January 1, 2012

Menyambut Tahun Baru 2012 Dengan Azam Dan Pengisian: Gagasan PESURAT Mekanisme Membina Peradaban Dan Tamadun Ummah

BBB, 07 Safar 1433 = 01 Januari 2012 (Ahad):

Tahun 2011 berlalu dan menutup catatan peristiwa dalam lipatan kenangan. Tahun 2012 membuka lembaran baru disambut dengan azam bagi menjadikannya tahun yang sarat dengan program dan perancangan beriringan doa dipanjangkan umur, dikurnia kesihatan dan kemudahan dalam urusan. Beberapa tanggungjawab dan perancangan besar yang penulis berazam melaksnakannya – Insya Allah:

1) Meneruskan khidmat sebagai Wakil Rakyat di Kawasan Dun Bangi semampu dan sebaik mungkin hingga ke saat terakhir mandate yang diberi. Tugas ini telah dilakukan sejak mula mandate diterima hingga kini. Bukti-bukti dapat dilihat dan dinilai dari rakaman-rakaman seperti di Blog, bulletin dan rekod-rekod yang lain.

2) Menerbit buku `Bangi Bandar Ilmu` yang proses penerbitannya sudah sampai peringkat akhir. Biaya penerbitan adalah dari peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan negeri Selangor melalui Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan. Beberapa penerbitan yang lain akan menyusurinya. Misalnya sepanjang terlibat dalam politik dan menjadi Wakil Rakyat (1999-2004 - Dun Kajang) & (2008-2012 – Dun Bangi) dan antara keduanya banyak puisi-puisi yang penulis telah hasilkan. Puisi-puisi ini akan diterbitkan insya Allah dengan judul – Bangi Dalam Puisi: Politik Dan Rohani. Sebuah buku Anekdot yang bahan-bahannya terdapat di dalam Blog akan juga diterbitkan. Penulis juga mempunyai banyak manuskrip dihasilkan oleh penulis semasa menjadi pensyarah di UKM yang akan dinilai dan diterbitkan. Sebuah Kitab Tertua di Malaysia yang merupakan penemuan hasil dari penulisan tesis penulis di UKM akan diterbitkan.

3) Berazam memperkukuhkan Institusi Penerbitan di Pejabat Dun Bangi Sekarang. Asas bagi institusi ini sudah wujud dan dikenali dengan `Sekretariat Bangi Bandar Ilmu` dengan tenaga kerjanya sudah wujud, bahkan buku `Bangi Bandar Ilmu` bakal diterbitkan dikendalikan Sekretariat Bangi Bandar Ilmu di bawah Adun Bangi. Penerbitan-penerbitan yang lain akan diterbitkan di bawah Penerbit Bangi Bandar Ilmu tersebut.

4)Sebagai Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm di Seksyen Satu Bandar Baru Bangi, penulis, AJK dan penduduk akan berusaha bagi mendirikan masjid ini ditapak yang telah digazetkan. Cabaran yang paling utama ialah untuk menghimpun dana masjid yang dijangka memerlukan dana sebanyak RM9 juta ringgit itu.

5)Dengan hadirnya tahun 2012 bererti Teori Takmilah Sastera Islam yang mula penulis bina 1992 masuk ke usia 20 tahun. Walaupun teori ini telah digunakan oleh pelajar-pelajar peringkat Doktor Falsafah, Sarjana dan ijazah pertama di beberapa universiti, penulis melihat banyak ruang lagi bagi pembinaan dan penyempurnaan. Penglibatan penulis di dalam politik membuka horizon baru dalam melengkap dan menyempurnakan Takmilah.

Dari perspektif mutakhir Takmilah boleh berada di dalam satu gagasan yang skopnya meluas yang melihat tradisi keilmuan dan keintelektualan seiring berperanan di dalam membina peradaban dan tamadun. Dengan melihat tradisi ini dari perspektif Islam, maka ianya adalah bertolak dari `Iqra` dan `surah/surat` (114+10 tempat di dalam al-Qur`an) yang kedua-duanya adalah istilah daripada al-Qur`an. Kedua-dua istilah membaca dan menulis adalah tradisi intelektual yang dituntut di dalam Islam.

