Sebagaimana jemputan, kami sempat tiba dan berjamaah Maghrib di Masjid Pekan Bangi. Jemputan ini, Adun sifatkan sebagai jemputan ke `Malam Barakah`, kerana pada malam ini diadakan tiga amalan ibadah secara bersekali, iaitu Ceramah Hijratur-Rasul s.a.w., Penyampaian Sumbangan Galakan Kepada Pelajar-Pelajar Cemerlang dan Solat Khusuf (Gerhana Bulan). Pada malam ini solat Maghrib diimami oleh Tuan Haji Othman. Turut sama pada malam ini Tuan Haji Abdul Halim Nazir Masjid, Tuan Haji Zakaria Ketua Kampong Bangi, Ustaz Mahyuddin Mukhtar Penceramah, anak-anak yang dirai, ibu bapa dan para jamaah yang memenuhi Masjid Pekan Bangi.
Sebaik selepas solat MaghribUstaz Mahyuddin Mokhtar Pensyarah dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) dijemput menyampaikan ceramah sempena Hijratur-Rasul di atas tajuk `Muhasabah bersama Hijratur-Rasul`. Beliau yang menggunakan power point mengupas tentang komitmen kalangan mereka yang amanah – tidak ramai, yang membantu menjayakan Hijratur-Rasul dan mengaitkannya dengan misi dan
visi golongan muda yang seharusnya berusaha menegakkan nilai positif dan mencegah berbagai-bagai gejala sosial yang sedang berlaku di tengah masyarakat. Beliau mau masjid dijadikan induk bagi kegiatan ibadat, pendidikan dan kemasyarakatan.
Selepas ceramah disampaikan, Majlis Penyampaian peghargaan dilakukan kepada sejumlah 27 pelajar dari Pekan Bangi yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dari peringkat UPSR, PMR, Kafa, Diploma dan Ijazah. Adun Bangi diiringi Ustaz Abdul Halim Nazir Masjid dan Ketua Kg. Tuan Haji Zakaria Bujang menyampaikan penghargaan yang terdiri dari wang dan wathiqah pengiktirafan kepada semua pelajar-pelajar berkenaan.
Selepas penyampaian penghargaan baru didirikan solat Isyak yang diimami Ustaz Mahyuddin. Selepas solat Isyak beliau menerangkan kayfiat mendirikan solat Khusuf (Solat Gerhana Bulan). Menurut Ustaz Mahyuddin:
Hukum solat Khusuf adalah sunat muakkad. Ini bererti setaraf dengan sunat seperti Idul Fitri dan sebagainya. Ada tiga cara solat yang boleh dikategorikan sebagai ringan, sederhana dan berat.
1) Ringan – Niat solat Khusuf dan menyempurnakan solat dua rakaat sebagaimana solat sunat biasa.
2) Sederhana – Niat solat Khusuf dengan setiap rakaat dua kali rukuk & qiyam bererti setiap rakaat membaca dua kali Fatihah dan dua kali surah (bebas).
3) Berat – Sebagaimana cara kedua, tetapi pembacaan surah bagi rakaat pertama selepas al-Fatihah dibaca surah al-Baqarah dan bila qiyam selepas al-Fatihah dibaca surah Ali Imran. Bagi rakaat kedua selepas al-Fatihah dibaca surah an-Nisa` dan selepas al-Fatihah qiyam kedua dibaca surah al-Maidah.
Jamaah bersetuju dengan cadangan Imam untuk memilih cara kedua dengan membaca surah al-Hujurat (4 pecahan dan tidak keseluruhan).
Berikutnya Tuan Imam menyampaikan khutbah ringkas yang rumusannya bahawa khusuf ialah fenomena kejadian alam dari kekuasaan Allah, bukan disebabkan oleh sesuatu yang lain. Kita hendaklah patuh dengan perintahNya dan mendoakan keselamatan dan perlindungan dari Nya.
Majlis berakhir dengan jamuan beramai-ramai di bawah khemah yang didirikan dianjung masjid. Kesyukuran dan keceriaan terbayang pada semua wajah mereka yang hadir, apa lagi cuaca malam tidak hujan, walaupun khusuf belum jelas kelihatan, namun dipastikan berlaku.
Sekian.
No comments:
Post a Comment