January 24, 2012

Menyantuni Warga Emas Dalam Perjalanan Kemanusiaan Dan Keinsafan

BBB, 26 Safar 1433 = 20 Januari 2012 (Jumaat):

Antara program yang memberi kesan yang baik terhadap warga emas dan kami sebagai warga kerja, ialah Skim Warga Emas dan Jom Shopping. Setiap hari kami berurusan dengan skim ini, kadang-kadang termasuk juga hari tak bekerja (mengunjungi mereka). Urusan berkenaan ialah mendaftar mereka, mengeluarkan bayaran bila berlaku kematian, meraikan mereka melalui program Jom Shopping, bahkan menziarah di kediaman mereka. Warga kerja kami setakat yang Adun alami amat menyantuni mereka, semacam timbul keinsafan dihati mereka mendepani warga-warga emas berkenaan yang datang mendaftar, biasanya diiringi keluarga atau langsung dokumen dibawa keluarga. Mereka amat menyantuni mereka.

Program Jom Shopping walaupun peruntukan yang diberi adalah kecil, tetapi memberi impak yang baik, sama ada terhadap warga emas atau kami warga pekerja. Setiap kali untuk mengadakan Jom Shopping, warga kerja di Pejabat Adun sibuk mengatur program dengan menghubungi warga emas/keluarga melalui telefon berhari-hari untuk melengkapi jumlah yang mau dijemput bagi sesuatu siri, iaitu dalam lingkungan 100 orang, mereka berurusan dengan super market yang bakal dikunjung dan menyediakan keperluan pada hari berkunjung di pejabat untuk mendaftar sebelum bertolak ke super market dan urusan setengah harian mengiringi mereka di super market. Kadang-kadang Jom Shopping tidak berakhir di kompleks membeli belah, tetapi perlu mengunjungi yang tidak dapat hadir ke rumah-rumah mereka bagi menyampaikan barangan Jom Shopping.

Demikianlah siri terakhir Jom Shopping yang kami adakan ialah Jom Shopping sempena Tahun Baru Cina di Econsave Jalan Reko, Dun Bangi pada 17 Januari 2012. Sejumlah 60 orang warga emas warga Cina dijempur menyertai Jom Shopping. Menyantuni mereka memberi kesan yang baik, bahawa mereka dihargai dan amat berterima kasih di atas perlaksanaan skim, walaupun jumlah tidak sebanyak mana. Warga kerja kami melayan mereka dengan baik dan mesra, bahkan bergambar dengan mereka.

Setakat ini pihak pejabat Dun Bangi berjaya mendaftar warga emas di Dun Bangi adalah sejumlah 1918 orang dan setelah 7 kali Jom Shopping diadakan seramai 573 orang daripada mereka telah dijemput menyertai Jom Shopping. Ini bererti 1,345 orang masih belum dipanggil menyertai. Daripada 573 yang dipanggil masih ada yang ketinggalan tidak dapat hadir oleh kerana masalah kesihatan – uzur. Atas inisiatif warga kerja di Pejabat Adun, untuk menyelesaikan urusan warga emas yang tidak dapat hadir pada beberapa siri yang lepas, mereka sengaja mengadakan program khas `Jom Shopping Istimewa Warga Emas.`` 30 orang warga emas dijemput terus ke Econsave, Jalan Reko pada 18 Januari (Rabu) dan berjaya menarik kehadiran mereka atau wakil mereka menyempurnakan `Jom Shopping Istimewa` yang tertangguh itu. Walau bagaimana masih terdapat sepuluh orang daripada mereka atau wakil mereka yang tidak dapat hadir

Ini menyebabkan warga kerja di Pejabat Adun mengambil keputusan membeli barang-barang standard seharga RM100/= bagi setiap orang dan membawa pulang ke pejabat setelah separuh hari mereka berurusan di Econsave berkenaan. Pada petangnya mereka sekali lagi menghubungi waris warga emas yang tidak dapat hadir itu untuk datang ke pejabat bagi mengambil barang-barang yang sedia dibeli bersama extra hadiah yang disediakan. Seramai empat orang daripada mereka datang mengambil barang-barang berkenaaan.

Adalah hasrat kami untuk menghabiskan semua barang-barang yang dibeli untuk warga emas sebelum tutup Tahun Baru Cina yang agak panjang itu (Sabtu-Selasa), sebab itu warga kerja di pejabat kami mencadangkan agar menghantar barang-barang berkenaan ke alamat rumah masing-masing. Untuk memudahkan pemergian ke alamat masing-masing kami menghubungi Ketua Kampong, iaitu Tuan Haji Zakaria Bujang Ketua Kampong, Kampong Bangi untuk memandu kami ke rumah-rumah warga emas yang kami akan ziarah yang kebetulan mereka semua di dalam kariah Ketua Kampong berkenaan.

Menziarah warga-warga emas sebagaimana kami lakukan hari ini dan berdasarkan ziarah-ziarah yang lepas adalah pengalaman menyusuri denai-denai keinsafan, betapa mendepani kebanyakan mereka yang uzur menginsafkan diri dan bersyukur dengan nikmat kesihatan diberi Allah, seumur diri ramai daripada mereka diziarahi keuzuran. Ada yang berada dipembaringan berterusan, ada berada di atas roda terpaksa ditolak, ada yang bertongkat, setengahnya dapat bergerak tetapi di dalam keadaan yang payah, ada yang di dalam keadaan yang lemah kerana mengalami sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Amat menginsafkan kita dan terasa kefanaan hidup yang sementara ini.

Demikianlah pada petang Jumaat ini Adun bersama dengan dua warga kerja di Pejabat Adun disertai Tuan Haji Zakaria dan isterinya kami mengunjungi warga-warga emas Tuan Haji Ya`kob bin Yusof dan isterinya Hajah Rabiah yang juga warga mas yang dalam keadaan uzur sukar bergerak. Mereka menerima baik kedatangan kami. Menurut Hajah Rabiah, mereka tinggal berdua, tetapi ada anak dan cucu yang prihatin menjaga mereka, tetapi semasa kehadiran kami mereka keluar. Kami teroja dengan keadaan rumah yang sederhana, tetapi terurus bersih dan mempunyai taman yang terjaga. Kedamaian bermukim di sini. Kami juga menziarah dan menyampaikan barangan ke rumah Pn. Mariah, ibu tunggal yang juga dalam keuzuran dan berterima kasih dengan kehadiran kami. Kami juga mengunjungi rumah Puan Khadijah yang sakit buah pinggang. Beliau menunjukkan kepada kami betapa lengannya berkematu kerana terpaksa dicucuk kerana memberih darah dan terpaksa berulang ke klinik untuk dylisis tiga kali seminggu. Bayangkan kesukaran yang dihadapi Puan Khadijah. Warga-warga mas yang lain yang juga dalam keadaan uzur ialah Puan Maimon Othman dan En. Sudin Toma. Dalam menziarah ini kadang-kadang kami menerima berita sedih tentang warga emas yang meninggal setelah kami ziuarah atau sebelumnya datang berjom shopping bersama kami. Terasa betapa rapuhnya kehidupan ini. Walau macam mana satu kemesraan yang kami dapati, walaupun warga-warga emas yang kami lawati, betapa uzurnya mereka, mereka mendapat sokongan kasih saya dan prihatin dari anak-anak, cucu-cucu dan keluarga mereka. Mereka hidup dalam keadaan kasih sayang. Perjalanan kami dapat kami sifatkan sebagai perjalanan kemanusiaan dan keinsafan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment