah jiran, dibawa balik oleh anak cucu bila mereka datang dan bila isteriku keluar mengajar atau bertandang buah ciku ini kadang-kadang dibawa sebagai buah tangan. Tidak pernah terlintas dalam fikiran kami untuk menjualnya.

Pokok ciku ini walaupun tidaklah penting, sekurang-kurangnya menghibur dan mendamaikan fikiran. Hampir setiap petang selepas asar, kalau tak ada kerja lain, isteriku mengait buah ciku dengan galah yang dipasang dengan keratan botol plastic untuk menurunkan buah. Isteriku memberi fatwa, ``Buah ciku tak boleh dikait dan dibiarkan jatuh ke tanah. Kerana ianya akan rosak dan tak masak.`` Sebab itu isteriku mengaitkannya dengan hati-hati dan menurunkan ke bawah tanpa rosak. Kadang-kadang bila ada masa dan untuk releks-releknya, aku ke tepi rumah membantu mengeluarkan buah dari botol di hujung galah yang dikait isteri untuk seketika, tapi tidaklah sampai mengait sama. Tolong-tolong pun sekadar merehatkan badan dan menenangkan fikiran.

Akhir-akhir ini buah-buah di atas pokok sudah cukup tua dan banyak yang masak. Ini mengundang banyak burung-burung datang termasuk kelawar di waktu malam. Bunyi bising burung-burung menggamatkan telinga. Rasa terhibur melihat isteri dari jendela tempat menjahitnya berdepan pokok ciku menghalau burung-burung yang memakan buah ciku yang cukup masak itu. Burung-burung berkenaan bagaikan tahu bahawa, suara menghalaunya setakat suara dan tidak menjejaskan keselamatan mereka. Sebab itu burung-burung berkenaan bagai tak kisah dan terus menyanyi kesukaan di ranting-ranting dan dahan-dahan.

Bahkan semasa mengait buah berkenaan, isteriku yang menghalau burung-burung berkenaan dengan suara tinggi dan mengacah burung-burung berkenaan dengan galah pun tidak takut pada ancaman. Jika sebahagian terbang lari, burung-burung berkenaan hinggap di atas bumbung-bumbung rumah berdekatan atau bertenggek di atas wayar telefon dan cable letrik sekejap, memandang-mandang dan terbang datang kembali. Aku yang melihat keletah isteriku berbalah dengan burung itu merasa lucu dan berkata.

``Biarlah buah-buah yang berbaki itu jadi rezeki burung. Kita dah banyak ambil, lagi pulak bukan makan sangat,`` tambahku,

``Burung-burung tu sekadar bawa mulut untuk makan dan tak ambil untuk simpan, banyak mana sangat yang nak dimakan, sedangkan kita, selain dari peram ciku, ada simpan beras dan ikan untuk makan, Burung tak simpan!``

Isteriku menjawab, ``Buah banyak masak, burung tak habis makan, kalau tak kait buah-buah gugur mengotorkan laman. Kalau dikait dapat juga diberi kepada jiran dan orang yang datang!``

``Ternyata isteriku bukan sangat menegah burung-burung daripada memakan buah-buah ciku yang masak itu. Sergahannya terhadap burung-burung sebagai reaksi spontan. Dia tidak mahu buah-buah berkenaan membazir dan seboleh-bolehnya rezeki Allah itu dapat dinikmati sebanyak dan seramai yang mungkin.``

Sekian.

BBB,
04 Muharram 1433
30 November 2011.

No comments:

Post a Comment