December 31, 2011

Kunjungan Ke Sekolah Tahfiz & Arabic Malaysia (STAM), Sampaikan Peruntukan


Sungai Ramal Dalam, 05 Safar = 30 Disember (Jumaat):


Pihak Adun memohon pihak STAM menentukan tarikh dan masa bagi Adun berkunjung untuk menyampaikan peruntukan yang diluluskan oleh pihak Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan. Hari ini pagi Jumaat, jam 10.00 dipilih oleh pihak Sekolah bagi Adun berkunjung. Dengan memandu Hilux Adun bersama isteri & Nabilah dan kali ini buat pertama kali saudara Azizi, walaupun bertongkat, mau bersama pergi. Dia datang ke pejabat dipandu isterinya dan saudara Amir Osman naik kereta Azizi, kami berkonvoi ke STAM bagi menyampaikan peruntukan. Tepat jam 10.00 pagi kami tiba ke pekarangan sekolah disambut oleh Tuan Haji Ishak Yusof Penasihat Sekolah, Puan Ainon Mardziah bt. Dun Pengetua, guru-guru dan pelajar-pelajar. Tiba

sama ialah Tuan Haji Mohd Yusof Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar. Kami diiringi berkompang ke dalam Dewan Sekolah yang sedia di dalamnya pelajar-pelajar.


Selepas duduk di hadapan bersama tamu-tamu majlis terus berjalan dengan jemputan kepada Ustaz Haji Ishak membaca doa dan ucapan alu-aluan dari Pengetua Ustazah Ainon Mardziah yang mengucap terima kasih kepada tamu-tamu kehormat yang hadir. Beliau memaklumkan kini Sekolah dalam minggu-minggu (pengenalan kepada pelajar-pelajar baru) yang datang mendaftar dan mengikuti program penerangan, hafazan, motivasi kerohanian dan qiyamullail. Esok pelajar-pelajar cuti hingga 8 Januari 2012.


Menurut Ustazah Ainon Mardziah, Sekolah mengambil pendekatan mulai dari permulaan masuk pelajar didedahkan dengan hafalan hingga tamat 30 juz`dan menghadapi pelajaran akademik. Umumnya didapati pelajar-pelajar yang hafal al-Quran lebih terang hati-jiwa dan mudah menghadapi pelajaran, bahkan lulus dengan cemerlang berkat menghafal al-Qur`an. Ustazah Ainon mengucapkan terima kasih di atas pemberian peruntukan yang difahamkan nilainya ialah RM50,000/=.


Dari percakapan Adun bersama Ustaz Ishak bahawa terdapat seramai 150 orang pelajar dari tingkatan satu hingga lima di STAM. Guru yang berkhidmat ialah seramai 20 orang. Menurutnya, ``Pihak Sekolah terpaksa memperuntukkan sejumlah dapatannya kerana membayar sewa bangunan, iaitu sebanyak RM6,500/= sebulan. Pihak Sekolah memikirkan bagi mendapat tapak dan bangunan yang tetap.. Mulai tahun ini menurut Ustaz Ishak, dalam jangkaan Sekolah ini sepenuhnya menjalankan program tahfiz..


Adun Bangi dalam ucapannya memaklumkan bahawa Pemberian Peruntukan dari Kerajaan Negeri Selangor adalah bagi tahun ketiga dan saya difahamkan inilah pertama kali Sekolah menerima peruntukan daripada Kerajaan Negeri, iaitu berjumlah RM50,000/. Menurut Adun ini ialah satu-satunya sekolah yang mendapat peruntukan yang agak besar. Pada kebiasaan satu-satu sekolah yang dipohon diberi antara RM 10,000 hingga Rm20,000 sahaja. Peruntukan yang diberi keseluruhan oleh Kerajaan negeri sebanyak RM6,000 dipohon oleh 175 buah Sekolah. Hitung panjang bagi sesebuah Sekolah hanya RM35,000 sahaja. Pada kebiasaan permohonan yang tinggi diberi perhatian ialah untuk memperbaiki atau menambah bangunan. Adun dapati

permohonan peruntukan yang dibuat Sekolah adalah bertujuan untuk menambah ruang bagi tiga kelas, membaikpulih dapur dan tempat letak makanan. Mau beli computer untuk makmal sekolah dan baiki sistem air yang banyak masalah.. Jumlah yang dipohon Sekolah pada asalnya sebanyak RM200,000, tetapi yang dapat dilulus hanya RM50,000 sahaja, namun begitu kita bersyukur kepada Allah lantaran Kerajaan negeri Selangor begitu prihatin kepada rakyat negeri Selangor. Adun juga mengingatkan bahawa peruntukan adalah bersifat tahunan, sebab itu pada tahun hadapan (2012) buatlah permohonan.


Ucapan Adun diakhiri dengan Perasmian Penutup Minggu Pemahaman Pengajian dan Silaturrahim. Kemudian Adun menyerahkan cek berjumlah RM50,000/= kepada Ustaz Ishak selaku Penasihat dengan disaksikan oleh Pengetua, Tuan Haji Mohd. Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar. Berhubung dengan keperluan mencari tapak, Adun sokong jika tempat dan harga munasabah .

Sekian.

No comments:

Post a Comment