January 30, 2012

Mewar-Warkan Sambutan Tahun Baru Cina Di Dun Bangi & Kawasan Serdang

BBB, 05 Rabiul Awal 1433 = 29 Januari 2012 (Ahad):

Sambutan di atas akan diadakan:

  • Tarikh = 04 Februari 2012
  • Hari = Sabtu
  • Masa = Jam 2.00 – 4.00 petang
  • Tempat = Padang Awam, Kajang Raya
  • Semua tanpa mengira kaum dijemput hadir

Adalah menjadi tradisi bagi Adun Bangi dan juga Ahli Parlimen Serdang menyambut Tahun Baru Cina sebagai acara tahunan. Begitulah dengan kehadiran Tahun Baru Cina 2012 yang dikenali dengan Tahun Naga Air, maka kami akan adakan sambutan sebagaimana butir-butir di atas.

Bagi mengadakan sambutan ini penyampaian maklumat kepada masyarakat setempat di Dun Bangi dan kawasan Serdang diadakan dengan berbagai-bagai cara seperti memasang poster dilokasi dan tempat strategic, melalui blog dan memaklumkan secara lisan di berbagai pertemuan.. Satu kaedah permakluman yang menjadi tradisi dilakukan ialah turun ke pasar-pasar dengan mengedarkan pamflit-pamflit kepada pengunjung-pengunjung pasar. Pasar-pasar yang dipilih ialah pasar-pasar yang lebih bersifat multi-rasial dan orang Cina yang hadir lebih ramai.

Demikianlah pendekatan ini digunakan bermula dengan turun ke pasar pagi di Kajang, iaitu pada 28 Januari hari Sabtu, mulai jam 8.30 pagi. Saudara Abu Bakar turun lebih awal dan apabila Adun Bangi tiba dengan bantuan beberapa tenaga kerja kami mengedarkan pamflit kepada pengunjung-pengunjung yang datang. Edaran tidak terhad kepada kaum Cina sahaja, tetapi kepada semua kaum. Pasar Kajang dikira dari segi lokasi berada di bawah Dun Kajang, Kawasan Hulu Langat, tetapi sebenarnya bersempadan dengan Dun Bangi dan sebahagian daripada pengunjung-pengunjungnya adalah dari kawasan Dun Bangi. Sebab itu kawasan ini dipilih untuk penghebahan maklumat.

Keadaan yang sama berlaku apabila pada pagi Ahad 29 Januari, kami juga turun ke Pasar, Kwantong, Sungai Chua. Kawasan ini juga termasuk di bawah Dun Kajang, Kawasan Hulu Langat, tetapi pengunjung-pengunjung sebahagian dari mereka dari kawasan Dun Bangi yang bersempadan dengan Dun Kajang. Di Pasar Kwantung lebih ramai tenaga yang turun, Selain dari saudara Abu Bakar termasuk beberapa orang muslimat, tenaga-tenaga pembantu dari Taman Melor dan tenaga-tenaga dari DAP. Lebih kurang 2,000 pamflit berjaya diedarkan di pasar ini. Pengedaran maklumat di pasar ini adalah paling penting, kerana lokasi yang akan diadakan sambutan Tahun Baru Cina adalah di Padang Awam, Kajang Mewah adalah termasuk di bawah kawasan atau berdekatan dengan Sungai Chua, mereka yang akan hadir, khususnya dari kalangan kaum Cina adalah dari kawasan Kajang Mewah dan Sungai Chua. Berdasarkan sambutan yang pernah diadakan di kawasan sini sambutan yang diberi oleh penduduk adalah hebat. Diharap sambutan pada tahun ini tidak kurang dari yang pernah diadakan sebelum ini.

Sementara itu pada hari Sabtu malam Ahad 28 Januari Adun bersama saudara Azizi menghadiri Sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan oleh masyarakat Cina di Pekan Bangi. Sambutan diadakan di Laman Budaya, Kg. Baru Cina di sini diketua Ketuai Kampong di sini iaitu En. Lau dan AJK. Majlis bermula dari jam 7.00 petang, tetapi Adun hadir jam 8.00 malam. Majlis disambut begitu meriah yang diisi dengan ucapan, nyanyian dan pembakaran mercun. Adun Bangi diberi penghormatan menyampaikan ang paw kepada warga-warga emas di sini yang berjumlah lebih kurang 50 orang. Pada malam ini Adun juga memberi maklumat tentang Sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan oleh Adun Bangi dan Ahli Parlimen Serdang pada tarikh dan tempat yang disebutkan. Beberapa tempat lagi dijangka kami akan turun menyampaikan maklumat sebelum tarikh sambutan tiba.

Sekian.

No comments:

Post a Comment