Daripada istilah Surat dibina gagasan `PESURAT` yang membina peradaban dan Tamadun yang di dalamnya Takmilah adalah menjadi sebahagian daripadanya. PESURAT merujuk kepada penulis, ilmu, intelektual, seni dan rohani.

PESURAT dipecah kepada dua bidang utama, iaitu Peradaban dan Tamadun, sesungguhnya dalam istilah PESURAT itu mendukung aspirasi berkenaan

PESURAT = Orang menghasilkan Persuratan atau Penulis

SURAT = Hasil tulisan

A + T = Adab & Tamadun

* Sebab itu PESURAT ialah orang yang menyurat berhubung dengan Adab & Tamadun yang membina umat, agama dan Negara di dalam konteks dibicarakan ialah Umat dan Negara Islam.

Di dalam kata lain PESURAT salah satu mekanisme yang kukuh di dalam membina umat dan Negara Islam, bahkan melalui PESURAT akan membicarakan apa jua aspek Adab & Tamadun, termasuklah politik, perundangan, ekonomi, kebajikan, kemasyarakatan dan sebagainya.

Secara lebih detail kedudukan pembicaraan:

GAGASAN PESURAT

Adab

Tamadun

(Takmilah)

(Ilmu/Sains)

Seni

Ekonomi

Sastera

Geografi

Kerohanian

Matematik

Kemanusiaan

Perundangan

Akhlak

Perubatan

Tasawuf

Bahasa

Pendidikan

Teknologi

Kebajikan

Biologi

Psikologi

Fizik

Siasah

Kimia


Dan banyak lagi bidang yang wajar dimasukkan di bawah kedua-dua kategori di atas.

Aspek-aspek di bawah Peradaban boleh dibicarakan di bawah kerangka Teori Takmilah yang mirip membicarakan soal estetik yang bidang-bidang di bawah Peradaban mempunyai elemen estetik dan nilainya tidak boleh diukur secara angka kerana sifatnya yang subjektif dan relative, manakala aspek-aspek di bawah Tamadun adalah bersifat objektif dan boleh diukur secara angka.

Bangi Bandar Ilmu adalah mendukung Gagasan PESURAT yang menggalakkan tradisi intelektual agar menghasilkan ilmu pengetahuan yang bersifat Adab dan Tamadun di dalam membina Negara Islam yang disifatkan oleh al-Qur`an sebagai Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur dan Al-Baladil Amin. Literature yang boleh dimanfaatkan dalam mendukung gagasan ini ialah seperti Al-Madinah al-Fadilah oleh Al-Farabi, Al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh Al-Mawardi dan Al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun

Bandar Baru Bangi adalah Bandar Ideal yang dapat menepati Gagasan PESURAT. Dilihat dari segi Makro, realiti dan praktis maka di Bandar Baru Bangi dan sekelilingnya terdapat 18 buah pusat pengajian tinggi, terdapat berpuluh-puluh pusat penyelidikan dan berpuluh-puluh pula pusat latihan. Dengan begitu banyak institusi-institusi keilmuan, bererti begitu ramai yang membicarakan keilmuan berbagai-bagai bidang – termasuk pelajar sama ada bersifat Adab atau Sains Tulin. Banyak pula buku-buku yang dihasilkan yang memancarkan tradisi intelektual sama ada yang bersifat Adab atau Tamadun. Bandar Baru Bangi dari segi Gagasan PESURAT tidak semata-mata bergantung pada kewujudan institusi-institusi pengajian tinggi di Bangi dan sekitarnya, tetapi juga praktis kehidupan masyarakatnya yang mementingkan ilmu, berpuluh masjid dan ratusan surau yang padat dengan kegiatan keilmuan, persatuan, badan politik, NGO dan badan-badan yang terus-terusan mengadakan bimbingan, insentif dan galakan, lantaran itu setiap kali keputusan peperiksaan pelajar-pelajar mencapai keputusan cemerlang.

