``Kesempurnaan pembacaan Al-Qur`an adalah pra-syarat bagi kesempurnaan Ibadat,`` kata Adun Bangi. Tambahnya, `` Solat tidak sempurna (tidak sah), tanpa kesempurnaan bacaan Al-Qur`an, sekurang-kurangnya membaca Al-Fatihah yang menjadi rukun solat.`` Katanya lagi, ``Sudah menjadi tradisi murni di dalam masyarakat Islam, jika di kampong anak-anak dihantar kepada guru mempelajari abjad, muqaddam dan keseluruhan Al-Qur`an.`` Tambah Adun,
Pada zaman tradisi seorang yang tidak khatam Qur`an dianggap tidak berpelajaran dan tidak boleh menyertai majlis-majlis yang ada kaitan dengan pembacaan Al-Qur`an.`` Menurut Adun lagi, ``Kini anak-anak dihantar ke Pasti atau pengajian-pengajian yang seumpamanya bagi memenuhi tuntutan dan fungsi yang sama.``


Adun mengucapkan tahniah kepada penganjur yang berjaya mengadakan Kursus Penghayatan Al-Qur`an yang diikuti oleh 120 pelajar pada peringkat Sekolah rendah (6 -12 tahun) dan menengah (12 – 17 tahun), yang secara tidak langsung dapat mengisi masa lapang dalam usaha membentuk akhlak dan peribadi mulia pelajar-pelajar.
Sebelum daripada itu Pengarah Program saudara Mohd Zaid bin Sabran dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan, ``Kursus berlangsung selama lapan hari (14 – 15 Dis. & 19 – 23 Dis.) setiap hari mulai jam 8.00 hingga 5.00 petang. Menurut Sdr. Zaid, pelajar dipecah kepada 12 kumpulan. Pelajar Sekolah rendah 7 kumpulan dan menengah 5 kumpulan. Menurut saudara Zaid, objektif program ialah:
- Membimbing dan membantu peserta agar dapat mempertingkatkan pengetahuan dan amalan ajaran Al-Quran
- Memberi garis panduan kepada peserta berkaitan kaedah untuk menunaikan solat secara sempurna
- Meningkatkan penghayatan dalam diri peserta untuk berakhlak mulia
- mewujudkan satu kumpulan remaja yang bertanggungjawab terhadap pembinaan akhlak komuniti.

Sesungguhnya kursus yang mereka ikuti ini adalah salah satu siri dalam mendidik, mencungkil dan menggilap bakat dan potensi yang ada pada pelajar-pelajar. Kita harap kursus yang seperti ini akan terus diadakan dari masa ke masa.
Sekian.
No comments:
Post a Comment