Dari segi mikronya Gagasan Pesurat dan bidang-bidang di bawahnya sama ada yang bersifat Adab dan Tamadun adalah dapat dilihat dari kegiatan Adun – misalnya sejak terlibat di dalam bidang politik sebagai Adun Kajang (1999-2004) dan Adun Bangi (2008-2012) dan tempoh antara keduanya (2004-2008 –kalah), banyak kegiatan-kegiatan yang dilakukan. Semasa Adun Bangi, kegiatan lebih berfokus. Lebih mengukuhkan kegiatan-kegiatan yang dilakukan kerana mempunyai rakaman baik bersifat gambar, lebih-lebih dalam bentuk blog penulisan. Semasa menjadi Adun Kajang tiga volume buku yang bersifat compile dihasilkan. Pada masa menjadi Adun Bangi artikal-artikal yang dihasilkan di dalam blog sahaja setakat ini berjumlah 1,680 artikal (setakat 1.1.2012). Ini tidak termasuk yang diterbit di tempat lain. Bahan-bahan ini sebagai bukti bagi pengisian Gagasan PESURAT, baik dari segi peradaban dan tamadun. Bahan-bahan ini boleh dipilih dan dimasukkan di bawah bidang atau slot Adab dan boleh di bawah Tamadun. Dengan ini dapat dilihat sejauh mana kesungguhan dan kekerapan di dalam menegak aspek-aspek peradaban bagi (10 jenis) dan tamadun (10 jenis) di dalam menegakkan peradaban dan Tamadun di Bangi. Dari perspektif ini dapatlah dilihat Gagasan PESURAT dan Takmilah adalah merupakan mekanisme pendekatan di dalam menegakkan Mini Negara Islam di Bangi.

Dilihat dari segi perbelanjaan tahunan - contoh (2011) sebanyak RM600,000 bagi Adun Bangi maka bidang yang paling utama ialah Kerohanian – masjid-surau (RM90,720), diikuti Pendidikan RM73,910 dan Kebajikan (RM57,231.35). Bidang-bidang yang lain berada di bawah paras RM50,000. Berpandukan kenyataan ini menampakkan bahawa aspek yang paling tinggi diberi perhatian oleh Adun Bangi ialah Aspek kerohanian diikuti dengan keilmuan, (minda) dan kebajikan (kemanusiaan).

Berpandukan kepada Gagasan PESURAT dan wawasan diharap, sebenarnya dapat membantu memperluaskan horizon dan perspektif sesebuah perancangan dan ekspektasi dari wawasan. Misalnya dapat membantu dari segi imej dan perspektif politik tanahair. Misalnya politik dilihat sebagai sesuatu yang negetif, bahawa bila berpolitik, maka seolah-olah tidak berpolitik kalau tidak membicarakan kesalahan dan kelemahan lawan (kecuali yang benar), sedangkan amat sedikit ditampilkan gagasan dan wawasan masa depan yang ditawar kepada masyarakat yang diharap mereka menilai kewajaran. Dengan adanya Gagasan seperti PESURAT membuka ruang bagi mengisi bidang-bidang yang wujud dalam Gagasan dan harapan dari wawasan masa depannya. Pendekatan ini sekurang-kurangnya penulis menggunakannya dalam gerakerja di Dun Bangi. Sebenarnya kita lebih sebok dan terus berkejar dengan masa dalam mengisi ruang-ruang kosong yang masih belum kita sempurnakan di dalam memberi khidmat kepada masyarakat. Di dalam majlis dan pertemuan kita sering membicarakan misalnya apakah yang ditawarkan oleh kerajaan Negeri Selangor kepada rakyat dengan konsep `Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor` dan dari Dun apa yang kita tawar dan sumbangkan kepada rakyat. Sesungguhnya kita kurang dari memperkatakan tentang lawan kita, sebaliknya kita lebih menonjolkan kepada masyarakat tentang apa yang kita sumbangkan kepada rakyat dari peringkat atas, contohnya negeri dan Dun. Apa yang kita perkatakan ini dapat dibukti dan nilai dari rakaman dan maklumat yang kita paparkan kepada masyarakat. Bahkan semua maklumat ini adalah merupakan `parts and parcels dalam Gagasan PESURAT dan Wawasan diharap. Gagasan ini tidak bermasalah bagi masyarakat bukan Islam, kerana aspek peradaban dan tamadun adalah bersifat universal dan diterima semua pihak. Kita diterima baik di Kajang dan Bangi. Ianya melangkaui batas geografi, bangsa dan bahasa.

Apa yang dibicarakan di atas menurut perspektif PESURAT yang mendukung persoalan peradabhan dan tamadun di dalam menegakkan Mini Negara Islam di Bangi adalah merupakan level realiti yang memang kita lakukan di dalam masyarakat, tetapi di sana dapat dibicarakan dari perspektif PESURAT tentang wawasan dan harapan yang belum berlaku dan belum terlaksana. Level ini sebenarnya boleh dibicarakan sebanyak level realiti, bahkan lebih banyak dari realiti, kerana wawasan dan harapan begitu banyak dapat diandaikan. Sebagai contoh aspek pembangunan yang belum wujud adalah lebih banyak dari segi andaian dari yang sudah wujud. Walau bagaimana ini memberi ruang bagi imaginasi dan kreativiti yang diharap dan menurut plan imaginisai dan kretiviti akan lebih baik dapat dilaksanakan. Ini sebenarnya melibatkan semua bidang di bawah peradaban dan tamadun dalam Gagasan PESURAT. Sebagai contoh kita mengharapkan Bandar Baru Bangi sebagai sebuah Bandar Taman, tidak sebagaimana kini yang sering disifatkan sebagai Bandar Semak Samun, tidak terjaga dan sampah. Imaginisai dan harapan sebenarnya banyak, bagaimana konsep taman bagi Bandar Baru Bangi. Taman bagaimana seharusnya pada bulatan-bulatan jalan, persimpangan ke Putera Jaya, Kajang dan Bangi dan bagaimana seharusnya hiasan pokok bunga kiri kanan jalan dan divider. Bagaimana pula sebuah taman perumahan dihiasi, agar ianya menjadi benar-benar Bandar Taman keseluruhan. Begitu juga Bangi Bandar Ilmu amat memerlukan sebuah Dewan Konvensyen pelbagai guna didirikan di tepi Tasik Cempaka yang telah banyak kali disuarakan, tetapi belum jadi kenyataan. Imaginasi berbagai-bagai dan terbuka bagi kreativiti mewujudkannya sebagai sebuah bangunan yang menarik dan landmark bagi Bangi Bandar Ilmu misalnya. Begitulah luasnya level wawasan dan harapan bagi kemungkinan wujud melalui imaginasi dan kreativiti sebelum ianya wujud. Demikianlah banyaknya ruang lingkup dan skop yang dapat dibicarakan apabila ianya didekati dengan teori, gagasan dan wawasan sehingga tidak terisi kita bagi memenuhinya. Namun dengan gagasan dan wawasan menjadikan kerja kita berfokus, ada matlamat dan arah yang dituju, sebaliknya tanpa gagasan dan wawasan, menyebabkan tumpul dan kekeringan idea, klisye serta tidak kreatif. Dengan keadaan demikian membawa kita bertindak di luar kewajaran seperti perbalahan, mengambil kesempatan peribadi untuk kepentingan diri, rasuah dan sebagainya.

Tibanya tahun baru dan melihat kepada Gagasan PESURAT (termasuk Takmilah) sebagai rangka menegakkan peradaban dan Tamadun ummah di dalam kawasan sekecil Bangi sebagai Mini Negara Islam, maka didapati amat banyak perlu dikerjakan, amat banyak kekosongan yang perlu diisi. Menyedari usia bersisa makin menirus menyebabkan diri tidak senang duduk, maka lantaran sedemikian, maka diri sebagai dalam keadaan berlari mengejar kesempatan dan setiap saat tiba mau ditangkap dan mengisinya dengan kerja-kerja yang bermanfaat. Allahu Akbar !!!

Wallahu a`lam. Sekian.

No comments:

Post a Comment